09 November 2008

TERINGAT

Tiba-tiba aku teringat pada puisi cinta Islami yang kugarap sewaktu mula-mula belajar berpuisi dahulu. Puisi yang terpilih bagi diterbitkan itu telah lama kunantikan saat diterbitkan. Namun, mungkin ada halangan yang aku sendiri tidak tahu, maka jadual penerbitannya tertangguh. Aku pun tidak mahu bertanya apa-apa lagi, segan agaknya. Orang kata, malu bertanya sesat jalan. Kataku pula, tidak mengapa andai sesat dalam cahaya… :) Bagai kata seorang sahabat, kerja tulis-menulis adalah kerja penulis. Kerja siar-menyiar, terbit-menerbit adalah kerja penerbit. Bimbingan yang diberi oleh penyair tersohor itu menapakkan diri ini dalam daerah puisi, yang kadang-kadang sepi. Terima kasih tidak terhingga atas bimbingan yang diberi. Ada rakan-rakan di dalam kumpulan penulis puisi cinta Islami ini bertanya kepadaku tentang tarikh terbitnya kumpulan puisi bersama ini. Lantas jawapan serupa kuberikan, aku pun tidak tahu.

Entah mengapa, tiba-tiba teringat puisi-puisi ini.


TERIMA KASIH MEMBERIKAN AKU CINTA
Mya Marja

Terima kasih
kerana pernah memberikan aku cinta
dalam sejalur waktu yang kelam
kausuluh terang segala suram.

Terima kasih
kerana cintamu adalah kata berjiwa
yang kauatur sopan tanpa bujukan
tanpa bicara berdepan mata
hanya terutus di angin lalu
mesra menyapa hati yang beku
menyubur rasa yang lama layu.


SEKUNTUM SENYUM KEPADA KENANGAN
Mya Marja

Senyum ini makin menguntum
pada kenangan yang kusimpan
dalam diam menyubur pohon diri
yang dahulu layu tidak bersiram.

Kasihmu itu bagai embun pagi
segar dinginnya memberiku damai
dan semangat makin bernyawa
lalu kuhembus nafas derita
dan kuhirup hikmah katamu
mencari diriku semula.

Senyum ini masih menguntum
kerana sekali engkau memberi cinta
tetap tersemat harumnya
walaupun kini aku terluka
kautinggalkan.


Alhamdulillah…!

2 comments:

Anonymous said...

Sahabatku yang manis...
Indah dan menusuk...terima kasih pada kenangan...

MYA MARJA said...

Sahabatku yang manis,
Menusuk kalbu ya? Sajak budak baru belajar tu. :)
Kenangan mendewasakan diri.