26 August 2007

ADAPTASI 2

Menyelesaikan sebuah adaptasi sesebuah bab daripada kitab merupakan suatu penyiksaan yang menyeronokkan. Begitu siksa mahu memahami bahasa asing walaupun serumpun, kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tulen. Lebih-lebih lagi yang diterjemahkan itu ialah kitab besar karangan ulama besar. Ia sememangnya suatu proses yang sukar dan menyiksakan. Jika tersalah tafsir, pasti menimbulkan kekesalan, dan itu yang ingin dielakkan. Ia juga amat menyiksakan apabila setiap ayat atau perenggan itu harus berdiri semula dengan ayat yang baharu, ayat yang lebih segar dan lebih mesra dengan pembaca. Bukannya ayat yang berbelit-belit, bersimpang-siur, lalu menerbitkan rasa pusing di kepala. Ayat yang sudah dapat berdiri dengan lenggok yang baharu itu pula tidak sesekali bercanggah maknanya daripada kitab asal.

Ya, amat menyiksakan!

Namun, di sebalik penyiksaan itu, apabila membaca dan meneliti semula adaptasi yang sudah selesai, amat menyeronokkan. Seronok sebab sama-sama terlibat dalam projek besar ini. Besar bukan dikira dari segi wang ringgit, tetapi pada makna dan kemaknaan. Diri dan usia terasa amat bermakna apabila selesai menjalankan sesuatu kewajiban. Kewajiban itu pula berbentuk memudahkan ilmu kepada orang lain. Alangkah seronoknya dapat bersama-sama menyampaikan pesan Nabi Muhammad dan suruhan Allah, walupun sedikit, dan dengan kemampuan yang terbatas ini.

Alangkah seronoknya!

Menyelesaikan sesebuah projek adaptasi tidak semudah menulis cerita atau novel. Andai novel yang ditulis, ikut sahaja episod demi episod yang sudah disusun dalam KJ Method itu. Kemudian, boleh tambah itu dan ini bagi menyedapkan peristiwa atau membangkitkan unsur yang diingini. Namun, sesebuah adaptasi tidak sesekali dibolehkan menambah itu dan ini, dibimbangi kita mengada-adakan yang tiada. Atau juga mengurangi sesuatu sewenang-wenangnya, dibimbangi meniadakan yang sepatutnya ada.

Wang ringgit memang tidak pernah terbayang sewaktu menyiapkan projek ini. Yang terbayang adalah kebaikan berterusan yang bakal dihirup oleh khalayak pembaca. Wang ringgit itu sekadar dibayangkan sebagai saguhati yang memang tidak diharap-harapkan, namun rezeki Tuhan tidak sesekali ditolak atau ditinggalkan.

Syukur kepadaMu Tuhan kerana menemukan jalan ini. Mohon Engkau mudahkan jalan ini sehingga nafas ditutup bumi. Amiin…



Alhamdulillah…

No comments: