27 April 2008

GURINDAM DAN SYAIR BENDAHARA

Semalam, seharian aku mengikuti seminar apresiasi puisi di Pusat Penyiaran Negeri Sembilan, anjuran Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Seminar ini diadakan khas untuk guru-guru Bahasa Melayu seluruh Negeri Sembilan, sebagai ilmu bantu dalam mengajar komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Besar juga bangunan baru RTM Negeri Sembilan itu. Cantik dan canggih ruang luar dalam. Aku dapat menambah ilmu lagi di dada. Kertas kerja yang dibentangkan berkisar sajak, syair, gurindam, seloka, nazam dan teromba. Selama ini mana ada sesiapa yang mengajariku gurindam, seloka, nazam dan teromba. Setakat sajak dan syair itu memang sudah biasa, tetapi yang lain-lain itu kadang-kadang terlopong mulut apabila ditanya anak murid sendiri. Terlopong sambil menggaru-garu kepala.

Ilmu baru yang kuperoleh itu amat mengesankan. Tambahan pula seminar itu dijalankan di dalam auditorium RTM itu; tempat di mana konsert Hiburan Minggu Ini atau Zoom-In lebih sesuai diadakan. Dengan berbantukan sistem audio yang canggih, terasa keterujaannya mempelajari ilmu baru itu. Itulah akar kita, kata salah seorang pembentang kertas kerja, Encik Roslan Madun. Beliau seorang yang sangat berbakat ketika menyampaikan slotnya. Beliau menyampaikan slot apresiasi gurindam, syair, seloka dan nazam.

Rupa-rupanya begitu bunyinya gurindam. Rupa-rupanya begitu bunyinya seloka dan nazam. Yang paling aku teruja lenggok gurindam yang disampaikan secara langsung diiringi muzik minus one. Isi gurindam sangat dekat dengan pepatah atau peribahasa. Ia mengandungi sekurang-kurangnya lapan baris untuk dilagukan. Antara bait gurindam tersebut yang ingin aku kongsikan:

Apabila banyak berkata-kata
Di situ jalan masuknya dusta
Apabila kita kurang siasat
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila banyak mencela orang
Itulah tanda dirinya kurang
Apabila perkataan yang lemah-lembut
Lekaslah segala orang mengikut.


Satu lagi ilmu baru yang aku peroleh adalah cara syair dilagukan. Syair yang biasa didengar dan diajar di sekolah itu jenis syair selendang delima. Namun, syair yang turut dilagukan oleh Encik Roslan Madun itu terlalu baru di pendengaranku. Ia mengikut lagu syair bendahara. Syair bendahara ini dilagukan lebih pantas berbanding syair selendang delima. Aku kongsikan bait-bait syair tulisan Encik Roslan Madun sendiri:

Dunia ini tempat singgahan
Bukannya tempat bersuka-sukaan
Tunduk sujudlah kepada Tuhan
Tempat kita minta pertolongan.

Buatlah baik setiap masa
Bersyukur pada Tuhan Yang Esa
Hidup jangan berbuat dosa
Di akhirat kelak azablah kita.

Rumah kita bukan di sini
Telah sedia di akhirat nanti
Semua orang kembalinya pasti
Seorang pun tidak akan kecuali.

Jalan ke sana amatlah mudah
Tiada rahsia semua terdedah
Asalkan kita jujur menyerah
Hidup dan mati kepada Allah.

Peliharalah hati janganlah cela
Nanti mudah bersarangnya dosa
Ditimbang amalan di atas neraca
Di padang mahsyar gelap-gelita.

Lagu: Aripin Said
Lirik: Roslan Madun


Bait-bait syair yang disampaikan itu nyata meresap ke hati. Melalui puisi sebegini, nilai murni dan dakwah dapat disalurkan. Bagi sesetengah orang sepertiku, ia amat membekas.


Subhanallah…!

6 comments:

Anonymous said...

uwah... bertuahnya badan. beruntung awak. jauh berjalan luas pandangan, tapi awak, luas pengetahuan...

kak ila

MYA MARJA said...

Memang bertuah, Kak Ila. Selama ini sewaktu jadi murid atau setelah jadi guru, tak pernah dengar gurindam dan syair bendahara. Puas hati dapat dengar, suara penyampai lagu pun boleh tahan, macam Ahmad Jais.

Rasha_rz said...

bolehlah awak bergurindam tidurkan permaisuri awak nanti. bertuah siapa yang dapat berajakan awak. dapat tidur nyenyak sambil dengar gurindam. hehehe... gurau saja ha... jangan marah.

MYA MARJA said...

Wah.. wah wah..! Bukan main lagi ya. Kak Ila pun boleh belajar gurindam tu, dan apa lagi.. permaisuri pun bakal gurindamkan kepada raja dan anak-anak raja..

Anonymous said...

hehehe. baru betul. raja bergurindam, permaisuri bergurindam.jadinya apa ya? hehehehe.....

Kakdell said...
This comment has been removed by the author.