Alam saujana terhampar indah luas, menggamit saujana jiwa berbicara pada segala rupa. Bicaralah yang mulus daripada jiwa yang tulus...
06 August 2007
MAKANAN PALING SEDAP
Apabila seseorang bertanya kepadamu, apakah makanan yang paling sedap? Mungkin seribu satu jenis makanan akan terjawab daripada mulutmu. Setiap individu pasti punyai cita rasa tersendiri. Jika dijawab ayam goreng itu makanan paling sedap, maka cara ia digoreng juga pasti berbeza cita rasanya untuk setiap individu. Ada ayam goreng bersalut tepung. Ada ayam goreng berempah. Ada ayam goreng tanpa kulit. Ada ayam goreng segera. Ada ayam goreng sendiri.
Bagi penggemar kek, pasti akan mengatakan pelbagai jenis kek sebagai jawaban mereka. Ada kek coklat. Ada kek strawberi. Ada kek pisang. Ada kek beli. Ada kek buat sendiri.
Yang rindu akan masakan kampung, pasti mengatakan bahawa masakan ibu paling sedap. Walaupun sekadar nasi putih dan ulam-ulaman yang dicecah sambal belacan beserta ikan masin goreng. Ia amat menyelerakan!
Akan tetapi bagiku, makanan yang paling sedap adalah kata-kata yang sedap. Kata-kata yang sedap adalah kata-kata yang tidak menyakitkan, tetapi kata-kata mengubati, kata-kata terapi, kata-kata pembakar semangat. Kata-kata seperti itu mendamaikan dan mententeramkan hati. Suakan apa sahaja jenis makanan asalkan halal, pasti kusuapnya dengan berselera apabila disertai kata-kata yang sedap daripada penghidangnya.
Kesimpulannya, kata-kata yang sedap lahir daripada hati yang reda. Hati yang menerima takdir Allah dengan berlapang dada. Hati yang memahami bahawa Allah itu Maha Adil dan Maha Mengasihani. Hati yang mengerti bahawa hidup ini merupakan ujian dan dugaan Ilahi.
Subhanallah…
Alhamdulillah…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment