29 March 2008

KUASA : TENDANG : BUDI

AKU MALU

Aku kautendang
semahumu
lalu tercampak aku di sini
lantaran tendangan sewenang
oleh kaki tak kelihatan.

Dalam hening begini
duduk aku sendiri
dengan wajah tertunduk
sebenarnya aku malu
melihat engkau
yang kusangka kawan
dalam diam kauhunus benci
dalam sembunyi kaubaling batu
kausorok lagi tanganmu
ke belakang.

Sebenarnya aku malu
melihat tingkah laku
tak mengenang budi
apalah insani
tanpa budi dan hati
yang tinggal hanya api
bersemarak benci.

Aku malu.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
29 MAC 2008.


~Puisi ini khas buat insan yang punya kuasa, namun bermain-main dengan kuasanya (bukan besar sangat pun kuasanya). Andainya hari ini kita penyebab orang lain menderita, suatu waktu nanti mungkin Tuhan akan tunjuk derita itu di hadapan mata sendiri. Malah derita itu akan menjalar dan meruap ke segenap sukma.

Apa pun bentuk kuasa yang kita pegang, itu merupakan amanah. Lupakah kita bahawa segalanya ini bakal ditanya di hadapan Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa di seluruh alam?


Alhamdulillah...

26 March 2008

YANG TERBAIK

Dulu-dulu, sering aku melihat pasangan-pasangan suami isteri dari sudut luaran. Yang aku lihat adalah dari sudut kesecocokan pasangan itu. Usiaku waktu itu masih tercari-cari arah dalam hidup. Sering juga aku melihat pasangan suami isteri itu tidak secocok. Lalu, dalam hatiku sering terdetik: Benarkah dia ini isterinya? Tidak padan langsung! Perkataan isteri itu juga boleh ditukar kepada suami.

Apakah yang menyebabkan hati dan fikiranku terdetik sebegitu? Pastinya apabila melihat perbezaan fizikal mereka. Malah perbezaan cara berbicara atau perlakuan turut menjadi perhatianku. Pernah aku melihat si isteri dari segi penampilan diri jauh tertinggal berbanding si suami yang lebih kemas dan wajah penuh wibawa. Kacaknya si suami itu jauh tidak sepadan berbanding si isteri. Pernah juga aku terlihat perkara sebaliknya, si isteri yang jelita bersopan, tutur kata penuh hikmah, namun si suami ‘serabai semacam je’.

Melihat situasi sebegini, fikiranku berputar kembali pada satu ungkapan: Jodoh kita adalah yang terbaik untuk kita. Aku duduk lama-lama memikirkan kembali ungkapan itu apabila sering sahaja melihat situasi sebagaimana aku sebutkan tadi. Aku tidak menemui jawapan bagi persoalan yang berlegar di benak fikiran yang cetek ini.

Waktu yang berlalu, membawa diri ke alam lebih dewasa, lebih matang, walau pun pastinya masih terlalu cetek ilmu dan pengalaman tentang hidup. Ungkapan jodoh kita adalah yang terbaik untuk kita akhirnya sedikit demi sedikit aku ketemu jawapan.

Apabila aku menelusuri secara halus ungkapan itu, yang dapat aku simpulkan adalah: Yang terbaik untuk kita adalah yang lebih banyak memberikan kita ujian dalam hidup ini. Apalah hidup ini tanpa uji Ilahi? Andai kita tidak diuji dalam hidup ini, apakah lagi cabaran hidup yang ada? Hidup yang penuh ranjau uji ini juga, apabila difikirkan kembali, memang tersedia untuk kita gagahi. Memang itu pun yang perlu dilalui, telah tertulis pada lembaran itu; lembaran takdir!

Semestinya sebagai manusia yang dibekal akal oleh Allah, kita berhak dan perlu memilih yang terbaik untuk kita. Dalam soal memilih itu, seringnya juga kita telah bertemu yang didamba, lalu kita pun memilih yang terbaik. Itu pilihan yang terbaik yang kita fikirkan. Namun, pilihan hati itu seringnya juga tidak tersentuh dek tangan, tidak tercapai dek akal memikirkannya kembali, tidak tergapai dek realiti pasti. Walaupun telah membuat sesuatu pilihan, terkadang pilihan itu bukan tertulis untuk diri sendiri; ia tidak tertulis pada lembaran itu: lembaran takdir! Bagai ungkapan lama: Bagai burung terlepas dari tangan. Akhirnya, apa yang dipilih itu tidak dapat dimiliki. Malah, sesuatu yang kontras datang menghampiri.

Kontras? Bagai dulu-dulu itu, sering aku terlihat pasangan-pasangan suami isteri yang kulihat tidak secocok itu, terlalu kontras dari sudut pandangan mata. Kontras! Namun, dari sudut terbaik, bagai ungkapan: Jodoh kita adalah yang terbaik untuk kita. Maka dapat kusimpulkan di sini bahawa yang terbaik bagi diri kita adakalanya yang kontras dengan diri. Sebagai contoh paling mudah, jika si isteri mungkin seorang penyabar, malah sangat penyabar, maka si suami kerap kali seorang yang panas baran dan kepala angin pastinya. Perkataan isteri itu juga boleh ditukar ganti dengan perkataan suami. Walaupun sering juga aku temui pasangan-pasangan bahagia yang sehati sejiwa, yang sama cantik sama rasa, bagai pinang dibelah dua. Ah, beruntungnya bagi pasangan sebegini!

Mengapakah begini jadinya? Maka, jawapan yang mudah aku temukan: Di situlah terletaknya uji Ilahi. Yang penyabar itu pastinya dapat mengimbangi tahap kepanas baranan pasangannya. Jawapan itu begitu mudah untuk aku simpulkan, namun rahsia lain bagi ketentuan Tuhan yang ini adalah amat jauh untuk kugapai jawapannya.

Dalam diam aku berfikir, betapa seksanya hidup bagi si penyabar itu, dan betapa mudahnya hidup si panas baran itu. Dalam diam juga aku terus berfikir: Bukankah semua ini ketentuan Ilahi? Akal secetek kita tidak akan mampu merungkai rahsia ketentuanNya.

Titian takdir seruncing mana pun, kita perlu seberangi. Pasrah dan reda…


Alhamdulillah…

23 March 2008

TRAVELOG HAJI

Buku ini telah diulang cetak beberapa kali dalam tahun yang sama. Para pemilik kedai buku khabarnya menjerit-jerit minta buku ini dihantar ke kedai masing-masing. Kasihan juga mendengar cerita itu. Ada yang berbelas-belas kali memesan buku ini, tetapi masih belum ada rezeki bagi pemilik kedai buku tersebut.

Pastinya hebat isi kandungan buku ini. Aku belum memilikinya, apatah lagi membacanya. Aku berkira-kira mahu membelinya sewaktu Pesta Buku 2008, April nanti. Itu pun andainya umur dan rezeki masih ada.

Daripada blog Unika PTS dan blog penulis buku tersebut, Travelog Haji merupakan catatan kisah benar penulis sewaktu mengerjakan haji. Catatan kisah benar yang amat akrab dengan rukun Islam yang kelima itu mengundang rasa para pembaca pastinya. Memanglah pengalaman menunaikan haji di Mekah itu ingin sekali gambarannya ditelusuri, terutamanya bagi yang belum menjejak kaki ke sana. Malah, yang telah melaluinya pun ingin membacanya sebagai catatan kenangan pengalaman di sana.

Sesekali rasa cemburu juga dengan kerapnya ulang cetak buku itu. Cemburu yang dibenarkan tidak mengapa. Mana tidak cemburunya, manuskripku entah bila pula akan terbit (Ha ha ha!). Tidak mengapa, buku itu pastinya lebih memberi manfaat berbanding buku-buku lain; manfaat dari segi ilmu, dan manfaat dari sudut keuntungan. Disebabkan itu, buku itu didahulukan proses ulang cetaknya, malah mendapat layanan istimewa.

Tahniah kepada penulis buku ini, Profesor Mohd Kamil Ibrahim! Tidak sabar mahu membaca kisah benarnya ini.


Subhanallah…!

19 March 2008

KEPADA PENGHUNI RUMAH GADANG ITU

JANGAN JADI PAK KADUK

Terbukti sudah satu kemenangan
lambang percaya rakyat kebanyakan
engkau berjaya bergelar YB
terpikul amanah di pundakmu kini
usah persia peluang diberi.

Duduklah di kerusi itu
telah tertulis buatmu
saat engkau dijunjung diarak
rakan taulan bersorak-sorak
puji doa dikirim bersama
tanda kaumasih ingat padaNya.

Sementara engkau diberi kuasa
usah gila mengumpul harta
hingga lupa tanggungjawab tersedia
menanti menagih tak tentu masa
ingatlah YB yang berkhidmat sentiasa
pasti engkau tidak lupa.

Engkau memimpin satu kawasan
mereka perlukan perhatian
yang susah perlukan pembelaan
yang senang mohon ganjaran
gunakan akal budimu tuan
usah ulangi kisah Pak Kaduk
ayamnya menang kampungnya tergadai.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
(Berita Minggu - 23 MAC 2008)
Alhamdulillah..

18 March 2008

OH, BEGITU!

“Sebentar lagi akan berkumandang azan bagi menandakan masuknya waktu asar bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.” Mamat memecah kesunyian selepas beberapa detik berdamai dengan Kamal.

“Itu dialog lama, dialog orang dulu-dulu,” balas Kamal.

Mamat tergaru-garu kepala. “Ada dialog baru?”

“Begini: Sebentar lagi akan berkumandang azan bagi menandakan masuknya waktu asar, dan mengajak manusia bersolat bersama-sama…”

“Oh, ada ajakan bersolat sekali?”

Kamal menjeling. “Biar aku habiskan dahulu dialognya.”

“Ya, sila, sila, teruskan.” Mamat tersengih-sengih.

“Dan mengajak manusia bersolat bersama-sama. Ketahuilah bahawa bersolat secara berjemaah itu lebih besar ganjaran pahalanya berbanding bersolat sendirian….” Kamal menghirup nafas.

Mamat merenung Kamal, lantas berkata, “Panjangnya! Ada lagi?”

“Ada, tunggu aku ambil nafas dahulu.”

“Ya, ya, hiruplah udara sepuas-puasnya. Ia percuma. Bayarannya hanya rasa syukur dan taat kepada Allah.”

Kamal tersenyum meleret. “Ah, bijak pun kamu! Baik, aku sambung. Oleh itu, marilah kita sama-sama mendirikan solat secara berjemaah. Waktu solat ini adalah bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah dikuasai pihak pembangkang dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya; yang sebahagiannya juga turut dikuasai pihak pembangkang.”

“Eh, jangan taksub sangat! Aku pun tahu pihak pembangkang baru memenangi pilihan raya bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri-negeri lainnya. Namun, janganlah kamu masukkan ke dalam dialog pra azan itu.” Mata Mamat buntang.

Kamal melirik ke arah Mamat. “Mengapakah tidak boleh ditambah dialog itu?”

“Politik mana boleh dicampur adukkan dengan hal-hal keagamaan!” bantah Mamat keras.

“Siapakah yang kata tidak boleh? Bukankah pada zaman Nabi Muhammad dahulu, politik merupakan elemen yang sangat penting dalam agama? Dengan penguasaan politik Nabi Muhammad itu, maka Islam semakin berkembang ke serata dunia!”

“Oh, begitu kisahnya!” Mamat termenung seketika, kemudian menyambung, “Tetapi jangan dimasukkan perkataan pembangkang itu. Sensitif, kamu tahu? Nanti pihak yang tidak menyokong pembangkang tidak mahu bersolat jemaah pula.”

Kamal pula termenung sejenak. Kemudian dia bersuara, “Hmmm… nanti aku fikirkan dialog yang baru. Namun, bagi semingu dua ini aku rasa dialog itu yang terbaik.”

Kamal tersenyum meleret. Seketika kemudian, dia tertawa kecil apabila melihat Mamat mengherot-herotkan mulutnya beberapa kali.



Subhanallah…

14 March 2008

KISAH SI MAMAT

Dalam satu perlawanan bola sepak satu lawan satu, Mamat telah tewas 5-0 kepada Kamal. Mamat yang selalu menang berasa tidak puas hati. Berang betul hatinya sebaik-baik wisel penamat ditiup oleh pengadil. Hatinya bertambah-tambah berang apabila keputusan telah disahkan oleh pembantu pengadil di luar padang hijau itu. Mana tidak berangnya, Mamat sebelum ini tidak pernah tewas dalam setiap perlawanan bola sepak. Sekiranya tewas pun hanya 1-0 atau 2-0. Ini 5-0, bukan calang-calang!

“Ah, aku tewas bukan sebab si Kamal itu kuat! Aku tewas sebab penonton sokong dia. Tidak guna punya penonton! Aku sudah beri macam-macam kepada kalian, tetapi kalian tidak sokong aku. Kalian puncanya aku tewas hari ini. Kalian memang tidak mengenang budi!” Antara dengar dengan tidak Mamat bergumam sendirian.

Tiba-tiba, Mamat dengan muka merahnya menjerit-jerit. Dia menjerit ke arah para penonton yang masih bersorak-sorai meraikan kemenangan besar Kamal itu. “Kalian memang tidak berguna! Aku sudah berikan kalian macam-macam, tetapi kalian sokong dia! Apa lagi yang kalian mahu? Cakap! Cakap!”

“Eh, eh, eh! Suka hati kamilah hendak sokong siapa. Mana ada peraturan yang menetapkan bahawa penonton mesti menyokong engkau sahaja. Terpulang kepada kami,” balas seorang lelaki.

“Engkau yang tidak pandai menggelecek. Sekejap-sekejap jatuh, sekejap-sekejap jatuh, hendak salahkan kami pula,” seorang lagi lelaki bersuara.

“Kalau engkau tidak pandai menggelecek pihak lawan, jangan pula cakap engkau kalah bukan disebabkan kekuatan dia. Dia bagus apa,” seorang lagi lelaki berkulit gelap bersuara.

“Ya, dia bagus, dia bagus! Kalau dia tidak bagus, kami tidak sokong dia,” seorang lelaki bermata sepet tersengih-sengih menyokong kawan-kawannya.

“Engkau itu yang tidak bagus. Perut engkau sudah buncit, lemak makin banyak di dalam badan engkau. Hari-hari kumpul lemak, hari-hari tambah lemak. Akhirnya, menggelecek bola pun engkau sudah tidak reti,” balas seorang mak cik yang bertudung sopan pula.

Mamat menjegilkan mata. Dia menyumpah-seranah lagi, “Kalian memang tidak berguna! Aku ini juara antara juara, tahu! Kalau engkau sokong aku tadi, aku mungkin tidak kalah seteruk ini. Aku mesti menang punya! Kalian memang tidak berguna! Manusia jenis apa kalian ini, hah? Kalian memang tidak mengenang budi!”

Mamat terus meracau-racau, walaupun para penonton sudah lengang di tepi padang itu.



Subhanallah…

*Kisah ini hanya rekaan semata-mata. Mamat dan Kamal itu pun watak yang direka-reka sahaja. Jadi, sesiapa yang bernama Mamat, jangan terasa pula. Yang bernama Kamal pula, jika ada kaitan dengan cerita ini, tahniah diucapkan!

LAGU KUMBANG RESAH

NYANYI KUMBANG

Dengar ini lagu baru:
ngeng nging bunyi berdenging
nging ngung nyanyi berdengung
ngung ngeng hatinya cengeng.

Ini lagu kumbang yang resah
terbang dengan sayap hitamnya
sambil bernyanyi menghibur lara
merentasi hari kering dan basah
melihat padangnya menjadi sawah.

Ngeng nging berdenging lagi
kumbang bernyanyi lagu dahulu
dengan lenggok bahasa baru
diiring muzik irama melulu.

Nging ngung berdengung lagi
kumbang mengungkap lirik yang baru
hanya digubah lirik dahulu
menjaja bangga ke hilir ke hulu.

Ngung ngeng semakin cengeng
saat melihat padangnya hilang
bertukar jadi sawah terbentang
buat santapan penghuni padang.

Ngeng nging nging ngung
nging ngung ngung ngeng
bergetar-getaran sayap si kumbang
dalam longlai sendiri terbang.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.

09 March 2008

APABILA

Hari indah bersejarah ini aku dapat pelajari sesuatu. Sesuatu yang sudah pasti dapat dibuat pengajaran. Mudah sahaja pengajaran itu; pengajaran yang boleh dibuat peringatan sepanjang hidup. Buat renungan bersama:

Apabila kita sering menang, kadang-kadang kita lupa bahawa suatu hari nanti kita akan tewas. Tuhan mungkin ingin menyampaikan sesuatu di sebalik ketewasan itu.

03 March 2008

NASIB DAN PILIHAN

MARI MENGUNDI

Mari mengundi
tentukan nasib sendiri
setiap hari.

Kita mengundi gembira
ceria bertandang ke jiwa
kita mengundi derita
sengsara pasti dirasa.

Mengundi membuat pilihan
dengan akal budi insan
yang terbaik kita tentukan
penentuan akhir di tangan Tuhan.

Usah ditangiskan
andai ketentuan tak sepadan
dengan kehendak perasaan
masih ada jalan
terentang di hadapan.


MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.

01 March 2008

KEPADA SENJA

MIMPI ESOK

Usah bimbang
pada suatu yang tak pasti
di hadapan menanti.

Kita pun tak pasti
adakah mimpi-mimpi
menjadi realiti kemudian hari
atau semuanya bakal ilusi
di kabus hari.

Andai hari ini bertemu pelangi
bawa sahaja ke dalam mimpi
mungkin esok tak ketemu lagi.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.