18 August 2007

SAYU

Suara khatib pada Jumaat kali ini begitu sayu didengari. Khatib yang ini memang punyai rasa dan jiwa yang dalam apabila membacakan sesuatu teks khutbah. Kebanyakan teks khutbah yang dibacanya sebelum ini seperti meresap ke dalam jiwanya dan seolah-olah ia berlaku dalam kehidupannya. Setelah daku meneliti, memang banyak yang berkaitan dengan hidupnya. Ya, memang banyak berkaitan!

Sebak suaranya apabila membacakan bab anak yang seharusnya menabur kasih kepada ibu bapa yang sudah tua. “Dan apabila sampai ke usia tuanya, jangan sesekali dikau mengucapkan walaupun sepatah perkataan yang menyinggung perasaan mereka.” Sesekali terhenti khutbah itu lantaran emosi yang terbawa-bawa ke dalam pembacaan khutbahnya. Lalu, emosi itu turut menggamit para jemaah yang hadir bagi mendengar khutbah dan seterusnya mendirikan solat Jumaat itu.

Seorang jemaah di sebelahku menangis teresak-esak apabila khatib membacakan ayat yang mengatakan betapa perlunya ketaatan dan kasih sayang perlu ditumpahkan kepada kedua-dua orang tua, khususnya pada saat mereka menelusuri hari-hari terakhir berada di dunia sementara ini. Persoalan yang dibangkitkan, sekerap manakah kita sebagai anak mengunjungi ibu bapa kita pada saat mereka kesepian ditinggalkan anak-anak yang telah dewasa dan menjalani hidup sendiri? Berapa kalikah dalam sebulan atau dalam setahun kita mengunjungi mereka? Bukan wang ringgit yang mereka perlukan sangat, namun memadai elusan kasih kita sebagai seorang anak. Kunjungan kita pasti menggamit rasa gembira yang sekian masa, semakin sepi ditinggalkan anak-anak. Berapa kalikah pula kita membawa ibu bapa berjalan-jalan atau bercuti atau membelikan itu dan ini?

Contoh peristiwa Alqomah pada zaman Nabi Muhammad dahulu turut dibacakan. Betapa hati seorang ibu walaupun sedikit terguris akan perlakuan anaknya, Alqomah tidak dapat mengucapkan kalimah suci semasa saat-saat nazaknya. Sehingga si ibu memaafkan Alqomah akibat campur tangan Nabi Muhammad, maka dapat dia mengucapkan kalimah syahadah nan mulia itu.

Pada kesempatan itu, daku juga berhasrat mahu menitiskan air mata. Namun, air mata apa lagi yang ada pada diriku ini? Ayahku sudah lama pergi meninggalkanku, sejak daku berusia lima bulan di dalam kandungan ibuku lagi. Ibu pula sudah lima tahun meninggalkan alam fana ini. Ke mana lagi hendak ditumpahkan rindu kasih ini? Air mata apakah lagi yang mahu ditumpahkan?

Bertuah dan amat bertuah bagi kalangan kita yang masih dikurnia kedua-dua orang tua…


Alhamdulillah…

No comments: