Aku cukup terkesan dengan jawapan Putri dalam ruangan Luahan Rasa bersama Putri Ahad itu. Ruangan dalam sisipan Mingguan Malaysia yang itu memaparkan luahan rasa seorang wanita, ibu tunggal yang amat menyesali tindakan lalunya. Lantas, terpapar ayat: Kalau hidup ini ada cetakan kedua, saya ingin terus mengecapi bahagia bersama lelaki yang pertama dan mungkin terakhir dalam hidup saya. Tapi mana mungkin. Hidup kita hanya satu lapisan realiti yang tidak mungkin berulang.
Dalam jawapan ringkas daripada Putri, ayat ini memberi kesan amat mendalam: Seandainya hidup ada cetakan kedua, kita akan meminta cetakan ketiga dan seterusnya.
Aku pun melihat ke dalam diri, ke dalam realiti, betapa cetakan kedua dan seterusnya sememangnya tiada. Sesekali melihat masa lalu, hati pun berkata: Kiranya ada cetakan kedua dalam hidup ini, serasa mahu kembali ke waktu itu, dan membetulkan apa-apa yang salah, mencukupkan mana-mana yang kurang, membuat pilihan sebaik-baik pilihan. Namun, sebaik mana pun rencana yang diatur, rencana Tuhan adalah yang muktamad untuk kita terima. Sebagai manusia biasa yang lemah, pasti tidak termampu melawan takdir! Lalu, cetakan ke berapa lagi yang harus kita minta?
Saat kembali membuka mata, yang ada hanya lembaran baru! Setiap hari yang dilalui adalah lembaran baru yang bakal tercoret dengan warna-warna. Selembar demi selembar kita temui setiap kali membuka mata pada pagi hari, pada hari yang baharu. Lembaran-lembaran itu putih suci, dan kitalah yang mewarnakannya. Ingatan terus menerawang, bahawa suatu waktu nanti, lembaran-lembaran ini akan dibuka semula di muka pengadilan – tempat keadilan yang seadil-adilnya! Andainya selepas waktu itu kita terfikir akan cetakan kedua, mungkin itulah waktunya yang sesuai untuk kita meminta cetakan kedua, dan seterusnya; itu pun andainya kita berada dalam golongan yang beruntung.
Subhanallah…..!
8 comments:
Itu kan warna-warni hidup. Kalau boleh ulang cetak, kena minta pada editor supaya lebih baik - tapi relaitinya tidak kan...
cetakan ke 2 akan mengikut acuan pertama dik oi. susah nak buat pembetulan, kena makan belanja besar. setengah2 penerbit tak hingin nak layan pindaan kita tu...
itulah realiti kehidupan...
cetakkan kedua? andainya saya diberi pilihan....
Salam,
Keadilan terletak pada cetakan pertama. Segala kejayaan dan kesilapan yang terpapar dalam cetakan pertama adalah guru yang mengajar akal kita berfikir untuk membina landasan dalam mencari Kebenaran. Wallahu'alam.
Salam ukhuwah sahabat..
Pasrah..sabar dan redha...
Takdir Penentu Segala..
Tuan Kholid,
Realitinya warna-warni hidup itu tetap kita calit setiap hari.
Kak Ila,
Ooo.. begitu! Moga pada lembaran baru yang ditempuh seboleh mungkin elakkan kesilapan, agar tak minta cetakan ketiga dan seterusnya.
Puan Zalisa,
Lamanya menyepi. Andai jua diri ini diberi pilihan.
Salam Bunga Rampai,
..dan segala yang berkeliling kita adalah guru pada kita yang mahu berguru.
Salam ukhuwah sahabatku,
Takdir penentu segala, dan kita pun terus berusaha mendapatkan yang terbaik dalam hidup ini, tanpa jemu.
bijak benar adiknya mempelbagai dan mempermain bahasa, cantik sekali. kak ila benar2 terpaut pada keindahan bahasa awak. adik ni guru bahasa / guru sastera? kalau boleh tahu....
Bahasa tetap begitu Kak Ila. Kita belajar dan kita menggunakannya, dalam kata, dalam tulis. Terpaut? Ish, jauh lagi untuk mencapai keindahannya! Guru kecil sahaja, di daerah terpencil. Silakan baca novel Guru Arkitek Bangsa bagi mendapat jawapan pasti. :D
Post a Comment