05 January 2009

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

Kepada yang bergelar murid dan pelajar sekolah, diucapkan selamat kembali ke sekolah. Kembali ke sekolah bermakna kembali menimba ilmu secara formal di tempat khusus. Bersekolah bukan bermakna belajar berasaskan buku dan silibus yang disediakan semata-mata. Skopnya harus dilihat dalam makna yang lebih meluas. Di sekolah, titik mula membentuk diri bermasyarakat. Pelbagai ragam dan pembawaan manusia yang bergelar murid dan pelajar ini berbaur dalam sebuah komuniti kecil. Di situ, wibawa seorang pemimpin akan datang terlentur, terdidik dan terasah. Begitu juga dengan penyesuaian diri dalam masyarakat yang akhlak dan perangai pelbagai rupa.

Kepada warga pendidik, diucapkan selamat menempuh lagi cabaran mendidik anak bangsa. Berbekalkan azam dan semangat baru pastinya. Mendidik anak bangsa tidak pernah ada titik akhir. Titik akhirnya adalah apabila sampai saatnya kembali kepadaNya.

Sewaktu menghadiri mesyuarat guru pertama tempoh hari, Guru Besar ada menyebutkan tentang amalan guru beretika. Bagi yang tidak ambil endah, ia bagai angin lalu. Namun, bagi yang ingin bermuhasabah diri, juga dengan niat membaiki diri, senarai amalan guru beretika ini adalah satu imbas kembali yang kadang-kadang tidak diambil berat. Boleh juga amalan guru beretika ini ditukar kepada amalan pekerja beretika.

Sekadar ingin berkongsi:
Amalan Guru Beretika

1. Mempunyai niat yang betul.
2. Tahu tugas adalah amanah.
3. Menjadi teladan yang baik.
4. Ikhlas dan jujur menjalankan tugas.
5. Berbaik-baik dengan semua orang.
6. Berkomunikasi dengan berkesan.
7. Menerima mereka yang berada di sekeliling seadanya.
8. Tidak berkira.
9. Bijak mengurus masa.
10. Bersedia menerima teguran/pandangan.
11. Bersedia memohon maaf dan memberi kemaafan.
12. Bersedia menambah ilmu dan pengalaman/belajar daripada orang yang berjaya.
13. Sentiasa bersedia meningkatkan iman dan amal soleh/cari pahala dan hapuskan dosa.

Apabila melihat ke dalam diri-sendiri, kadang-kadang amalan di atas tergelincir juga. Manusia biasa dan lemah, itulah alasan yang selalu kuberi. Namun, mudah-mudahan tahun ini dapat membaiki diri dan sentiasa terpandu dalam setiap langkah dan nafas. Semoga ada kebaikannya. Semoga langkah makin bermakna dan sentiasa mendapat keredaanNya.


Alhamdulillah…

6 comments:

Anonymous said...

ya. selamat kembali ke sekolah cikgu. betul tu. apa2 kerjaya kita yg penting niat.
Ha, nak tenggok gambar penulis prima, meh le ke blog kak ila... cari yg mana satu akak.

Unknown said...

mengajar rajin2 ya cikgu :D

Unknown said...

selamat menempuh cabaran baru di tahun baru. :)

MYA MARJA said...

Kak Ila,
Teringat akan kata-kata guruku dulu, mulakan sesuatu dengan niat. Pastinya niatkan kerana Allah. Alhamdulillah...
Sudah jumpa gerangan penulis ACK... :D

Ya, insyaALLAH ustazah. Rajin dan terus rajin.

Dik Nin juga. Azam ingin terus bersemangat. :D

faqhrule said...

salam cikgu..

sedang kalut mencari bahan untuk menyertai pertandingan pantun peringkat institusi pendidikan guru kampus saya; sewaktu melayari mozilla musang terbang ini, saya tergerak untuk singgah di laman ini.

nah, tepapar gambar susuk seorang guru, guru bahasa melayu yang pernah mengajarku di tahun lima suatu masa dahulu. ya tahun lima zaaba; depan tangga bilik guru, sebelah tandas murid perempuan,bersetentang kolam air terjun simen.

dia inilah yang mengajar menyebut perkataan dengan betul; sebutan baku. tiap kata yang keluar dari mulutnya pasti sebutannya baku.

terima kasih cikgu atas semua
tunjuk ajar ilmu yang pernah dicurahkan. hanya allah mampu membalasnya. saya kini mengikuti jejak langkah cikgu bercita-cita menjadi pendidik jalanya sama tapi simpangnya bukan simpang bahasa.

terima kasih cikgu.

*dahulu nama penanya cuma MYM bukan cikgu?

MYA MARJA said...

Salam anak muridku Fakhrul,

Semoga kebaikan yang diterima, ditebarkan pula kepada anak bangsa. Cabaran menjadi pendidik semakin hari semakin menguji rasa dan hati. Hanya kepada Allah kita memohon pertolongan. Tahniah kerana memilih kerjaya ini! Teruskan bahasa baku yang gurumu ajari itu, selagi mampu. Selamat menjadi pendidik! :)