Satu tambah satu jawabnya dua. Dua darab dua terhasil empat. Itu kiraan matematik, kiraan yang jelas tanpa perlu digugat kebenarannya. Namun, dalam realiti hidup ini satu tambah satu tidak semestinya menghasilkan jawaban dua. Atau juga dua darab dua tidak semestinya empat jawabannya.
Jawaban bagi kedua-dua permasalahan matematik itu jika diterjemahkan dalam perjalanan hidup yang penuh ronanya ini, pasti kadang-kadang diri menjadi keliru. Diri semakin keliru apabila tali reda dan sabar semakin longgar dari pegangan.
Berbuat baik balasannya baik, berbuat jahat balasannya buruk. Itu hal umum yang menimpa manusia. Namun, perbuatan baik itu tidak semestinya terus diberi balasan baik, kerana mungkin Tuhan ingin menangguhkan balasan baik itu di akhirat kelak. Maka, atas kepercayaan itu, diri terus teguh berdiri walaupun dilibas gelora duga dan badai uji yang kadang-kadang menggila datangnya. Atas kepercayaan bahawa Tuhan tidak menzalimi manusia, dan bahawa janji Tuhan itu benar belaka, tidak akan semudahnya diri melepaskan tali iman yang menjadi pegangan kuat.
Bukankah manusia ini diuji menurut kemampuannya sahaja? Jika diri tidak kuat, mengapakah diri diuji itu dan ini? Sudah pasti kekuatan itu ada! Hanya sebagai manusia yang sering tertipu dengan bisikan syaitan, kadang-kadang menggoyahkan hati. Kadang-kadang tertanya-tanya dalam diri, mengapakah kita tidak berasa gembira dengan apa yang Tuhan beri? Biar luka dan duka atau damai bahagia, gembira adalah perasaan yang wajar diluahkan. Gembira merupakan manifestasi reda terhadap segala yang datang menguji. Gembira bukannya dalam bentuk pesta ria, memadai senyuman dan perasaan berlapang dada terhadap apa jua kemungkinan yang datang.
Sesekali memandang sekeliling, lalu terlihat orang lain yang begitu mudah jalan hidupnya. Untung yang diterima bukan sekali, malah berkali-kali, bertimpa-timpa. Selepas satu, satu lagi keuntungan yang datang. Bertuahnya mereka, sedang diri sentiasa diuji dengan onak dan duri. Mengapakah bisikan seperti itu selalu mendatangi diri? Pastinya terbit daripada rasa tidak puas hati. Mengapakah tidak berpuas hati? Jawabannya mudah sahaja, sebab diri belum cukup reda dengan takdir Ilahi. Diri belum cukup kuat menahan bahana dunia.
Astaghfirullahalazim. Ya Allah, terima hambaMu ini kembali dengan hati tenang dan jiwa suci! Kurniakan kekuatan agar diri sentiasa reda dengan segala yang tertulis pada lembaran takdir yang Engkau rencanakan. Kurniakan hambaMu ini kekuatan bagi menghadapi segala yang Engkau tentukan. Amiin…
No comments:
Post a Comment