Sewaktu menyusuri jalan menuju ke Ismah Beach Resort dari Banda Hilir Melaka, perjalanan pasti terhenti-henti sewaktu menempuh stesen minyak. Aku kira lebih sepuluh stesen minyak yang aku temui sepanjang perjalanan menghampiri maghrib itu. Perkataan yang sesuai untuk aku gambarkan keadaan kenderaan yang menyerbu stesen-stesen minyak itu adalah berduyun-duyun! Pemandangan biasa pada waktu puncak bagi menggambarkan keadaan kenderaan-kenderaan itu adalah berderet-deret. Namun, keadaan yang sangat luar biasa berlaku petang itu, cukup membuatkan aku terkejut seketika: Kenderaan itu berduyun-duyun menyerbu stesen minyak!
Aku fikir sempat untuk kudirikan solat jamak takdim sesampainya di tempat percutian itu, namun sangkaan aku meleset. Akibat kenderaan yang berduyun-duyun itu, perjalananku memakan waktu. Aku tidak mendengar atau membaca apa-apa berita pun seharian itu. Namun, aku dapat mengagak bahawa harga minyak pasti naik lagi pada tengah malam nanti. Jangkaan aku tepat belaka sewaktu aku bertanyakan keadaan kenderaan yang luar biasa itu pada seorang pekedai di tepi jalan. Aku menggeleng-geleng kepala apabila pekedai itu memberitahu bahawa harga petrol naik sekitar lapan puluh sen seliter!
Pekedai itu bertanya, “Hendak salahkan siapa dalam hal ini?”
Aku geleng-geleng kepala lagi. Seketika kemudian aku menjawab, “Agaknya sudah tidak dapat dielak lagi. Maklum sahaja harga minyak kita mengikut lonjakan harga minyak dunia!”
“Siapakah yang harus dipersalahkan?” Pekedai itu bertanya lagi.
“Ini angkara Bush agaknya. Ya, angkara Bush!” Pantas aku menjawab.
Pekedai itu angguk-angguk, kemudian berkata, “Memang Bush itu tidak berguna! Ramai yang kata hal ini akibat tindakan Bush yang sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak.”
Aku berlalu tanpa mahu memberikan ulasan lagi. Dalam hatiku berkata, apakah benar kata-kataku tadi. Andai benar, sebegini dahsyat kesan yang harus rakyat Malaysia tanggung!
Esoknya, pagi-pagi lagi aku menyusuri pantai berhampiran Ismah Beach Resort. Aku mahu melihat pasir dan ombak yang memukul pantai, sambil menghirup bayu laut berhembus tenang pagi itu. Sewaktu aku duduk di atas sebatang kayu yang terdampar di tepi pantai itu, seorang tua menghampiriku lalu duduk di sebelahku. Orang tua itu menyapaku. Dia menyangka aku sedang duduk memancing di situ. Terus sahaja kami berbual, dan sekitar perbualan itu terus sahaja pada harga minyak yang melambung naik!
“Orang kerja bergaji tetap tidak mengapalah, boleh lagi bertahan. Bagi orang-orang kampung seperti pak cik ini, tersepit nafas!”
“Apa hendak dibuatkan lagi pak cik, seluruh dunia menanggung rasa yang sama.”
“Eh, adakah Malaysia ini tiada minyak sendiri? Mengapa pula kita turut merasa kesan kenaikan minyak dunia?”
“Minyak Malaysia bermutu tinggi, pak cik. Jadi, ia dijual kepada pasaran luar negara, boleh buat untung. Yang kita beli dan gunakan itu minyak dari luar negara yang lebih rendah mutunya, dan pastinya lebih rendah harganya,” jawabku, tanpa aku peduli bahawa jawapan itu betul atau salah. Aku menjawab mengikut apa yang aku pelajari daripada guruku sewaktu bersekolah dahulu. Entah betul atau tidak, yang penting orang tua itu mengangguk-angguk tanda faham. Namun, tiada segaris senyuman yang terpamer pada wajahnya.
Orang tua itu aku tinggalkan keseorangan di tepi pantai. Aku perlu kembali ke resort itu untuk bersarapan pagi, sarapan yang terlewat sedikit sebagaimana dijanjikan pengurusan resort. Sarapan yang biasa-biasa sahaja, sebagaimana di hotel-hotel lainnya. Selepas bersarapan, aku ke kolam renang. Di tepi kolam itu, aku melemparkan senyuman kepada seorang lelaki yang membawa anak kecilnya untuk bermandi-manda di situ. Aku menyapanya. Lalu, topik perbualan turut berkisar pada harga minyak yang melambung tinggi.
“Selepas ini hendak balik kampung terasa sakitnya. Malam tadi saya isi minyak, sekejap sahaja terhenti pam minyak itu walaupun saya membayar RM50!” keluh lelaki berkaca mata itu.
Aku buat-buat bertanya, “Bukankah kerajaan beri subsidi, tetapi mengapakah harga minyak sebegini tinggi melambungnya?”
“Subsidi bukan untuk rakyat kebanyakan seperti kita. Subsidi itu untuk syarikat pengangkutan sahaja agaknya,” jawab lelaki itu selamba, sambil memerhatikan anaknya yang mulai berenang di kolam.
Aku bertanya lagi, “Yang saya dengar, harga minyak bakal naik dalam bulan Ogos, tetapi sekarang baru Jun. Eh, peliknya!”
“Ogos nanti harga minyak naik lagi agaknya!” Lelaki itu tersengih-sengih.
Aku buat-buat tersenyum, sambil menahan rasa.
~Kehidupan akan lebih bermakna apabila kita sering merasai keperitan. Alhamdulillah...
6 comments:
Salam buat cikgu muda:)
Pergi bercutikah?Sekurang-kurangnya dapat melegakan perasaan dan fikiran yang berserabut kerana memikirkan pelbagai perkara.
Isu kenaikan harga minyak akan menjadi perbualan hangat. Namun sebanyak mana air liur yang kita hamburkan dan sebanyak mana perkataan yang kita ucapkan realitinya tetap sama iaitu minyak tetap naik. Hendak peket pun tiada berguna. Bersuara lantang sahaja namun tiada tindakan dari pihak-pihak tertentu. Bagi mereka sebising mana pun kita laungkan mengenai harga minyak...kita akan tetap mengisi minyak jadi mereka hanya memekakkan telinga sahaja.
Apa yang saya fikirkan ialah mengapa ini harus terjadi sedangkan kebanyakan sumber minyak adalah datangnya dari negara-negara Islam. Paling terbesar adalah Arab Saudi. Jadi mengapa harga minyak ini perlu ditentukan oleh mereka yang dipanggil 'Polis Dunia' yang kononnya menjaga keamanan dunia tetapi hakikatnya "bajingan' yang bertopengkan syaitan!
Kasihan bagi mereka yang pendapatannya agak rendah. Selepas ini selain harga minyak naik...harga barang juga naik..tarif elektrik naik..semua naik! Lama-lama akan 'Naik Minyak' lah rakyat!
Inikah yang dikatakan perbelanjaan berhemah? Inikah yang dikatakan memberikan yang terbaik untuk rakyat? Selepas ini semua kena usahakan sendiri. Tanam sayur sendiri..bela ikan sendiri...tanam padi sendiri..alahai apa hendak jadi.
Mengeluh pun tiada berguna apa yang penting kita kena ubah cara hidup. Fikirkan yang perlu dan penting sahaja. Kena cari alternatif lain bagaimana untuk menambahkan pendapatan dan menjimatkan perbelanjaan.
Cikgu, minyak naik salah Bush.Beras naik sebelum minyak naik. Si Bush tu juga ke yang jaga padi? jom kita kurung dia dalam pak padi. baru dia tahu untung nasibnya. hehe
jom pakat-pakat pasang NGV.
err, murah hati sungguh para pembesar negara kan? Potong elaun (sejenis je) 10%. elaun-elaun lain? alahai ... nilai yang cuma mampu terselit kat celah gigi.
Syukur.
terima kasih Pak lah kusayang.
Dengarnya kakitangan gaji dibayar dua kali sebulan ya?
Kasihan marhaen. Tahniah BN.
..kakitangan kerajaan.
Salam buat ustazah muda..,
Bercuti merehatkan otak. Rupa-rupanya terdera di tengah jalan. Kasihan kepada orang kampung, sungguh kasihan. Bagi yang berpendapatan sederhana pun pasti perit terasa. Kalau nak naik pun naiklah, tapi andai hingga terasa sebegini kesannya, subhanallah!
Apa nak dikatakan lagi Kak Ila..., telan sahaja le..!
Dik Nin,
Pasang NGV tak dapat rebat, he he..! Dalam isu sekarang, orang kaya mana terasa, yang terasa orang miskin macam kita dan orang-orang kampung kita....
Hah, dua kali sebulan? Wow! Eh eh, rupa-rupanya dua ansuran sebulan. Jauh bezanya tu BP, jauh.
Post a Comment