26 March 2008

YANG TERBAIK

Dulu-dulu, sering aku melihat pasangan-pasangan suami isteri dari sudut luaran. Yang aku lihat adalah dari sudut kesecocokan pasangan itu. Usiaku waktu itu masih tercari-cari arah dalam hidup. Sering juga aku melihat pasangan suami isteri itu tidak secocok. Lalu, dalam hatiku sering terdetik: Benarkah dia ini isterinya? Tidak padan langsung! Perkataan isteri itu juga boleh ditukar kepada suami.

Apakah yang menyebabkan hati dan fikiranku terdetik sebegitu? Pastinya apabila melihat perbezaan fizikal mereka. Malah perbezaan cara berbicara atau perlakuan turut menjadi perhatianku. Pernah aku melihat si isteri dari segi penampilan diri jauh tertinggal berbanding si suami yang lebih kemas dan wajah penuh wibawa. Kacaknya si suami itu jauh tidak sepadan berbanding si isteri. Pernah juga aku terlihat perkara sebaliknya, si isteri yang jelita bersopan, tutur kata penuh hikmah, namun si suami ‘serabai semacam je’.

Melihat situasi sebegini, fikiranku berputar kembali pada satu ungkapan: Jodoh kita adalah yang terbaik untuk kita. Aku duduk lama-lama memikirkan kembali ungkapan itu apabila sering sahaja melihat situasi sebagaimana aku sebutkan tadi. Aku tidak menemui jawapan bagi persoalan yang berlegar di benak fikiran yang cetek ini.

Waktu yang berlalu, membawa diri ke alam lebih dewasa, lebih matang, walau pun pastinya masih terlalu cetek ilmu dan pengalaman tentang hidup. Ungkapan jodoh kita adalah yang terbaik untuk kita akhirnya sedikit demi sedikit aku ketemu jawapan.

Apabila aku menelusuri secara halus ungkapan itu, yang dapat aku simpulkan adalah: Yang terbaik untuk kita adalah yang lebih banyak memberikan kita ujian dalam hidup ini. Apalah hidup ini tanpa uji Ilahi? Andai kita tidak diuji dalam hidup ini, apakah lagi cabaran hidup yang ada? Hidup yang penuh ranjau uji ini juga, apabila difikirkan kembali, memang tersedia untuk kita gagahi. Memang itu pun yang perlu dilalui, telah tertulis pada lembaran itu; lembaran takdir!

Semestinya sebagai manusia yang dibekal akal oleh Allah, kita berhak dan perlu memilih yang terbaik untuk kita. Dalam soal memilih itu, seringnya juga kita telah bertemu yang didamba, lalu kita pun memilih yang terbaik. Itu pilihan yang terbaik yang kita fikirkan. Namun, pilihan hati itu seringnya juga tidak tersentuh dek tangan, tidak tercapai dek akal memikirkannya kembali, tidak tergapai dek realiti pasti. Walaupun telah membuat sesuatu pilihan, terkadang pilihan itu bukan tertulis untuk diri sendiri; ia tidak tertulis pada lembaran itu: lembaran takdir! Bagai ungkapan lama: Bagai burung terlepas dari tangan. Akhirnya, apa yang dipilih itu tidak dapat dimiliki. Malah, sesuatu yang kontras datang menghampiri.

Kontras? Bagai dulu-dulu itu, sering aku terlihat pasangan-pasangan suami isteri yang kulihat tidak secocok itu, terlalu kontras dari sudut pandangan mata. Kontras! Namun, dari sudut terbaik, bagai ungkapan: Jodoh kita adalah yang terbaik untuk kita. Maka dapat kusimpulkan di sini bahawa yang terbaik bagi diri kita adakalanya yang kontras dengan diri. Sebagai contoh paling mudah, jika si isteri mungkin seorang penyabar, malah sangat penyabar, maka si suami kerap kali seorang yang panas baran dan kepala angin pastinya. Perkataan isteri itu juga boleh ditukar ganti dengan perkataan suami. Walaupun sering juga aku temui pasangan-pasangan bahagia yang sehati sejiwa, yang sama cantik sama rasa, bagai pinang dibelah dua. Ah, beruntungnya bagi pasangan sebegini!

Mengapakah begini jadinya? Maka, jawapan yang mudah aku temukan: Di situlah terletaknya uji Ilahi. Yang penyabar itu pastinya dapat mengimbangi tahap kepanas baranan pasangannya. Jawapan itu begitu mudah untuk aku simpulkan, namun rahsia lain bagi ketentuan Tuhan yang ini adalah amat jauh untuk kugapai jawapannya.

Dalam diam aku berfikir, betapa seksanya hidup bagi si penyabar itu, dan betapa mudahnya hidup si panas baran itu. Dalam diam juga aku terus berfikir: Bukankah semua ini ketentuan Ilahi? Akal secetek kita tidak akan mampu merungkai rahsia ketentuanNya.

Titian takdir seruncing mana pun, kita perlu seberangi. Pasrah dan reda…


Alhamdulillah…

5 comments:

S. Rafidah H. Basri said...

Salam sejahtera buat cikgu yang sentiasa ceria dan muda:)

Entri ini sedikit menyentuh hati Benar2 terjadi kpd diri ini. Masa itu baru hendak diijabkabulkan bersama suami. Namun ketika itu diri sudah hilang separuh keupayaan. Ada suara-suara sumbang menyatakan sudah hilang upaya masih ingin dimiliki?Suami yang mendengar lantas menjawab ringkas "Bukan rupa yang dicari tetapi hati budi yang bernilai tinggi dan itulah kasih yang sejati tiada berbelah bagi".

Manusia sememangnya sering bertanya mengapa begini?Mengapa begitu? Apa yang berlaku adalah di dalam kekuasaan Ilahi:)

Rasha_rz said...

ya,pasrah dan reda. Tidak di namankan kehidupan jika tidak diuji Ilahi. jodoh, ajal dan maut sudah ditentukan. kita hanya merancang siapa yang bakal dijadikan jodoh, namun Allah penentu jodoh itu. Kunfayakun!

MYA MARJA said...

Sahabatku Rafidah,
Serasi atau kontras, segalanya menguji... Kamu kebahagiaannya; dia kebahagiaanmu.

Kak Ila novelis prolifik,
Berbahagianya andai ketentuan itu tidak menyimpang daripada hasrat hati suci murni.

Anonymous said...

Sahabatku...
Yang tertulis untuk kita adalah yang terbaik untuk kita..walau ada kontras mahupun serasi..kitalah yang akan membina kerukunan dan kebahagiaan sesebuah rumahtangga itu..sulami dengan sabar, redha dan taqwa..moga bahagia selamanya..

Anonymous said...

prolifik ke dik? tidak rasanya. jauh lagi... kak ila masih merangkak.