Dia sudah menampar dua puluh orang anak didiknya di dalam sekolah. Maka para penjaga anak didiknya itu menggelegak hatinya, marah. Setelah disiasat dan disoal, maka jatuh hukum. Digantung kerja dia selama dua bulan. Tercatat dakwat merah dalam rekod perkhidmatannya. Mungkin satu sebab dia berperilaku demikian, mahu tegakkan disiplin. Anak didiknya itu pun tidak patah riuk atau buta, elok lagi sifat manusianya. Mungkin bertepuk sorak anak didik itu dan para penjaganya, dan orang-orang yang sama menjunjung keadilan sebagaimana para penjaga itu.
Dia sudah merendam ramai anak didiknya di dalam sebuah kolam. Boleh tersiar pula aksi mereka direndam itu di dalam akhbar arus perdana. Maka para penjaga anak didiknya itu menggelegak hati mereka, tidak puas hati. Akhirnya, dimudahkan cerita terpampang di muka akhbar dia memohon maaf daripada anak didiknya itu dan para penjaga mereka. Menurut tertulis di akhbar itu, dia bagus dalam mengajar subjek penting di sekolah, maka dimaafkan jua. Mungkin satu sebab dia berperilaku demikian, mahu tegakkan disiplin. Jika tidak nanti naik lemak anak didiknya itu. Mungkin satu lagi kemenangan kali ini kepada para penjaga anak didiknya. Mana tidaknya, jika seorang berbuat salah, mengapa pula yang lain-lain itu terkena juga tempiasnya? Jika semua tidak mengaku? Biarkan sahaja Si Luncai terjun dengan labu-labunya.
Dia sudah dicekik anak didiknya di dalam bangunan sekolah tingkat dua. Apalah kudratnya mahu melawan agaknya, dia perempuan, anak didiknya lelaki, hingga hampir terjatuh dia dari tingkat dua itu. Lalu secara drastik dan menurut terlapor di akhbar, dibuang sekolah budak yang mencekik gurunya itu. Maka penjaga anak didiknya itu menggelegak hatinya, tidak reda. Peperiksaan besar mahu diharung hujung tahun ini, berpada-pada mahu menjatuhkan hukum. Akhirnya, tidak jadi budak itu dibuang sekolah atas campur tangan pihak atasan. Siap bergambar bersama-sama dengan budak itu yang sedang memohon maaf daripada guru yang dicekiknya itu. Yang dipertikai adalah keputusan dibuang sekolah itu, bagaimanakah pula dengan perasaan dan maruah guru yang dicekik itu? Tiadakah keadilan dan pembelaan bagi guru seperti itu? Selesai dengan memohon maaf dan gambarnya tersiar di akhbar. Begitu sahaja?
Jika guru yang ‘tersilap’ menghukum, nasib tidak baik, terjejas perkhidmatan. Jika anak didik berlaku silap, maafkan sahaja. Adakah guru-guru di negara kita ini psiko belaka? Andai benar, hantar sahaja mereka ke tempat yang sesuai bagi mereka. Setakat rotan berbirat di tangan atau di punggung, sudah boleh menjejaskan perkhidmatan seseorang guru, mahu diapakan lagi budak-budak sekolah itu? Psikologi? Letih mulut, kering tekak!
Guru-guru yang mahu menegakkan disiplin ini ialah kalangan mereka yang mahu disiplin itu tertegak. Yang mahu anak didik mereka menjadi manusia. Yang mahu setiap kerja sekolah diberi dapat dibereskan. Jika tiada guru seperti ini, maka kita akan terdengar di sana-sini irama ‘biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya’.
Alhamdulillah...
Subhanallah....
No comments:
Post a Comment