16 May 2007

SELAMAT HARI GURU

Kepada yang bergelar guru, diucapkan Selamat Hari Guru. Ucapan ini bukan sahaja bermakna memberi salam ingatan kepada pengorbanan dan jasa guru, malah lebih daripada itu; kesetiaan dan kesanggupan insan bergelar guru yang terus mahu menjadi guru walau apa pun keadaan yang melanda.

Guru, produknya ialah manusia! Peranan yang amat penting adalah membina manusia; peradaban, pemikiran, peranan dan tanggungjawab, hala tuju hidup serta segala yang harus dilalui oleh seseorang bergelar manusia. Dalam membentuk manusia ini, berlainan cara dan situasinya. Bukan semua guru bertuah, mendapat anak murid yang mudah dibentuk dan dilentur. Tugas guru ini pelbagai aras kesukarannya, mengikut budaya hidup sesuatu masyarakat. Malah, semakin dihalusi tugas guru, semua aliran untuk menjadi manusia, di bahunya terpikul tanggungjawab. Secara asasnya pembahagian tanggungjawab itu terpecah kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Maka diwujudkan tiga bidang bagi menguruskan perkembangan itu dengan lebih lancar, iaitu bidang akademik, bidang sahsiah dan bidang kokurikulum.

Pelbagai cerita kurang enak yang dihadirkan oleh insan bergelar guru adalah mewakili peratus yang sangat sedikit, ibarat nila setitik rosak susu sebelanga. Malah, sebahagian masyarakat memandangnya sebagai suatu isu besar dan merangkumi kepada sebahagian besar profesion perguruan itu. Selagi namanya manusia, apa pun peranan yang dipikul, pasti tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Begitu yang sebahagian daripada kita alami sewaktu meniti zaman persekolahan. Pelbagai ragam dan karektornya guru yang kita temui. Namun, tanggungjawab mereka tetap sama, mungkin caranya membentuk kita untuk menjadi manusia itu berbeza.

Hari Guru yang disambut bukan sahaja bermakna memberi ucapan penghargaan kepada budi dan jasa guru, malah sebagai ucapan terima kasih kepada insan bergelar guru kerana sanggup menjadi guru. Ucapan ini hanya khusus bagi guru yang benar-benar menjiwai peranannya sebagai seorang guru. Insan yang benar-benar memahami bahawa tugas dan tanggungjawab yang diberi adalah amanah yang harus dipikul dan diterjemahkan ke dalam bentuk dan acuan yang betul.

Walau siapa pun anda pada hari ini, pembentukan anda dimulakan dengan tunjuk ajar insan bergelar guru. Pada kesempatan ini, seringan balasan terima kasih kita kepada insan bergelar guru, ucaplah Selamat Hari Guru! Doakan mereka sentiasa dalam lindungan Tuhan, sentiasa tabah dan kuat semangat menjalankan kewajiban diberi.

Selamat Hari Guru!



Alhamdulillah..

8 comments:

Anonymous said...

Selamat Hari Guru buat cikgu Mya Marja. Dalam sibuk2 mengajar tu jgn lupa siapkan jibunsyi pula ya.

ez

Unknown said...

Selamat hari guru untuk Cikgu Mya Marja, guru2 di mana sahaja berada dan saya juga. Saya cikgu pada anak2. Jangan pula lupa ;)

Unknown said...

Selamat Hari Guru, Kang Mya. Jangan serik dan jemu mendidik anak bangsamu.

Sastri said...

Selamat Hari Guru yo mas... Jasa guru menabur bakti mendidik anak bangsa akan dikenang sampai akhir hayat ini... :D

blackpurple @ jowopinter said...

Selamat Hari Guru (yang terlewat) buat Cikgu Mya Marja...

Jangan sampai dilupa juga cikgu-cikgu di sekolah memandu. Tanpa mereka mana mungkin kita memiliki lesen memandu (kecualilah mereka yang memakai lesen terbang...):)

Anonymous said...

Selamat Hari Guru Mya,

Kebetulan kakak saya juga di Kuantan ialah guru, guru matematik yang garang. Namun di sekolah itu kelas dialah satu-satunya kelas yg kedatangannya penuh. Cikgu lain pun heran. Tapi ketegasan kakak saya dibayar dengan harga yg mahal. Setiap tahun kereta kena tukar cat, setakat tayar pancit adalah perkara biasa bagi dia. Itulah hasil kerja anak didik dia yg masih tak mengerti betapa pentingnya pendidikan.

Buat Mya dan my sis Baie ... Selamat Hari Guru.

MYA MARJA said...

Terima kasih sahabatku sekalian,

Kalian jua merupakan guru kepadaku di persada ini..

Dahulu, sukar amat untuk menterjemahkan rasa terima kasih kepada para guru, saat diri bergelar murid dan pelajar. Setelah kian lama gelaran murid dan pelajar ditinggalkan, baharulah diri mengerti akan pengorbanan dan jasa mereka. Lebih-lebih lagi diri ini turut terpilih menjadi guru.

Selamat Hari Guru buat semua guru!

Bunga Rampai said...

Salam,

Selamat Hari Guru, moga perjuangan mendidik berterusan dengan rasa telus dan tulus bersandarkan kasih Illahi.