Dalam satu ceramah bertajuk ‘Budaya Kualiti Dalam Pengurusan’ yang kuikuti baru-baru ini, tuan penceramah menyentuh tentang bagaimana kualiti bagi sesuatu pekerjaan atau urusan terbentuk. Beliau menggunakan pembahagian peratus yang sangat mudah bagi pembentukan sesuatu kualiti yang ingin dicapai. Kualiti yang terbentuk itu berasas dan bertunjang pada keterampilan (kecekapan, kemampuan yang tinggi) seseorang. Dalam keterampilan itu terkandung segala sifat positif seperti jujur, ikhlas, bersungguh-sungguh, disiplin dan seumpamanya. Keterampilan ini mewakili 50% daripada usaha atau asas yang perlu ada bagi membentuk sesuatu kualiti. 35% pula mewakili ilmu yang perlu ada bagi menjalankan sesuatu, yang kemudiannya bagi disalurkan pada kualiti yang mahu dicapai. Manakala 15% selebihnya adalah perkara atau pekerjaan yang harus dilakukan. Dari mana data ini beliau kutip tidak berapa penting, kerana yang penting adalah melihat pada bagaimana sesuatu kualiti itu harus dicapai.
Jika pembahagian ini diikuti, ia bermakna hanya 15% masa, usaha, tenaga dan fikiran yang diperlukan bagi pelaksanaan sesuatu pekerjaan bagi mencapai kualiti! Selebihnya, malah yang terbesar adalah bertitik tolak pada apa yang ada dalam diri, semestinya yang positif belaka. Aku tertarik pada sifat positif yang digariskan itu. Betapa, disiplin diri itu sebenarnya sesuatu yang amat penting dan tidak boleh ditawar lagi andai mahu terus mencapai kualiti yang dihasratkan. Dalam hal ini, kata beliau lagi, dua penyakit, khususnya bagi orang Melayu perlu dibuang, iaitu penyakit 2M: malas dan moody!
Teringat aku akan kata-kata seorang sahabat, kita hanya ada dua pilihan di dunia ini. Pilihan yang ada itu adalah pilihan yang berkontras: Mahu atau tidak mahu, kuat atau lemah, rajin atau malas dan seterusnya. Bercakap tentang penyakit 2M itu, kadang-kadang diri tertanya-tanya, mengapa penyakit malas sering menguasai. Ia bagai bergantung dan berkait rapat pula dengan moody yang digandingkan itu. Apabila penyakit malas menyerang, maka penyakit moody juga tiba-tiba menjelma. Atau pun sebaliknya, apabila moody muncul, maka penyakit malas menyusul. Di sinilah perlunya keterampilan diri itu tadi, yang bermula pada dua pilihan berbeza: mahu atau tidak mahu. Dua pilihan seterusnya adalah: malas atau rajin.
Beberapa ketika selepas berakhirnya ceramah itu, aku mulai terfikir dan mencongak-congak, bagi mencapai kualiti itu bukannya susah sangat: mahu atau tidak mahu sahaja! Atas sebab itu terbit kata-kata: Mahu seribu daya, tidak mahu seribu alasan.
Makanya, rintangan terbesar, mungkin bagi sesiapa yang mahu mencapai kualiti dalam hidupnya, dalam apa juga bidang, penyakit 2M itu perlu dinyahkan dari dalam diri. Tidak dilupakan juga 35% ilmu dan kemahiran yang perlu dicari, jua mungkin dikuasai. Seketika berfikir lagi: mahu atau tidak mahu?
Setelah melalui kebekuan yang berbulan-bulan ini, dalam diam aku bertanya-tanya diri: Eh, bila lagi mahu sambung tulis novel?
Subhanallah….
8 comments:
Salam,
Manusia berkehendak, DIA menunaikan.
Jangan malas, sambung tulis novel tu! Sabar dan tabah jua menulisnya. Moga berjaya :)
Sahabat yang dikasihi..
Apapun jua..terpulang kepada hati..mahu atau tidak mahu..nak tulis atau tidak..moga awak tidak jemu menulis...salam manis..
penulisan & kepengarangan tidak ada akhirnyannya. semakin giat menulis ( berkarya), semakin pula tinggi mutu dn kualitinya.
2M. Juga punca masalah besar kepada orang Melayu. MM. Sudah bersara pun masih mengacau.
Menunggu novel terbarumu. Kalau dapat yang berautograf, lagi elok. :)
amboi ku keng... lesernya? 2M blh juga dikatakan makan & minum kan...? hehehe,jgn marah ha? gurau je.
Salam Bunga Rampai,
Terima kasih mengingatkan. Moga malas pergi jauh. :)
Sahabat yang dikasihi,
Semoga kita tidak jemu menulis, sebagaimana kita tidak jemu menghirup nafas.
Kak Ila yang prolifik,
Makin banyak menulis makin bermutu karya..Terima kasih panduan ini.
Tuan Ku Keng,
2M yang itu ya.. :) Pastinya banyak lagi M seperti itu, yang mengundang masalah besar kepada orang Melayu.
Sahabatku BP,
InsyaALLAH, akan terbit jua. Cuma, yang ini lambat sikit. Kata orang berpengalaman, biar slow tetapi steady.
Kak Ila,
Makan, minum, melancong, mewah-mewah.. He he..
Post a Comment