04 August 2008

KISAH AKU DAN LEMBU

Melihat lembu sedang meragut rumput di tepi jalan itu, teringat aku akan tajuk berita tidak lama dulu: Tiga orang maut kerana kereta yang mereka naiki melanggar lembu!

Mungkin sudah sampai masa yang dijanjikan, maka nyawa mereka diambil kembali. Namun, jika lembu yang menjadi punca kemalangan kereta itu, alangkah sedihnya! Berita itu mengingatkan aku semula kepada peristiwa berhadapan lembu.

Jika anda berkereta di Kuala Pilah, berhati-hati kerana mungkin ada lembu yang melintas jalan sesuka hati. Aku pernah hampir terlanggar lembu tidak berakal itu (Aku fikir tuan lembu itu lagi tidak berakal!). Waktu sengkek dahulu, aku hanya bermotosikal kapcai jika mahu ke mana-mana. Dalam perjalanan pulang melalui jalan besar Kuala Pilah – Juasseh, aku sudah dapat melihat beberapa ekor lembu melintas jalan. Waktu aku menghampiri kawanan lembu itu, tinggal dua ekor yang belum melintas. Aku lihat bertenang sahaja lembu itu, bagai tidak mahu melintas pun.

Sewaktu motosikal semakin hampir melalui lembu-lembu itu, seekor daripada lembu itu tiba-tiba terlompat-lompat, bagai naik minyak. Kedudukan lembu itu betul-betul di hadapan laluan motosikalku itu. Aku berkira-kira, memang tidak sempat mengelak jika dalam keadaan begitu. Sekiranya aku mengelak, pasti terjunam kapcai yang aku tunggang itu ke dalam longkang besar di kiri jalan. Andai aku mengelak ke tengah jalan, mungkin bersepai motosikalku itu berlanggar dengan kenderaan dari arah bertentangan; dengan diriku entah melayang ke mana.

Alhamdulillah, Allah tidak mengujiku dengan ujian kemalangan. Tiba-tiba sahaja lembu itu bagai punyai brek cengkam. Saat aku betul-betul melalui haiwan tak berakal itu, terhenti seketika lembu itu daripada keadaan naik minyak itu. Sebaik-baik melepasi kawasan itu, aku melihat ke belakang melalui cermin sisi. Lembu itu menari-nari lagi, bagai menyambung rentak naik minyak sebentar tadi. Dengan pantas, lembu itu menyertai lembu-lembu lain yang telah selamat melintas jalan.

Kepada kalian, andai lalu di jalanan Kuala Pilah itu, atau di mana-mana kawasan kampung, berhati-hati. Hadirnya lembu kadang-kadang langsung tidak terduga. Andai tiba-tiba haiwan itu menjelma dan menari-nari, itu dinamakan malang tidak berbau. Bersedialah untuk berasa bersyukur walau apa pun bentuk ujian yang bakal menjelma.


Alhamdulillah…

2 comments:

Rasha_rz said...

lembu naik minyak sebab minyak mahal dik. dia buat gaya merbahaya sebab nak tunjuk protes tu...
hehe,gurau je. apa2 pun novel kak ila pasal penternakan lembu akan terbit tak lama lagi di DBP. novel pertandingan mengarang novel sempena 50 tahun merdeka. jangan lupa hayatinya ya? lembu2 tu memang ala2 lembu yg awak jumpa tulah.

MYA MARJA said...

Protes... :) Tapi, kalau sudah bernama lembu, lembulah ia. Tapi lembu yang ini tak ditambat, lepas bebas. Menarik novel Kak Ila ya, ajak orang ternak lembu agaknya. Selamat terus berkarya.