28 July 2009

PRA UPSR DAN TANGGUNGJAWAB

Bermula hari ini hingga Khamis, selama tiga hari murid-murid Tahun 6 di Negeri Sembilan menduduki ujian Pra UPSR. Ini sebagai langkah membiasakan diri bagi ujian sebenar pada awal September nanti, juga sebagai kayu pengukur pada penguasaan kemahiran yang dipelajari sebelum ini.

Kecoh juga guru-guru yang menerima set soalan apabila mendapat tahu soalan yang dikeluarkan itu ialah set yang belum melalui kawalan kualiti. Daripada sumber yang boleh dipercayai (pastinya penyedia soalan yang terdiri daripada guru-guru, yang turut tidak berpuas hati dengan kecuaian ini), set soalan yang dikeluarkan ini ialah set awal yang belum melalui pihak kawalan kualiti.

Set soalan yang diberi kepada sekolah-sekolah pula hanya berbentuk CD. Sedangkan dulu-dulu ia siap bercetak. Menjadi satu beban pula kepada pihak sekolah bagi menghantarnya ke syarikat percetakan. Itu tidak mengapa lagi. Yang menjadi punca kecoh, pastinya soalan yang mengundang rungutan dan pertikaian. Sementelah pula, skema jawapan tidak dilampirkan, berbanding tahun-tahun sebelumnya. Maklum sahaja, pegawai baru yang menguruskannya. Orang baru biasanya gelabah sedikit. Namun, faktor orang baru tidak boleh dijadikan punca kepada kecuaian ini.

Mudah-mudahan soalan UPSR sebenar nanti tidak sekecoh ini pengurusannya.


Alhamdulillah...!

No comments: