Apabila sesuatu kenyataan pahit itu terpaksa juga ditelan, dan sememangnya tiada pilihan lain atau jalan keluar, pilihan yang ada mungkin adalah pernyataan hati, bahawa yang pahit itu adalah ubat. Kemanisan berterusan bakal menjadi racun, mengundang penyakit – ibarat pengambilan gula berlebihan, bakal mengundang penyakit kencing manis.
Mungkin juga kemanisan hidup yang terlalu dan sentiasa, bakal mengundang kelalaian disebabkan diri telah berasa begitu selesa – begitu selesa dengan hidup yang dilalui. Lalu, dengan keselesaan itu bakal mengalpakan kita bahawa hidup ini adalah perjuangan – perjuangan berterusan!
Perjuangan pertama dan utama adalah perjuangan melawan nafsu sendiri. Apabila sesuatu kesusahan – kepahitan mendatangi hidup, kadangkala nafsu cenderung untuk tidak menerima takdir. Di mulut mungkin tidak terluah, namun di hati berkeluh kesah, dan mungkin menyumpah seranah. Mengapa harus keluh kesah dan sumpah seranah andai diri menerima dan reda segala suratan, segala takdir (penerimaan takdir adalah selepas sesuatu itu dirancang, berusaha, ikhtiar dan doa - selebihnya lalu bergantung harap penuh pada ketentuan Allah).
Ibarat sebuah perjalanan, kita tanpa terkecuali melangkahkan kaki di denai hidup. Kita boleh sahaja memilih denai mana yang ingin dilalui. Namun, apakah kita boleh melihat peristiwa yang bakal kita tempuh sepanjang perjalanan di denai pilihan itu? Hutan yang tebal itu ibarat rahsia Tuhan yang tidak mungkin tersingkap mata kasar dan mata akal manusia yang serba lemah seperti kita. Ketentuan di hadapan adalah menjadi rahsia Tuhan Yang Maha Menentukan. Di sana ada rahsia tentang lokasi rezeki ditaburkan, tentang jodoh pengiring perjalanan, tentang hidup, tentang di tanah mana kematian menjemput, dan ketentuan tentang syurga atau neraka yang bakal kita hidup!
Inilah hidup! Tidak semua yang direncana dan diusahakan bakal tercapai tangan, terdakap harapan impian. Satu-satunya pilihan yang mungkin masih ada bagi menghadapi sesuatu kenyataan adalah rasa reda sabar sepanjang perjalanan. Mungkin itulah pilihan yang tinggal.
Hidup akan selalu diuji…!
Alhamdulillah…
5 comments:
wah tingginya falsafah ini. sebagai org biasa rasanya sukar untuk kak ila memahami apa yang terselit di sebalik falsafah adik. apa2 pun, kak ila rasa insaf sungguh.....
p/s hidup ini memang manis jika kita sering bersyukur, akan jadi pahit jika hipokrit.
apa-apa pun, aku selalu belajar untuk redha, meskipun payah.
Kak Ila, tak tinggi mana pun falsafahnya. Sekadar menjadikan alam sebagai pembayang. Bersyukur manis, bersabar manis. Alhamdulillah!
Dik Nin, belajar lagi dan lagi. Teringat kata-kata seorang jemaah tabligh: Lagi dan lagi... Payah redha, mudah syukur. Semua tersedia untuk kita.
Sahabat yang dikasihi..
Hidup akan sentiasa diuji..maka berbahagialah manusia yang sering sabar dengan ujian-ujian itu kerana kesabaran akan membawa kemanisan dalam diri.ketenangan dalam jiwa yang resah..
Sahabat yang dikasihi,
Mudah-mudahan mudah dan lulus pada setiap ujian Tuhan. Bahagia dek sabar terlalu manis untuk diulit. Sesekali hati meronta jua melihat bahagia di luar diri.
Post a Comment