23 August 2008

SKETSA HUJUNG MINGGU

“Nah, 15 sen!”

“15 sen hendak buat apa? Beli gula-gula pun tak dapat dua biji,” Marhaen menolak, sedikit mendengus.

Asbollah tidak putus asa, sambil tangannya masih menyuakan syiling 10 sen dan 5 sen. “Ambil sahaja. Berterima kasih sekiranya orang beri sesuatu. Selebihnya panjatkan kesyukuran kepada Tuhan.”

“Apakah pula tembelang engkau kali ini, tiba-tiba sahaja berikan aku 15 sen? Aku nampak engkau hulurkan juga syiling seperti ini kepada rakan-rakan sekelas kita.”

“Angin aku baik hari ini. Ambil ini. Aku tak mahu berlama-lama dengan engkau di sini.”

Marhaen mencebik, senyumnya mulai dilakar. Senyum kambing. “Sejak bilakah engkau berubah menjadi baik? Engkau sangka dengan memberikan aku 15 sen ini dapat menyembuhkan luka lama aku itu?”

“Yang sudah itu sudahlah, lupakan sahaja.”

“Hei, engkau telah rampas 78 sen dari poket aku saban hari sejak berbulan-bulan lamanya! Engkau fikir aku boleh lupakan semua itu dengan 15 sen ini?”

Shah Jehan terkinja-kinja menghampiri mereka berdua. Tanpa sempat menyusun nafas, dia berkata, “Apa hendak ditolak rezeki di hadapan mata? Ambil sahaja, sebelum Asbollah bertukar fikiran.”

“Luka hati aku ini tidak akan terubat dengan 15 sen engkau ini. Itu belum bab engkau rampas makanan yang aku beli di kantin. Bekalan makanan aku pun engkau tergamak merebutnya daripada tangan aku!” keras suara Marhaen. Belum pernah sekeras ini suaranya sebelum ini.

Abdul Rashid pula mendekati mereka, lalu berkata, “Asbollah hendak bertanding jawatan ketua kelas. Jadi, engkau faham-faham sahajalah.”

“Oh, engkau hendak menyogok budak-budak kelas ini rupa-rupanya!” Marhaen membuntangkan mata.

Asbollah tertib menyusun kata, “Aku beri engkau 15 sen sebab aku hendak beri, sebab angin aku baik hari ini. Itu sahaja. Tiada kaitan dengan pertandingan jawatan ketua kelas itu. Sekiranya engkau tidak mahu, terpulanglah!”

Asbollah beredar dan terus mendapatkan rakan-rakan sekelasnya yang lain.



Alhamdulillah...

2 comments:

Unknown said...

Tergelak baca entri ni.

Apa nak buat ....

MYA MARJA said...

:)
Buatlah apa-apa yang patut, Dik Nin...