12 September 2007

BONUS

Namanya pun bonus. Mengapakah pula mahu diungkit-ungkit? Orang tidak mahu beri, diam-diam sudah. Yang kita berharap sangat pada bonus itu, mengapa? Elok benar jika tiada bonus pada tahun ini. Tidak perlu berbelanja sakan. Tidak perlu juga beraya sakan. Ala kadar sahaja.

Apa juga alasan punca tiada pemberian bonus bagiku tidak memberi sebarang makna. Memang alasan tidak perlu langsung diberi. Namanya pun bonus. Jika ada, baharu dinamakan bonus. Jika tiada, diam-diam sudah!

Namun, kasihan kepada orang-orang tua di kampung yang anak-anak mereka bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Dengan tiadanya bonus, maka tiada juga bonus untuk mereka daripada anak-anak. Anak-anak balik kampung jarang-jarang. Sesekali balik, mahu juga hulurkan helaian-helaian kertas berharga. Akan tetapi, tiada pula bonus dalam bajet tahunan. Hulur sahaja apa yang ada. Ada sepuluh ringgit, hulur sepuluh ringgit. Ada seratus ringgit, hulur seratus ringgit. Mungkin ada kebiasaan sebahagian mereka memberikan separuh daripada bonus kepada orang tua mereka, kini hulur sahaja sekadar yang ada. Banyak itu sahaja rezeki untuk orang-orang tua di kampung, hendak buat apa lagi.

Dengan tiadanya bonus, kasihan pula mengenangkan nasib kakitangan kerajaan yang beranak ramai. Yang memang saban tahun menggunakan bonus itu bagi persiapan keperluan sekolah anak-anak mereka pada tahun berikutnya. Apakah yang mahu dibuat lagi? Gigit jari sahaja.

Namun, dengan tiadanya bonus, maka dapat mencetuskan daya berfikir para kakitangan kerajaan. Mereka seharusnya tidak bergantung sepenuhnya pendapatan dengan gaji setiap bulan. Mesti ada satu atau dua pekerjaan lain yang dilakukan sebagai pendapatan sampingan. Kakitangan kerajaan boleh berniaga? Kakitangan kerajaan boleh melakukan pekerjaan lain? Tidakkah melanggar Perintah Am? Habis, mahu harapkan gaji semata-mata? Mahu harapkan bonus semata-mata? Gaji naik, harga barang pun naik sama. Malah, melambung-lambung naiknya! Sebelum gaji kakitangan kerajaan naik, harga barangan sudah naik dahulu.

Bonus, sudah namanya bonus. Jika dapat, untung, syukur. Jika tidak dapat, diam-diam sahaja. Gigit jari sahaja. Ada akal, gunakan. Ada kudrat, gunakan. Ada kesempatan, gunakan.

Elok juga jika tiada bonus. Sekurang-kurangnya kakitangan kerajaan yang paras hidung sahaja bajet gaji bulanannya, dapat memikirkan sesuatu untuk menyelesaikan masalah sendiri. Sekurang-kurangnya boleh beringat-ingat selepas ini. Beringat-ingat bahawa mereka tidak semestinya akan mendapat bonus pada setiap tahun. Maka mereka akan berhati-hati, akan beringat-ingat. Sekurang-kurangnya mereka tidak menjadi manja. Manja dengan saban tahun diberi bonus, kemudian berbelanja sakan. Bagi yang berhemat berbelanja, terkecuali.

Tiba-tiba kesatuan sekerja mahu minta kerajaan pertimbangkan bonus sekurang-kurangnya RM2000 bagi seorang kakitangan kerajaan. Jika dapat, untung para kakitangan kerajaan. Jangan pula dilupakan pemberian bonus kepada orang tua di kampung. Jika tidak dapat, diam-diam sahaja. Gigit jari sahaja. Lantas bersyukur sahaja dengan segala ketentuan.

Semoga tidak membazir pada bulan puasa. Ala kadar sahaja juadah berbuka. Ala kadar sahaja hidangan pada hari mulia nanti. Ala kadar sahaja pakaian yang bakal dibeli buat penyeri hari kemenangan.

Akhirnya, selamat berpuasa! Rebut bonus yang datang setahun sekali ini dengan penuh penghayatan. Mudah-mudahan...


Alhamdulillah…..

No comments: