26 August 2008

TAHNIAH!

Sekiranya anda menang hari ini, kuucapkan tahniah! Sekiranya anda tewas hari ini, kuucapkan juga tahniah! Menang atau tewas adalah lumrah dalam pertandingan. Gembira atau duka juga lumrah dalam kehidupan. Ketawa atau tangisan merupakan asam garam perjuangan. Yang menang harus terus berjuang membela kebenaran, biar perit rintangan, tetap gagah diharungi. Yang kalah tidak semestinya meratap hiba. Inilah peluang dan ruang waktu bagi bermuhasabah. Moga-moga cahaya masih milik anda.

Sajak ini kukarang sewaktu pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Namun, masih sesuai dipaparkan waktu ini:


JANGAN JADI PAK KADUK

Terbukti sudah satu kemenangan
lambang percaya rakyat kebanyakan
engkau berjaya bergelar YB
terpikul amanah di pundakmu kini
usah persia peluang diberi.

Duduklah di kerusi itu
telah tertulis buatmu
saat engkau dijunjung diarak
rakan taulan bersorak-sorak
puji doa dikirim bersama
tanda kaumasih ingat padaNya.

Sementara engkau diberi kuasa
usah gila mengumpul harta
hingga lupa tanggungjawab tersedia
menanti menagih tak tentu masa
ingatlah YB yang berkhidmat sentiasa
pasti engkau tidak lupa.

Engkau memimpin satu kawasan
mereka perlukan perhatian
yang susah perlukan pembelaan
yang senang mohon ganjaran
gunakan akal budimu tuan
usah ulangi kisah Pak Kaduk
ayamnya menang kampungnya tergadai.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
28 FEBRUARI 2008.
(Berita Minggu - 23 MAC 2008)


Alhamdulillah...

4 comments:

Unknown said...

Tahniah juga daripada saya untuk si menang. semoga tak lupakan saya apabila saya memohon bantuan di kala kesusahan ;)

Ku Keng said...

ketiga-tiga menang; menang undi; menang sorak dan menang pengalaman.

Bunga Rampai said...

Saya juga menang - menang 'rasa' membaca sajakmu itu. Alhamdulillah.

Salam :)

MYA MARJA said...

Puan Zalisa,
Susah senang orang bawah, telan sendirian.

Tuan Keng,
Yang berusaha tetap menang. Yang tak berusaha, itu yang tewas.

Cik Bunga Rampai,
:) ..Bila pula nak menang tulis novel ya?