17 September 2007

SABAR DAN IKHLAS

Daku pernah terdengar ayat ini: Yang paling banyak sabar dan ikhtiar itu ialah IBLIS!

Menelusuri sejarah Iblis yang dapat kita baca melalui kitab, dapat kita fahami bahawa Iblis itu sememangnya makhluk yang terlalu banyak sabar dan ikhtiarnya. Sabarnya Iblis menggoda manusia melalui juak-juaknya yang bernama syaitan dari kalangan jin kafir dan jahat. Kesabaran Iblis ini sehingga alam bertukar waktu menjadi alam akhirat.

Tidak akan terlepas anak cucu cicit Adam dari jangkauan godaan Iblis dan juak-juaknya. Dengan penuh kesabaran mereka menggoda makhluk bernama manusia. Seribu satu jalan direka dan dibentangkan untuk kita bernama manusia bagi menuju ke negeri kesesatan melalui lorong-lorong khas ciptaan Iblis. Lorong-lorong penuh khayalan dan keseronokan. Lorong-lorong yang bersalut kebenaran, rupa-rupanya jalan menuju kesesatan.

Bukankah Iblis sudah berjanji dengan Tuhan bahawa dia akan menggoda dan menyesatkan anak cucu cicit Adam, kerana pada sangkaannya Adam yang menjadi punca Iblis dilaknat Tuhan?

Namun, Iblis juga menetapkan manusia yang akan terselamat daripada godaannya. Siapakah mereka? Mereka yang bertuah itu ialah golongan yang ikhlas.

Ikhlas? Semudah itu?

Bukan semudah itu golongan manusia atau jin yang dapat menyematkan rasa ikhlas ke dalam diri, ke dalam jiwa yang seterusnya menjadi pedoman diri menjalani hidup. Iblis dan juak-juaknya pasti akan menghembus-hembus dan membisik-bisik ke dalam telinga, ke dalam diri, ke dalam hati dengan godaan ujub, takbur, bangga diri, lupa diri, rasa besar, rasa benar, rasa hebat, rasa tinggi dan terhormat; yang semua itu bakal merosakkan hati daripada mengingat Allah. Atau juga yang bakal melupakan diri bahawa diri sendiri sememangnya kerdil dari setiap sudut.

Di manakah ikhlas? Kita yang berakal dan diberi nikmat iman ini perlu mencarinya, kerana ikhlas itu terlalu sembunyi, terlalu rahsia. Mulut boleh sahaja mengatakan ikhlas. Hati juga boleh sahaja berkata demikian sepanjang waktu. Namun, adakah kita benar-benar ikhlas? Hanya Tuhan Yang Maha Tahu. Kepada Allah kita berserah.

Ah, Ramadan ini pasti Iblis dan syaitan terbelenggu! Selamat kita daripada godaan mereka! Bukan semudah itu. Sebelas bulan sebelum Ramadan, mereka menghembus itu dan ini, menggoda itu dan ini. Kini, nafsu mengambil alih tempat mereka. Bagi yang alpa, nafsu kini menjadi raja di dalam diri.

Ayuh, selamatkan diri daripada sabar dan ikhtiar Iblis dan juak-juaknya dalam membisik-bisik dan menggoda kita ke lorong-lorong itu; lorong-lorong ke negeri kesesatan. Mungkin satu pengajaran yang dapat kita peroleh melalui Iblis adalah sifat sabar dan ikhtiarnya itu. Maka, sabar dan penuh ikhtiar jua kita dalam menempuhi segala ujian Tuhan. Sabar dan pelbagai ikhtiar jua kita dalam menegakkan kebenaran. Mudah-mudahan.

Ya Allah, selamatkan hambaMu daripada bisikan dan godaan golongan jahat ini! Amiin…


Astaghfirullahalazim…..

No comments: