I
Sudah ramai terkena. Sudah ramai yang mati. Awalnya tidak diberitahu punca. Dua tiga hari kemudian baharulah diuar-uarkan bahawa punca kematian adalah daripada virus H1N1.
II
Penyakit yang semakin merebak ini amat meresahkan hati dan jiwa. Penangkisnya ialah topeng muka, yang menutup hidung dan mulut. Membasuh tangan dengan teknik betul juga dapat menyahkan virus dari tangan, andainya ia melekat di situ. Virus yang tersebar di udara melalui air liur, bersin dan batuk ini punyai waktu selama lapan jam untuk terus meluaskan empayarnya. Namun, penangkis yang lebih besar adalah diri yang mahu menginsafi, berhuhasabah, dan terus bergantung harap kepada Allah, selain sedikit usaha yang perlu dilakukan bagi mengelak jangkitan. Yang ditakuti adalah cara mengatasi masalah ini, kadang-kadang tidak terus kepada yang memberi penyakit dan yang menyembuhkan penyakit. Sebaliknya, dicari topeng penutup muka. Serupa juga halnya sekiranya diserang demam panas. Adakalanya doa dan harap kepada Allah itu jatuh nombor dua; nombor satunya ialah ubat-ubatan. Subhanallah!
III
Seorang lelaki, masih tegap dan tangkas gerak-gerinya datang ke sekolah. Waktu masih zohor. Lelaki berwajah bengis dan bernafas turun naik bagai kuda itu menemui guru-guru yang baharu selesai bermesyuarat di bilik gerakan guru.
“Siapa yang jual topeng muka ini? Cakap!” jerit lelaki itu. Pada tangannya memegang dua helai topeng penutup muka berwarna putih.
Seorang guru menuding ibu jari ke arah seorang guru lelaki tinggi lampai, seraya menjawab, “Dia, encik. Encik mahu beli topeng lagi?”
Lelaki itu mendengus, lantas terus bersemuka dengan guru tinggi lampai tersebut. Dia melontarkan suara, “Siapakah yang suruh jual benda ini kepada anak saya? Anak saya bawa duit ke sekolah sebagai wang belanja makannya. Bukannya bagi membeli topeng ini!”
“Anak encik yang mana satu? Seingat saya, pagi tadi memang ada dua tiga orang murid yang membeli topeng muka, tetapi pada penghujung waktu rehat.”
“Maknanya tidak timbul persoalan anak encik tidak ada duit belanja makan,” tambah seorang guru lagi.
Lelaki itu mendengus lagi, lalu melontarkan kata, “Saya akan bawa ke pihak atasan. Saya akan jumpa Yang Berhormat mengadukan hal ini. Cikgu-cikgu di sini memaksa murid beli topeng muka!”
“Encik, kami tidak memaksa pun murid-murid membeli topeng muka. Kami cuma sarankan….”
Belum sempat guru tinggi lampai menghabiskan ayatnya, lelaki itu memotong, “Saya tidak peduli! Jual sudahlah dengan harga mahal, tujuh puluh sen sehelai! Sekiranya di kedai luar sana hanya lima puluh sen! Saya akan buat laporan kepada pihak atasan!”
Guru lelaki tinggi lampai membuka mulut, mahu menjawab. Namun, lelaki itu bergegas menuju ke arah motosikal buruknya. Dia beredar begitu sahaja, tanpa adab yang perlu sebagaimana ibu bapa berjumpa guru-guru bagi anak-anak mereka.
IV
Perhimpunan pagi bagi murid-murid di sekolah ini dijalankan setiap pagi. Beberapa amanat dan peringatan penting dititipkan oleh guru yang bertugas, mahu pun pihak pentadbir sekolah.
Seorang guru yang bertugas pagi itu memberi pesan, “Pihak sekolah telah berulang kali mengingatkan, sekiranya kamu demam, jangan datang ke sekolah. Duduk berehat di rumah. Beritahu ibu bapa kamu supaya berdoa kepada Allah agar dijauhkan penyakit dan bala bencana. Kemudian, minta mereka bawa kamu ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan. Lebih-lebih lagi sewaktu musim selesema babi yang semakin merebak sekarang ini. Kamu janganlah jadikan sekolah ini pusat penyebar virus! Ibu bapa kamu fikir sekolah ini pusat penjagaan anak-anak? Sekolah ini tempat kamu menimba ilmu, bukannya sebagai pusat penyebaran virus! Saya dapat laporan pagi ini, ada tiga orang yang demam dan batuk-batuk. Kamu masih juga mahu datang ke sekolah. Gunalah akal yang Allah beri. Hidup ini jangan asyik menyusahkan orang.”
V
Dua hari lepas, 16 orang. Pagi ini sudah capai lebih 40! Semoga peringatan-peringatan seperti ini semakin mendekatkan diri kita kepada-Nya.
Subhanallah…!
6 comments:
Salam...moga cikgu tetap sihat dan ceria...:)
aduh cikgu. no III dan IV tu kok ganas benar bunyinya?
tp satu cerita nak kongsi, kak ila ke hospital KL minggu lepas, melawat saudara sakit. Kak ila nampak topeng muka di atas meja jururawat. Apa lagi kak ila dan rakan memintanya untuk dipakai sendiri (satu seorang). Nak tau apa kata jururawat tu? penutup muka ni untuk staf sini je. Kok kedekut benar? Bukankah tanggung jawab hospital jg mengekang gejala wabak dari merebak? bukan shj merawat pesakit yg sudah dijangkiti? Sebab 50sen, nanti hospital kerugian beribu ringgit utk merawat rebakan. jom sama2 kita fikir2kan...
Salam Ramadhan. Selagi manusia berpegang kepada virus dan bukannya bala dari ALlah, amat susah untuk melawan wabak ini.
Salam Ramadhan,
Mudah-mudahan wabak ini menjadi iktibar kepada umat Islam dan berusaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.
adui... lamanya tak update. sibuk ya cikgu?
Salam Ramadan kepada teman-teman yang hadir ke sini. Terima kasih kerana sentiasa sudi berkunjung. Kesibukan diri dan kelembapan capaian internet akhir-khir ini amat menguji.
Sepuluh malam terakhir Ramadan ini, mudah-mudahan diberi kekuatan oleh-Nya merebut peluang beribadat. Semoga bertemu dengan malam Lailatul Qadar.
Selamat berpuasa dan bertadarus al Quran kepada teman semua.
Post a Comment