Alam saujana terhampar indah luas, menggamit saujana jiwa berbicara pada segala rupa. Bicaralah yang mulus daripada jiwa yang tulus...
27 April 2009
SEJENAK DI PESTA BUKU
I
Awal-awal lagi, aku telah membuat keputusan untuk tidak ke sana lagi pada tahun ini. Apakah perlunya aku ke sana pada saat ilham dan semangatku membeku? Beku dan kaku! Aku pun tidak ketahuan punca. Berkali-kali mencari dan mencuba untuk mencairkan kebekuan nan panjang. Namun yang kutemui hanyalah alasan-alasan kebudak-budakan. Lantas, terlucut seketika gelar penulis itu dari diri. Aku pun tetap dengan keputusanku untuk tidak ke sana pada tahun ini.
II
Kita pun tidak tahu rezeki dan nasib kita pada masa hadapan. Andai kita pernah merancang-rancang sesuatu, dan berfikir-fikir, lalu membuat tekad yang bulat, tidak semestinya terkabul dan terlaksana ia. Aku pun terlangkah kaki juga ke sana, ke pesta buku itu. Pada saat kebekuan masih menjadi milikku, bersatu denganku. Oh, Tuhan! Pada hari terakhir ini, kusaksikan deretan buku dan deretan manusia yang berkunjung, bagai tahun-tahun lalu. Cuma, deretan manusia di situ masih belum berasak amat. Mungkin disebabkan aku sampai awal hari ini.
III
Aku turut mengehadkan buku yang harus dibeli dan dipunya. Bukan kedekut, tetapi untuk menghukum diri. Hukuman yang paling patut. Mana tidaknya, buku yang dibeli pada pesta buku tahun lalu pun masih ada yang gagal kukhatamkan. Huh! Lalu, mata dan kaki pun melilau ala kadar. Beberapa judul yang aku sasarkan untuk dibeli berjaya kuperoleh dengan mudah, tanpa berasak-asak. Maklum sahaja, masih awal pagi. Di gerai CESB, aku capai novel Jibam, novel yang pernah aku khatamkan lama dahulu. Demi mengembalikan nostalgia, juga disebabkan mahu menjadikannya koleksi, maka kucapainya juga. Kebetulan, Ujang berada di gerai CESB pagi ini. Lalu, kumintakan sekali tandatangannya. Melihat dan mengenang kembali kisah perjalanan Ujang, semangatku tiba-tiba hadir kembali. Ya, semangat! Semangat itu bagai suatu kekuatan yang sedang mengalir dan menjalar dalam diri.
IV
Kukunjungi juga gerai Dawama, Karangkraf, Berita dan lain-lainnya. Deretan novel karya penulis yang aku kenali menambah rasa teruja. Betapa tekunnya mereka menggarap karya, hingga ‘bersepah’ karya mereka di situ. Berbanding diri ini, alahai!
V
Gerai yang pasti kukunjungi semestinya gerai PTS. Jangkaanku tepat. Gerai ini yang paling ramai pengunjung berkerumun. Walaupun masih pagi, berasak-asak pengunjung di sini. Aku pun turut menyelit, terus sahaja capai buku yang telah tertulis dalam kepala. Aku hanya sempat ‘sambar’ tujuh buah novel di sini, walaupun di hati begitu geram untuk mengambil lebih daripada itu. Orang-orang kuat PTS berkumpul di gerai ini. Mereka pastinya tidak mengenali penulis kecil sepertiku, walaupun aku mengenali mereka. Aku pun tidak mahu untuk memperkenalkan diri. Siapalah diri ini untuk mengenalkan diri. Sekadar mengukirkan senyuman, dan bertanya dua tiga baris soalan ala kadar. Sebelum ke pesta buku, aku telah siapkan kupon potongan harga yang diberi PTS melalui kiriman emel. Dalam kupon tertera 20% potongan harga sekiranya membeli buku pada hari terakhir ini. Namun, pembeli dapat potongan harga sebanyak 25% hari terakhir ini. Begitu juga halnya di gerai-gerai lain. Hari terakhir ini, para penerbit buku pun tidak mahu angkut pulang buku-buku yang dipamerkan agaknya. Menyesal pula tidak kaut banyak-banyak, sebagaimana menyesal tidak kaut banyak-banyak di gerai Dawama sebelumnya.
VI
Kaki ini belum lenguh lagi, namun kutinggalkan juga pesta yang semakin meriah. Yang kubawa pulang pastinya buku-buku yang kuidam, walaupun banyak lagi buku yang terpaksa sekadar kuintai pandang. Yang turut serta kubawa pulang adalah semangat yang telah lama hilang. Semoga kebekuan bukan milikku selamanya.
Alhamdulillah…!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
10 comments:
Alahai cikgu, merendah diri tak kena tempat. Saya dapat potongan harga RM11++ untuk satu buku. Saya pun bukan dikenali di situ, tetapi saya peduli apa! Itu hak saya :D
~zalisa maz~
Bukankah penulis PTS seperti tuan layak diberi diskaun 35%?.
Ustazah dan Tuan MBA,
Tahun lalu saya ke situ dengan wajah ceria. Sempat bergambar dengan dua orang editor di situ. Saya perkenalkan nama pena dan mohon diberi diskaun sebagai seorang penulis. Terkebil-kebil saya apabila ditanya penjaga kaunter bayaran: Mana buku saudara? Lalu jawab saya: Saya dimaklumkan ia terbit pada pesta ini, tetapi saya dimaklumkan lagi memang akan terbit sehari dua ini. Tak mahu cakap banyak, bayar sahaja dengan harga bukan penulis. Tahun ini, saya cari-cari juga buku saya di situ. Namun, ...sudah habis agaknya dibeli orang. Saya pun tidak mahu soalan serupa berulang: Mana buku saudara? :p
oh, kesiannya. itu juga yg kak ila alami lama dulu.tp bezanya kak ila tidak langsung memperkenalkan diri sbg penulis.bayar saja mengikut harga yg dikenakan. malu nak mengaku aku ni penulis di situ sedang karya tak seberapa. tp la ni tak pyh bagi tau kak ila sapa sebab dah ramai dibooth itu yg kenal sbb saban tahun duduk di kerusi penulis.
Tahniah lagi Kak Ila! Bersepah karya Kak Ila di situ ya. Booth ini ada, booth yang itu pun ada. Itu yang bikin hati ini cemburu. :D
cemburu untuk kebaikan tak apa dik. sebab itu perlunya kita ke pesta buku saban tahun, demi menaikan semangat. menulis bukan sahaja duduk betapa atau bermentera mintak ilham dari langit, tapi semangat2 & dorongan pun penting. jumpa rakan penulis selalu, bl tebit rasa cemburu, akan terbitlah karya bagus.
Mmmm kenapa tidak di gempaxkan kat blog nak pegi Pesta Buku. Kalau tak, boleh la sembang2 kat mana-mana sambil bercerita...
Kak Ila, terima kasih berikan semangat. Moga makin membara.
Maharam, apa nak digempaxkan, siapalah kita, penulis kecil je. :)
Jangan disangkakan kita sekadar penulis kecil, tidak dikenali ramai, cikgu nak berasa rendah diri tak kena pada tempat.
Someday somehow, Allah pasti akan buat cikgu dikenali ramai. Hanya kesabaran saja diperlukan.
Hehehe!
Saya baru saja membeli buku nukilan cikgu.
Guru Arkitek Bangsa.
Saya minat dengan profesion guru tapi tak tau jika saya dapat menjawat profesion ini di masa depan. Takut tak m'dpt restu ayah.
Ayah m'inginkan yg lain selain profesion p'guruan.
Saudara ML,
Terima kasih kunjungan dan pesan semangat. Teruskan sahaja detik hati pada pautan profesion mencabar ini. Paling utama, niat kerana Allah. Semoga berjaya dengan cabaran yang bakal diharung. Semoga GAB memberi inspirasi.
Post a Comment