Yang peliknya orang luar sahaja yang sibuk buat ulasan dan kenyataan. Dua hari lepas dalam komen pembaca akhbar arus perdana, yang pasti bukan guru jika diteliti tulisannya. Tulisan itu sedikit membela. Pada sebelah malamnya, televisyen swasta itu pula menyiarkan emel daripada pengirim-pengirim yang juga membela.
Sebelum keluar kenyataan membela itu, ada empat kes terdekat tentang kebobrokan akal guru yang melampiaskan amarah di luar garisan yang ditetapkan. Siapakah yang tetapkan garisan itu? Sejauh manakah pula kebobrokan akal guru itu?
Kes di Sabah itu luar biasa daripada kes-kes lain. Mula-mula guru besar lempang dua puluh orang murid. Kemudian, dua ratus pelajar direndam di dalam kolam ikan disebabkan tandas mereka menerima tetamu tidak diundang angkara salah seorang pelajar itu. Timbul pula kes seorang yatim piatu yang dijaga neneknya mengadu dirotan guru. Rupa-rupanya bukan dia seorang yang menerima hukuman, malah ramai rakannya menerima nasib yang sama.
Berita-berita itu ibarat bom berangkai munculnya. Selepas satu, satu lagi kes timbul. Teringat kes-kes lain yang berwarna-warni dan berbentuk-bentuk rupanya. Dahulu ada berita ular sawa. Lalu seminggu dua itu ada di mana-mana tentang kes ular sawa. Ada pula orang dipatuk ular, lalu timbul kes-kes lain yang serupa di lokasi berbeza. Dahulu-dahulu lagi, ada kes rogol dan bunuh, maka kes itu seperti menjalar dan merebak beritanya di akhbar-akhbar.
Kini, kes guru rotan pelajar pula timbul. Roda itu berpusing kembali. Teringat cerpen Fatimah Busu ‘Sepuluh Budak Hitam’ dalam Berita Minggu, amat mengesankan. Satu-satu masalah sosial anak muda harapan bangsa dikemukakan dalam cerpen tersebut. Antara masalah sosial itu tentang anak degil. Nama watak yang bercakap tidak tertulis, namun memang kena pada masanya dengan kes guru merotan pelajar ini. Dalam cerpen itu memaparkan kalau dulu-dulu emak ayah kita malah guru-guru kita menggunakan rotan sebagai salah satu alat yang perlu digunakan bagi membentuk disiplin, tetapi kini hanya psikologi. Seorang menteri turut dikaitkan dalam cerpen itu, dengan mengatakan bahawa menteri itu kata zaman sekarang perlu guna psikologi, bukan rotan lagi. Sebagai akibatnya, lihat sahaja perangai dan akhlak budak-budak sekarang.
Guru-guru dalam hal ini tidak bising-bising pula. Agaknya sudah letih dengan segala kerenah yang diterima dan ditempuh. Kerenah anak didik, kerenah ibu bapa, kerenah akhbar, kerenah pembuat dasar, dan pelbagai lagi kerenah. Konon mahu mengikut psikologi barat, rotan jangan guna, gunakan psikologi sahaja.
Budak zaman sekarang yang lebih banyak terdedah dengan segala bentuk kejahatan, kebejatan sosial, makin kita mahu berlembut? Zaman kita dan sebelum kita, cara mendidik kita dengan rotan itu yang menjadikan kita ini kita sekarang ini. Cuba bayangkan jika kita malas mengaji Quran tanpa rotan atau cubitan. Makin malaskah kita atau termakan dengan pujuk rayu psikologi baharu kita akan mengaji Quran?
Bukankah dalam Islam pendekatan rotan itu digunakan dalam disiplin solat? Selepas arahan lisan tidak dipatuhi maka rotan perlu sebagai ganti. Kadang-kadang terasa amat ngeri apabila memikirkan anak-anak zaman ini dan akan datang, bagaimanakah perilaku mereka nanti?
Astaghfirullahal'azim...
No comments:
Post a Comment