14 November 2008

SYUKUR

Sedikit atau banyak yang Allah beri, kuterima dengan rasa syukur. Syukur pada segala rezeki yang Dia kurniakan. Sama ada rezeki berbentuk nikmat atau juga rezeki yang bentuknya amat menguji. Nikmatnya sewaktu menerima rezeki yang berbentuk kesenangan, kemewahan, kemenangan, kemegahan, kemasyhuran, ketenangan, kedamaian, kesihatan, dan keindahan. Rasa syukur moga akan terus jadi peneman sewaktu segala nikmat ini datang. Lebih mengujakan sekiranya datangnya nikmat itu tanpa diusahakan secara susah-payah. Rasa syukur nyata lebih bermakna apabila dapat pula dikongsikan segala nikmat itu dengan orang lain, setakat yang boleh dikongsikan. Rasa syukur juga akan lebih bererti apabila muhasabah dan amalan makin kerap dan bertambah.

Segala sesuatu yang datangnya amat menguji juga kutafsir sebagai rezeki. Walaupun sebenarnya takrif yang lebih tepat adalah ujian! Segala sesuatu yang amat menguji, kadang-kadang menguji iman, menguji akal fikir, menguji kesabaran, menguji kematangan dan menguji rasa. Segalanya rezeki. Manakan tidak. Bukankah sekiranya kita bersabar dengan segala bentuk rezeki bernama ujian ini, maka balasanNya amat indah dan tidak terduga oleh akal insan selemah kita?

Tidak semua yang dihasrat dan dimahukan oleh hati dan perasaan akan tercapai tangan. Datangnya segala rezeki yang berbentuk ujian ini walaupun adakalanya mencengkam rasa, indahnya tidak terkata. Terlalu indah apabila sewaktu ujian itu datang, lalu berharap dan pasrah sepenuhnya kepada Tuhan. Bergantung harap sepenuh kesungguhan dan seluruh rasa kepada Allah! Subhanallah, terlalu indah, terlalu nikmat! Reda dan rahmat Allah juga yang kita pohonkan. Syukur!


Alhamdulillah…!

No comments: