24 April 2008

BOLEH PUN!

Hari itu aku naik angin. Angin satu badan. Budak-budak itu semakin banyak lemak. Biasalah, aku ini lemah lembut, bersopan-santun dan berbudi bahasa; terbawa-bawa pula dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Lagi pun, rotan sudah tidak dibenarkan sesuka hati digunakan di sekolah. Jadi, gunakan mulut sahaja. Namun, mulut ini tidak boleh melalui rutin biasa rupa-rupanya. Disebabkan lunaknya suara yang keluar dari mulutku ini, maka selepas dua minggu kerja penulisan yang aku beri mereka tidak siapkan. Satu pertiga murid kelas itu tidak siapkan tugas yang aku beri. Mana mungkin aku tidak berangin satu badan!

Itu padahnya apabila bercakap lembut-lembut, sopan-santun dengan budak-budak seperti itu. Itu padahnya! Kata orang-orang bijak pandai, budak-budak itu perlu gunakan psikologi jika hati mereka mahu didekati. Aku pun gunakan pendekatan psikologi itu. Namun, bak kata orang Negeri Sembilan: Hampeh!

Dulu-dulu zaman aku belajar, rotanlogi memang amat berkesan. Selain budak-budak dulu, termasuk aku patuh akan setiap arahan kerja rumah dan tugasan diberi, budak-budak zaman itu turut terdidik disiplin mereka. Jika lalu sahaja guru disiplin atau guru-guru lain yang memegang rotan di luar kelas, maka senyap-sunyi kelas itu. Sekarang, rotanlogi tidak dibenarkan lagi. Lalu, apakah yang harus digunakan? Pendekatan akhir dan muktamad aku gunakan adalah marahlogi dan anginlogi!

Budak-budak ini rupa-rupanya akan lebih prihatin dengan tugasan atau kerja rumah yang diberi dengan pendekatan baharuku itu. Hari itu, hari pertama aku gunakan pendekatan tersebut. Habis aku luahkan, tetapi masih dalam nada terkawal. Namun, aku memang betul-betul ‘hangin satu badan’. Terdiam dan terkedu budak-budak itu. Antara ayat yang masih dalam nada sopan, tetapi disampaikan dalam keadaan ‘hangin’ : Jika seseorang cikgu itu marah-marah kepada kamu, bermakna cikgu itu masih sayang akan kamu. Nanti jangan sampai cikgu itu tidak peduli akan kamu, cikgu itu diam sahaja apabila kamu bertanya. Atau pun cikgu itu buat tidak tahu dan endah tak endah sahaja apabila masuk ke dalam kelas, baharu padan muka kamu! Ingat, cikgu yang menyampah dan meluat kepada kamu adalah apabila sampai ke tahap itu! Ingat! Jangan sampai cikgu kamu ini berbuat seperti itu! Jika ada yang berbuat seperti itu, pergi ******lah kamu!!!

Punca aku hamburkan perasaan dengan pendekatan marahlogi dan anginlogi ini apabila sewaktu aku mula-mula masuk ke kelas itu dan memberikan salam, seorang budak lelaki berperut buncit dan berpunggung lebar, pengawas sekolah pula, tidak bangun dari kerusinya, sedangkan kawan-kawannya yang lain semuanya bangun. Dari raut wajahnya menunjukkan budak itu memang mengada-ngada. Agaknya dia ingin menarik perhatian cikgunya ini. Mungkin juga budak itu kekurangan kasih sayang ibu dan ayahnya sewaktu di rumah. Ditambah pula salah seorang budak yang tidak siapkan kerja rumah penulisan itu cuba membantah akan hukuman yang aku beri. Hukumannya mudah sahaja: Ambil buku dan pensel kamu. Kemudian, siapkan kerja kamu sambil duduk di tepi longkang luar kelas. Kaki kamu di dalam longkang. (Longkang di luar kelas sedalam mana, atau sekotor mana?) Bagi berlaku adil, aku bertanya: Ada apa-apa bantahan? Maka dijawab oleh budak itu: Saya membantah! Terus menyirap darahku ke muka. Aku bertanya: Mengapakah kamu membantah? Dia jawab: Kotor longkang itu! Jijik! Hatiku berkata: Ish, kurang ajarnya budak ini, berani dia jawab dan membantah sewaktu aku sedang marah-marah! Beraninya! Biadabnya! Jika aku gagal kawal perasaan hari itu, sah penampar hinggap ke mukanya. Jika tersilap langkah, sah penendang hinggap ke perutnya! Namun, biasalah, aku ini seorang yang masih waras dan benteng sabarku masih kukuh. Adakah wajar budak yang sah bersalah kerana tidak siapkan kerja rumah membantah sebegitu? Bukan berat sangat pun hukuman yang aku beri.

Jawaban yang diberi budak itu menyebabkan aku mengorek sejarah lalu: Cikgu dahulu pun murid juga seperti kamu. Dahulu lagi teruk cikgu dihukum. Akibat kesalahan seorang, seluruh kelas dihukum. Cikgu dan kawan-kawan sekelas dihukum merangkak di dalam longkang besar di tengah padang sekolah. Kamu tahu longkang padang sekolah? Ia bukan longkang konkrit seperti yang kamu tahu, tetapi longkang berselut lumpur! Cikgu juga pernah dilempang oleh pengetua sekolah menengah sebanyak tiga kali hanya disebabkan tidak membaca doa memulakan pelajaran.

Beberapa ayat lagi aku hamburkan dalam keadaan ‘hangin satu badan’. Selepas sesi marahlogi dan anginlogi itu selesai aku jalankan, aku terus berikan petunjuk kepada seluruh kelas tentang tajuk karangan baharu yang perlu dibuat. Karangan budak-budak, senang-senang sahaja. Esok cikgu mahu kamu semua hantar tugasan yang cikgu beri ini!

Esoknya, semua murid di dalam kelas itu berjaya menyiapkan tugasan yang aku beri. Malah, seorang budak yang berkepala botak seperti Mawi, yang malasnya entah tahap apa aku pun tidak tahu, pun siap tugasan itu! Boleh pula dia siapkan tugasan! Walhal, tahun lepas malas berhantu budak itu apabila menyiapkan kerja rumah penulisan. Budak-budak lain juga begitu. Boleh pun mereka siapkan kerja yang aku beri dalam tempoh sehari sahaja!

Kesimpulannya, jika rotan sudah tidak dibenarkan, cari pendekatan baharu. Namun, perkara penting perlu diingat, pendekatan itu tidak dibenarkan sedikit pun menjejaskan tubuh badan budak-budak yang diajar. Jejaskan sahaja corak berfikir mereka. Ancam mereka dengan kesan daripada perbuatan mereka. Budak-budak ini takut betul jika cikgu mereka beritahu: Jangan sampai cikgu kamu ini tidak endah akan kamu, meluat akan kamu!

Angin aku turun sedikit apabila pada akhir kelas, budak yang kurang ajar itu memohon maaf. Namun, aku memandang tajam ke dalam matanya!

Andai sekali-sekala perkara itu berlaku, berdaya juga aku hamburkan marahlogi itu. Namun, andai berkali-kali ia berulang dalam setahun, harus bagaimana? Jika perkara seperti ini berlaku di kebanyakan sekolah di seluruh Malaysia tercinta ini, tidakkah sakit jiwa cikgu-cikgu yang mengajar mereka? Patut pun dalam suatu kajian (entah siapa punya kajian?) mendapati bahawa kaum guru adalah antara yang teramai mengalami sakit jiwa, jika tidak pun yang paling ramai jumlahnya di Malaysia!


Subhanallah…….

6 comments:

S. Rafidah H. Basri said...

Salam buat cikgu muda:)

Kemarahan berpunca apabila emosi mula terganggu dengan perkara yang boleh membangkitkan perasaan geram. Kawalan diri perlu utk menghadapi situasi sebegini.

Berhadapan dengan murid adalah satu perkara yang sememangnya menuntut tahap kesabaran yg tinggi. Kadangkala mereka tidak menyedari apa yang dilakukan adalah benar.

Terkadang pula mereka sememangnya menginginkan perhatian. Lantaran pelbagai kerenah ditunjukkan atas dasar semoga dirinya menjadi tumpuan.

Namun sebagai manusia perasaan sebegitu adalah rasa semulajadi kurniaan Ilahi. Terpulang kepada diri bagaimana untuk meluahkan rasa serta mengawalnya.

Guru dan murid adalah seperti kedua mata. Berkedip bersama serta melakukan fungsi yang sama. Diharapkan perhubungan antara guru dan murid laksana sepasang mata.

Semoga kemarahan itu segera reda dan semoga kebencian tidak berkunjung tiba.

Selamat Mendidik wahai guruku Yang mulia:)

Anonymous said...

Cikgu muda..saya bawa rotan juga..bukan niat untuk merotan..tanya hanya sekadar untuk memberi amaran..terkadang pelajar-pelajar yang tidak berminat belajar ini memang sukar dikawal..begitulah jua terjadi pada saya..justeru, bersabarlah..hanya itu benteng kita yang utama..selamat mendidik..Guru Arkitek Bangsa.

MYA MARJA said...

Terima kasih, Puan Rafidah...seniorku. Ketabahanmu menginsafkan diriku.

Rotan dah tak bawa ke dalam kelas sekarang ini. Guna suara sahaja, mudah-mudahan. Selamat mendidik jua, sahabatku Cikgu Anonymous... :)

Rasha_rz said...

Wau marah benar cikgu kita ni.takut nya... Takut ke murid dengan suara cikgu? Murid dulu2 takut. Tapi sekarang tak takut kut... nanti balik rumah bagi tahu emak bapak diaorang, kata cikgu kat sekolah memaki2. Habis, mak bapak buat aduan di tv3. lepas tu ke balai polis dan akhirnya ke mahkamah. bukan pasal rotan je, marahlogi pun boleh buat cikgu ke kandang salah.

Habis, macam mana ya? nak didik anak2 bangsa merdeka?Hanya cikgu2 saja boleh menjawabnya.
Anak2 kak ila memang tak berani mengadu apa2 kat rumah, takut kak ila tambah, lagi sakit.

MYA MARJA said...

Cikgu muda ni jarang sangat marah. Sekali marah, siaplah kamu semua wahai anak muridku...! Nak masuk kandang bersalah pun tak apa, kita bukannya buat 'jenayah berat'. 'Jenayah' yang dibuat sekadar satu bentuk/cara/teknik bagi mendisiplinkan anak bangsa tercinta. ..masuk kandang pun puas hati.

Anonymous said...

hidup cikgu! teruskan perjuangan anda. moga2 semangat petriotikmu sama seperti Cikgu Nawawi (watak dalam novel KABUS SENJA) Cikgu Nawawi itulah guru idola akak dulu2....