12 August 2007

BONGGOL DAN REMPIT

Bonggol-bonggol di jalanan itu begitu menyusahkan pemandu kereta sepertiku. Mana tidaknya, setiap kali bertemu bonggol itu, kereta mesti diperlahankan. Kalau tidak, melompat-lompat seperti katak jawabnya kereta itu. Bukannya sebuah, malah banyak bonggol yang dibina di sebatang jalan raya yang berjarak tidak jauh sangat pun. Lebih daripada sepuluh bagi jarak tidak sampai dua kilometer, percaya atau tidak?

Di Serting ini, begitu realitinya. Jalan lurus yang yang ada banyak bonggol itu merupakan jalan utama dua lorong yang menghubungkan kampung-kampung dan taman perumahan dengan jalan besar Bahau – Triang. Malah bukan jalan lurus itu sahaja, tetapi sepanjang jalan besar yang membentuk satu bulatan besar di Serting ini dibina bonggol! Jalan-jalan kecil ke penempatan peneroka FELDA itu juga terdapat bonggol, tetapi tidak kesemuanya.

Apakah masalahnya dengan bonggol-bonggol itu? Jalan-jalan lain di Malaysia ini pun terdapat bonggol. Sekali pandang memang tiada apa-apa masalah. Namun, sebelum ini bonggol-bonggol itu tiada pun. Bonggol-bonggol ini muncul selepas banyak kemalangan yang meragut nyawa di jalan raya itu. Kemalangan itu pula terjadi disebabkan sikap para pemuda harapan bangsa yang menunggang motosikal secara merbahaya dan berlumba-lumba. Golongan ini bertambah tahap kebanggaan mereka apabila menunggang motosikal tanpa berlampu pada waktu malam. Mujur juga di jalan dimaksudkan itu terdapat lampu-lampu jalan yang berceracak. Itu pun selepas kemalangan demi kemalangan berlaku di situ.

Itu sikap para pemuda di daerah terpencil ini. Semakin terpencil, semakin merdeka kelakuan mereka. Merdeka dalam acuan mereka sendiri. Dalam keadaan jalan yang berbonggol-bonggol itu masih terdapat pemuda-pemuda harapan bangsa ini yang berlumba-lumba bagi menunjukkan kejantanan masing-masing. Malam merupakan waktu yang paling sesuai bagi mereka menunjukkan aksi sambil menunjuk-nunjuk motosikal mana yang paling bingit bunyinya.

Semakin lama merdeka, begini rupanya wajah anak bangsa. Jadi, apakah masalahnya? Itu masalahnya. Mereka bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, malah menyusahkan orang lain. Itu masalahnya.


Astaghfirullahal’azim…

No comments: