20 July 2009

IRAMA DANGDUT DAN SUARA MUAZIN

Sewaktu memasuki laman masjid Isyak itu, telingaku menangkap dua bunyi.

Pertama, lunaknya suara muazin melafazkan iqamat, memanggil jemaah segera mendirikan solat. Masjid besar ini walaupun tidak ramai jemaah yang bersolat, tetapi masih boleh dikira ramai, menjangkau satu saf lebih pada satu-satu solat. Lama juga tidak singgah solat di masjid ini. Bertuahnya diri andai sentiasa terpilih menjadi tetamu-Nya pada setiap kali solat wajib, menyertai mereka yang bertuah, yang sentiasa berusaha memenuhi undangan-Nya yang terlafaz dalam azan si muazin.

Kedua, irama dangdut dari rumah berdekatan. Rancak bunyinya. Biasa berlaku di kawasan ini, apabila ada majlis kenduri merai pengantin, ada juga set hiburannya. Set hiburan boleh berupa karaoke, dengan penyanyi diupah khas, atau juga penyanyi bidan terjun, siap dengan deejay yang bertugas. Ada yang berupa kumpulan gitar rancak, yang turut diundang dan diupah khas. Kumandang dan gema bunyi-bunyian ini bermula jam 8 malam, menjangkau ke malam larut. Kemudian, disambung keesokannya hingga pengantin tiba dan bersanding di pelamin. Apa tujuannya aku pun tidak tahu. Mungkin mahu menghiburkan mereka yang membuat kerja masak-memasak bagi hidangan keesokan paginya. Atau juga supaya rumah itu meriah malam itu dengan bunyi-bunyian, menandakan bahawa tuan rumah sedang mengadakan kenduri menyambut menantu.

Yang aku musykil, sewaktu solat mahu didirikan sebegitu, bunyi-bunyian itu tidak reti mahu senyap. Pekalah sedikit wahai tuan rumah, pada sekitar, pada waktu, pada solat. Sekiranya tidak turut serta dalam jemaah solat itu, sekurang-kurangnya hormatlah pada keadaan seperti itu. Tuan rumah mungkin sangat berbangga dengan meriahnya rumah pada malam itu, dan esoknya. Maka, tahanlah telinga jiran-jiran sekitar yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, dari bayi hingga orang tua tiada upaya. Tahanlah sahaja telinga, mata, mulut dan hati hingga kadang-kadang menjangkau ke pukul 1 pagi.



Subhanallah…!

No comments: