30 April 2009

CURI TULANG DAN LIDAH TIDAK BERTULANG

Maka hebohlah cerita dua orang doktor yang dikatakan curi tulang dalam waktu bekerja. Curi tulang memanglah dilabelkan kepada orang yang tidak melakukan kerja sepatutnya pada waktu sepatutnya bekerja. Sebagai contoh, seseorang itu seakan-akan sahaja mengutip sampah, atau seakan-akan sahaja mengangkat itu dan ini dalam suatu program gotong-royong. Walhal hanya sedikit sahaja tenaganya yang digunakan bagi tujuan tersebut. Maknanya tulang empat keratnya tidak diwakafkan sepenuhnya sewaktu melakukan kerja-kerja yang sepatutnya. Malunya sekiranya terkena pada diri kita kes ‘tertangkap’ sewaktu curi tulang itu. Apatah lagi disiarkan cerita sensasi itu di akhbar arus perdana.

Setelah siasatan dilakukan, maka cerita curi tulang itu nyata berbeza dengan realiti. Orang yang ‘menangkap’ doktor serta mendakwa curi tulang itu pastinya di kalangan bijak pandai. Sekiranya bukan bijak pandai, bagaimana pula dapat menjawat jawatan sepenting itu? Orang yang menyiasat itu juga pastinya di kalangan bijak pandai. Begitulah halnya sekiranya konklusi dibuat secara terburu-buru. Mungkin waktu itu emosi mendahului akal. Lidah tidak bertulang, mudah sahaja emosi terlafaz di lidah. Kesannya, tercemar nama hospital dan para doktor di situ. Terluka agaknya hati para doktor di situ, sebagaimana terlukanya hati para guru apabila segelintir ibu bapa yang membawa kes mereka ke mahkamah secara melulu, lalu terpalit nama semua guru. Eh, apa pula masuk bab guru! Sama sahaja. Mereka sama-sama bekerja, berkhidmat mencurah bakti dan budi kepada bangsa, negara dan agama.

Agak-agaknya si lidah tidak bertulang ini akan memohon maaf atau tidak selepas ini. Mungkinkah para doktor yang dikata-kata curi tulang itu akan bertindak balas? (Teringat ungkapan itu: Bagai mentimun dengan durian, dilenyek lumat, melenyek pun lumat. Namun, ada tambahan: Durian sekiranya sudah jadi tempoyak, dibuat pencicah timun jawabnya.)



~30 APRIL 2009 hari terakhir bagi mengisi e-filing LHDN. Jalankan tanggungjawab kita sebagai pembayar cukai.


Subhanallah…!

4 comments:

kak ila said...

jawapannya: pasrah saja. selagi namanya kakitangan awam, kita sentiasa dipandang serong. CURI TULANG, MAKAN GAJI BUTA sudah sinonim. tapi bagaimana bertungkus lumusnya kita, berpeluh ketiak, orang tak nampak. sabo je cikgu... dan sabo juga diharapkan pada doktor2 yg terlibat. iktibar pada yg lain.jaga tingkah laku.

Bunga Rampai said...

Salam,

Saling bermaafan adalah lebih baik untuk kedua-dua pihak, dan peristiwa dijadikan pengajaran.

Masak asam pedas campur tempoyak - sedap! :)

ez said...

Apa khabar cikgu,
Kadang-kadang disebabkan seorang habis semuanya terpalit. kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Apa pun tempoyak tepat pembuka selera yang sukar ditandingi :)

MYA MARJA said...

Kak Ila,
Yob tetap sabo. Kalau tak sabo, lama dah budak-budak sekolah yob kena penampor. :P

Salam BR,
Memaafkan dan berbaik-baik. Emosi letak tepi.
Wah, tukang masak handalan tu!

Khabar baik Kak Ez,
Makin banyak buku terbit ya. :D Tahniah Kak Ez! Tempoyak tu ada perisa mangga tak? :)