Hari ini tidak terlihat atau terbaca berita tentang Palestin yang diganasi Israel di mana-mana laman akhbar. Mungkin aku yang terlepas pandang. Beberapa hari lalu, sesekali Israel mengganas lagi di bumi Palestin. Berita yang terpapar di akhbar pun tidak sehebat sebelumnya. Maka, ingatan kita kepada saudara seagama di Palestin pun bakal luput sedikit demi sedikit. Itu terbukti dari sudut psikologi. Makin jarang didengar, dilihat atau dibaca, maka makin kita melupakan ia. Atas sebab itulah, iklan pelbagai produk masih tetap berterusan di mana-mana media, walaupun ramai yang sudah tahu tentang produk tersebut. Malah, produk yang sudah tentu digunakan saban hari oleh pengguna pun masih terus disiarkan iklan tentangnya. Maka, iklan atau ingatan kita kepada penderitaan rakyat Palestin hendaknya tidak terluput lantaran tiadanya siaran berita tentangnya.
Beberapa hari lalu, pilu rasa hati apabila terbaca berita tentang bekalan makanan dari seluruh pelosok dunia tersekat di sempadan. Berminggu-minggu bekalan itu diterik matahari dan diembun malam. Ada jiran Islam pun tidak boleh tolong. Atas alasan apa sempadan negaranya ditutup? Saudara seagama juga yang terbiar menderita. Negara Islam berkeliling, tetapi mereka meratap sendirian, berjuang dan terus berjuang. Kita yang jauh ini turut menyumbang. Bertan-tan sumbangan itu tersadai, tidak sampai pula kepada yang sepatutnya. Alangkah, andai sumbangan itu sebahagiannya daripada kita. Maka, yang masih sampai kepada mereka adalah doa kita, doa saudara seagama, mudah-mudahan.
Sewaktu mereka dihujani derita, kita pun menghulurkan sumbangan. Walaupun sebahagian kita menyumbang dengan cara hibur-hiburan (hmm.. entahlah!). Hendak menyumbang pun perlu sampai mengadakan konsert dan bernyanyi-nyanyi. Sekiranya bacaan sajak, memang seharusnya pun. Paling tidak, dapat timbulkan kesedaran di hati, sambil menghulur sumbangan. Ada yang menjual barangan peribadi atas maksud yang sama. Semua ini hanya bermusim. Namun, derita rakyat Palestin adalah berterusan!
Khutbah Jumaat minggu lalu, berapi-api dan penuh semangat. Isinya tentang membangkitkan kesedaran kita umat Islam seluruhnya agar bangun membela. Sekiranya mati di medan juang, syahid menjadi ganjaran. Naik juga semangat bagi berjuang bersama-sama mereka. Kita yang jauh ini pun turut terasa bahawa mereka begitu dekat dengan kita. Realitinya, apalah yang dapat kita lakukan? Sekadar sedikit sumbangan dan doa dari kejauhan. Sumbangan itu pun telah tersekat di sempadan. Yang tinggal mengiringi mereka hanya doa dan semangat, yang mungkin bakal pudar sedikit demi sedikit lantaran semakin kurang berita tentang deritanya rakyat Palestin.
Subhanallah…!
5 comments:
doa2 juga. tapi berdoalah kita selalu agar keamanan negara kita kembali. negara kita pun dah macam tak aman kan? macam2 terjadi.
InsyaAllah doa tidak akan luput dari ingatan para saudara seagama :)
Salam,
Begitulah selalunya, kalau tidak 'dibising-bisingkan' orang pun diam. Semoga kita terus menghulur bantuan semampu kita - DOA yang tidak putus-putus untuk mereka, juga saudara Islam lain yang dianiaya.
Kak Ila,
Berdoa agar hati-hati yang mati dapat hidup semula.
Kak Zalisa,
Doa penghubung antara kita dan Pencipta.
Bunga Rampai,
Berdoa juga agar barangan mereka terus kita boikot.
Kak Ila,
Berdoa agar hati-hati yang mati dapat hidup semula.
Kak Zalisa,
Doa penghubung antara kita dan Pencipta.
Bunga Rampai,
Berdoa juga agar barangan mereka terus kita boikot.
Post a Comment