02 September 2007

REALITI HIDUP

Hidup ini penuh persoalan, penuh teka-teki. Kadang-kadang sesuatu yang sudah dirancang rapi, tidak menjadi. Akan tetapi sesuatu yang tidak pernah terjangkau dalam fikiran tiba-tiba muncul dan menyapa diri. Kadang-kadang celaru juga melalui saat-saat sebegitu. Biasanya pula sesuatu yang kita amat idamkan tidak terjangkau dek tangan, tidak terpeluk dek kenyataan.

Pun begitu, selalu juga daku teringat ayat itu: Kita merancang, dan Tuhan juga merancang. Maka perancangan Tuhan itu jauh lebih baik daripada perancangan manusia.

Terpaku kadang kala diri di lembaran takdir. Ia kadang-kadang terlalu jauh daripada imaginasi dan keinginan diri. Semakin lama ditelusuri jalan hidup ini, semakin kita memahami bahawa apabila Tuhan itu meletakkan sesuatu di tempatnya, memang itu tempatnya. Yang menjadikan kacau dan galau ialah hati sendiri. Hati-hati dan jiwa manusia yang tidak mahu menerima realiti. Hati yang menghasratkan sesuatu, tetapi mendapat sesuatu yang lain.

Apabila ditemukan pula dengan jodoh sendiri, maka itu jodoh yang ditentukan Tuhan. Jodoh itu pula bukan semata-mata dalam rupa dan bentuk seorang teman hidup yang melayari bahtera kehidupan ini. Bahkan lebih daripada itu, mencakupi segenap lapang hidup yang ditelusuri. Bukankah kenderaan itu jodoh, tempat tinggal itu jodoh, pakaian itu jodoh, makanan itu jodoh, ubat itu jodoh dan segala yang lain itu juga jodoh?

Mungkin jodoh yang pelbagai rupa itu boleh ditafsir sebagai rezeki. Maka, pasangan hidup itu juga ialah rezeki. Anak-anak dan harta juga rezeki. Jiran-tetangga dan rakan sejawat juga rezeki. Apabila ia bernama rezeki, maka ia juga merupakan ujian. Segala-galanya itu mendampingi diri dalam bentuk ujian tersendiri. Sesiapa yang lulus ujian-ujian itu, maka Tuhan menjanjikan ganjaran yang tidak terjangkau dek akal. Sesiapa yang gagal?....Subhanallah.

Dengan merangkaknya usia, makin punya akal yang dewasa. Kita sedikit demi sedikit dapat menelan kenyataan hidup, dan kerelaan hati itu adalah reda kita kepada takdir Tuhan. Yang nyata sebelum ini mungkin terlalu banyak sengketa dan pertembungan realiti dengan hasrat hati. Jauh di sudut hati lalu berkata: Tidak semua yang kita impikan akan diperoleh. Maka apa yang kita dapat hari ini ialah rezeki yang Tuhan beri. Rezeki yang terbaik untuk diri sendiri. Rezeki yang sewajarnya disyukuri. Sesiapa yang bersyukur maka Tuhan akan tambahi nikmatNya.


Alhamdulillah…..

2 comments:

Ainul Husna said...

jodoh dan pertemuan adalah sebuah ketentuan...bersyukur dengan nikmat,redha dengan ketentuan,menderita dengan dosa...

MYA MARJA said...

Syukur alhamdulillah... reda, sabar, istiqomah.