Alam saujana terhampar indah luas, menggamit saujana jiwa berbicara pada segala rupa. Bicaralah yang mulus daripada jiwa yang tulus...
29 January 2011
DARJAH EMPAT
“Kamu semua perlu mengisi maklumat di dalam Kad 001 ini. Ini sebagai dokumen rasmi kamu bagi disimpan di sekolah ini,” Cikgu Suparman memberikan arahan di hadapan kelas darjah empat Sekolah Kebangsaan Teluk Ru.
Zaiti selaku ketua kelas dan Khairuni selaku penolong ketua kelas membahagi-bahagikan kad lebar berwarna coklat muda kepada murid-murid di dalam kelas itu. Cikgu Suparman yang duduk di atas meja Zaiti hanya memerhatikan anak muridnya mengisi kad yang baharu mereka terima.
“Jangan lupa mengisi setiap maklumat yang dikehendaki di dalam kad kamu itu. Ruangan bagi maklumat tinggi dan berat, sekejap lagi kamu akan membuat ukuran,” jelas Cikgu Suparman lagi.
“Roslan, pergi ambil pengukur ketinggian dan penimbang berat di pejabat,” cikgu muda dan kurus itu memberikan arahan lagi sewaktu murid-murid mulai mengisi maklumat di dalam kad yang mereka terima.
“Saya tidak kuat mengangkatnya seorang diri. Boleh saya ajak Rauf sebagai peneman?” pinta Roslan. Cikgu muda itu mengangguk-angguk.
“Asyik-asyik Roslan sahaja yang disuruh oleh cikgu, kita ini tidak pernah diberi arahan seperti itu pun,” bisik Fuad kepada Azli di tempat duduk paling belakang di dalam kelas itu.
Azli hanya tersengih-sengih mendengar rasa tidak puas hati rakannya itu. Dia menjawab, “Kita ini murid biasa sahaja, sedangkan Roslan itu pengawas sekolah kesayangan cikgu. Rauf pula murid yang pintar di dalam kelas ini. Jadi, mereka memang patut mendapat kepercayaan cikgu.”
“Ada apa-apa yang kamu tidak puas hati?” tanya Cikgu Suparman, sambil menuding jari kepada Fuad.
Terkebil-kebil Fuad apabila kata-katanya tadi didengari oleh cikgu muda itu. Dia hanya tersengih-sengih apabila ditanya sebegitu. Menyedari tiada kata-kata yang terluah dari mulutnya, cikgu bercermin mata itu bertanya lagi, “Ya, ada apa-apa soalan? Tadi saya terdengar seperti ada soalan sahaja.”
“Saya hendak bertanya tentang ruangan cita-cita ini. Mengapakah perlu ada tiga cita-cita yang perlu dituliskan?” akhirnya Fuad mendapat akal bagaimana menutup kesilapannya tadi.
Cikgu Suparman tersenyum, seraya memberi penjelasan, “Kamu perlu isi ketiga-tiganya. Isikan cita-cita utama kamu pada ruang nombor satu dan cita-cita seterusnya pada ruang nombor dua dan tiga.”
“Akan tetapi, mengapakah perlu sehingga tiga cita-cita?” tanya Fuad.
“Mudah sahaja jawapannya. Apabila cita-cita pertama tidak tercapai, kamu masih ada dua lagi cita-cita yang boleh dikejar,” jawab cikgu itu ringkas, kemudian duduk di kerusi guru di hadapan kelas.
Fuad menggaru-garu kepala. Azli turut menggaru-garu kepalanya hingga gugur beberapa helai rambut. Dia tersengih-sengih sendirian.
“Saya ini membaca pun tidak pandai, mahu berangan-angan menanam cita-cita tinggi. Bukannya satu, tetapi tiga cita-cita,” Azli ketawa kecil sendirian.
“Mengapakah kamu perkecilkan diri sendiri? Tulis sahaja cita-cita kamu. Siapakah yang tahu suatu hari nanti kamu akan dapat mencapainya?” Fuad memberi dorongan kepada rakannya.
Azli menggigit pensel kayunya pula. “Kamu tulis apa pada ruangan cita-cita?” dia bertanya.
“Saya sedang berfikir.” Fuad mengisikan maklumat peribadi yang lain dahulu.
“Budak bodoh seperti saya ini, adakah perlu mempunyai cita-cita?” Azli bertanya seolah-olah bercakap dengan diri sendiri.
“Mengapakah kamu berkata demikian? Walaupun kamu tidak pandai membaca, bukan bermakna kamu tidak layak memasang cita-cita,” Fuad memandang rakannya yang mempunyai raut wajah seperti orang Cina itu.
“Saya ini bukan sahaja tidak pandai membaca, malah tergagap-gagap pula,” Azli masih mengucapkan kata-kata merendah-rendahkan diri.
“Isi sahaja ruangan itu. Apa sahaja cita-cita yang terlintas dalam fikiran ketika ini, tulis. Selepas ini kamu belajar betul-betul,” Fuad cuba memujuk.
Roslan dan Rauf masuk ke dalam kelas dengan membawa alat pengukur tinggi dan penimbang berat. Setelah mereka meletakkan alat penyukat dan penimbang itu di sudut kelas, Cikgu Suparman mengarahkan Rauf mengukur ketinggian dan menimbang berat dahulu.
“Selepas Rauf dan Roslan, seorang demi seorang mulai dari barisan meja sebelah kanan saya datang ke mari bagi menyukat tinggi dan menimbang berat,” Cikgu Suparman memberi arahan dari sudut kelas. “Bawa sekali kad dan pensel kamu,” tambahnya.
“Giliran kita lambat lagi. Kita buat dahulu ruangan cita-cita ini,” kata Fuad, disambut ketawa kecil Azli.
“Mengapakah kamu ketawa pula? Kita tulis sahaja. Sebenarnya saya pun tidak tahu apa yang mahu dituliskan pada ruangan ini,” ujar Fuad lagi.
“Cita-cita saya mahu menjadi pengutip buah anggur,” spontan Azli menyuarakan cita-citanya.
“Di negara kita boleh hidupkah pokok anggur? Mungkin kamu mahu keluar negara suatu hari nanti,” Fuad menelah.
Azli ketawa. “Akhirnya kamu terkena!” dia ketawa lagi. Fuad memandangnya tanpa berkelip.
“Terkena apa?” tanya Fuad.
“Terkena buah angan-angan saya. Yang saya maksudkan dengan pengutip buah anggur itu ialah menjadi penganggur.” Sekali lagi Azli ketawa tanpa memandang Fuad yang masih merenungnya.
“Saya fikir saya mahu menjadi tentera,” Fuad menyatakan cita-citanya, kemudian terus menuliskannya pada ruang cita-cita pilihan pertama.
“Tulis sahaja, bukannya perlu bayar apa-apa,” ujar Azli lalu ketawa semula.
“Saya serius, tahu. Jadi tentera boleh pakai pakaian seragam. Apabila berkawat kaki nampak segak bergaya.”
“Mahu jadi tentera sebab teringin berkawat kaki dan berpakaian seragam tentera?” sampuk Cikgu Suparman yang tiba-tiba lalu di belakang mereka.
“Itu merupakan faktor pendorong saya bercita-cita sedemikian,” jawab Fuad.
Guru kelasnya itu tersenyum, kemudian berkata, “Bagus! Sekurang-kurangnya kamu mahu menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.”
“Kamu pula Azli, saya dengar tadi kamu mahu jadi penganggur. Jangan begitu sekali cita-cita kamu. Tulis sahaja cita-cita yang lain, sekurang-kurangnya jadi seperti Fuad yang mahu berkhidmat untuk negara,” Cikgu Suparman merenung wajah Azli.
Azli tersenyum, lalu tergagap-gagap mengeja perkataan ‘tentera’ pada ruang cita-cita pilihan pertamanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment