14 August 2007

BELON

Belon hijau dan belon biru sudah lama hidup bersama. Asal-usul kedua-dua belon sama sahaja, daripada getah. Cara prosesnya pun sama sahaja. Jadi, apakah yang berbeza? Belon hijau mempunyai angin yang sentiasa bertukar ganti. Mungkin itu fitrah belon hijau. Mungkin juga disebabkan warnanya yang hijau. Atau mungkin dahulu belon hijau hidup dengan belon hijau yang mempunyai perangai yang sama dengan dirinya, sentiasa bertukar angin.

Belon biru pula jenis yang mempunyai angin tetap. Jika hari ini angin belon itu sebanyak itu, semalam dan kelmarin pun sebanyak itu juga. Belon biru tidak pandai menukar-nukar anginnya. Mungkin memang fitrahnya belon biru tidak pandai menukar-nukar angin. Atau mungkin belon biru berasal daripada keluarga yang tidak pandai menukar-nukar angin.

Apakah masalahnya? Bukankah elok belon hijau dan belon biru bertemu? Dua belon yang berbeza akan menjadikan hidup lebih gembira ceria. Tidak nantinya bosan dengan tabiat diri sendiri. Bukan masalah yang mahu diperkatakan, tetapi situasi. Situasinya begini, belon hijau yang sering menukar-nukar anginnya itu bukan membuang anginnya ke angin lalu. Belon hijau memasukkan anginnya itu ke dalam belon biru yang memang sentiasa tidak bertukar-tukar angin itu. Maka, cuba bayangkan apa yang terjadi?

Belon biru yang tidak pandai menukar-nukar angin itu nantinya lama-kelamaan akan semakin kembang, kembung, besar, boyot dan jika tidak kuat kulit belonnya pasti meletup.

Mengapakah belon biru tidak menukar-nukar anginnya? Sudah sikap dia tidak mahu menukar-nukar anginnya. Jika belon biru menukar-nukar anginnya, kesannya pasti pada apa yang ada di sekelilingnya. Sampai bilakah pula belon biru perlu menerima angin daripada belon hijau? Tidak meletupkah belon biru itu nantinya? Entah.

Mudah-mudahan belon biru dapat bertahan sehingga saat kematiannya menjemput.


Alhamdulillah…

No comments: