Seorang ustaz berkopiah putih dan berpakaian kebangsaan memberikan ceramah motivasi di sekolahku tidak lama dahulu. Ceramah itu bertujuan memberikan motivasi dan perangsang kepada murid-murid tahun enam yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Suara ustaz itu lantang dan bertenaga. Jika beliau menjadi penceramah di pentas politik, memang sesuai benar dengan suara dan karektornya. Bukan semua orang punyai bakat berucap seperti itu. Memang begitu pun yang dinamakan bakat dan kemampuan seseorang, ada sahaja perbezaan di mana-mana.
Dalam ceramah itu, unsur kecindan jua lawak jenaka turut diselitkan bagi menarik minat murid-murid mengikuti ceramahnya. Aku yang bertugas selaku perakam peristiwa, bangun dari tempat duduk di belakang dewan ceramah, lalu menuju hadapan dewan. Sewaktu sasaran kamera menghala ke arah murid-murid yang mendengar ceramah, suara ustaz itu terhenti seketika.
“Bertenang, tumpukan perhatian! Jurugambar Tamil Nesan hendak ambil gambar!” kata ustaz berkopiah putih itu selepas beberapa detik.
Kata-katanya itu disahut dengan deraian ketawa oleh murid-murid yang mendengar ceramah. Ustaz itu pun turut tersengih-sengih sambil memandang ke arahku, berselang-seli memandang murid-murid tersebut. Aku hanya tersenyum dalam situasi ditertawakan itu. Namun, terbakarnya hati ini waktu itu hanya Tuhan yang tahu. Aku sebagai guru kepada murid-murid itu dijadikan bahan ketawa, cetusan daripada unsur kecindan yang dilakukan ustaz tersebut, hanya kerana aku mengabadikan peristiwa majlis ceramah itu.
Etika dari manakah yang digunakan oleh ustaz tersebut? Bagaimanakah seorang yang berilmu agama boleh menjadikan individu lain sebagai bahan lawak jenakanya, malah di hadapan anak murid individu itu sendiri?
Hatiku bertambah terbakar apabila mendengar unsur kecindan seterusnya oleh ustaz tersebut. Dalam slanga Kuala Pilah, ustaz itu berkata kepada murid yang mendengar ceramahnya, “Ekau ni macam budak cacek yo. Ekau cacek ko?” (Engkau seperti budak cacat sahaja. Adakah engkau cacat?)
Aku lantas bergegas mendapatkan ustaz yang mengajar di sekolahku yang duduk di bahagian belakang dewan. Aku nyatakan kepadanya unsur kecindan yang dilakukan penceramah. Ustaz di sekolahku hanya tersengih-sengih sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Moral cerita: Jika buat lawak pun, jangan sampai jatuhkan air muka orang. Mungkin niatnya sekadar ingin bergurau, namun pandai-pandai menyusun kata, jangan sampai ada hati yang terluka. Bukankah niat tidak menghalalkan cara? Lidah ibarat pedang, tersalah kilas, terhiris hati orang.
4 comments:
assalamualaikum. memang lawak melayu suka menjadikan org lain kecindan mereka.asal org blh tertawa, mereka berpuas hati.tp ada juga yg menjadi kan orang lain kecindan demi menyakitkan hati org itu. niatnya : sengaja... demi untuk menjatuhkan air muka. jahat sungguh!
p/s ; kak ila hanya boleh menulis (mengarang), berceramah? hancur. kaku,terus dpt F kalau dimarkahkan.
assalamualaikum,
Kebiasaannyalah sebegitu. Entah kenapa. Tapi inilah kekurangan pendakwah kita. Kalau memarahi itu tanpa alas mengalas, dan kalau menyindir amat kelas.
Mana agaknya silapnya?
Salam buat cikgu muda yang mungkin sedang merah menyala muka dek menahan rasa sakit hati kerana dijadikan bahan tertawa.
Lazimnya begitu jika masih dinamakan manusia. Menjadikan org lain mangsa untuk dijadikan bahan lawak. Baginya mungkin sekadar gurauan namun hakikatnya menjadi kemarahan org lain.
Disebabkan itu dlm berdakwah perlu ada tatacara dan adabnya. Berbicara dengan mulus dan tulus dan yang penting menggunakan kaedah 'Mauizatul Hasanah'.
Penceramah bukan bererti pendakwah kerana seorang pendakwah tidak akan mengaibkan org lain.
Kepada Cikgu muda...anggap sahaja ia satu kesilapan dr mereka yang kurang berpengetahuan dlm memahami psikologi berhadapan dengan org lain. Memaafkan lebih baik dr menyimpan sekelumit rasa yang hanya akan menjeruk rasa:)
Jangan marah2 nnti kena jual:)(hehe)
Alaikumussalam Kak Ila, moga terus menulis dalam wadah dakwah. :) Ustaz itu memang hebat ceramahnya, membuat diri kagum. Namun, kekaguman itu lantas hilang...
p/s: Yang boleh menulis, menulis; yang boleh berceramah, berceramah; yang boleh dua-dua, buat dua-dua.
Alaikumussalam Tuan Keng,
Marah dan sindir, memang kelas. Mungkin persekitaran yang membenarkan ia berlaku. Bagi sesetengah tempat, memaki atau menjatuhkan air muka dikira biasa dan adat, lalu tidak menjadi salah di sisi mereka.
Ustazah Rafidah, salam jua... Tidaklah sampai menjeruk rasa, ustazah. Sekadar meluahkan rasa, bahawa baju pendakwah/penceramah yang dipakai hendaklah selaras dengan kata yang terluah. Ya, memaafkan lebih baik. Mudah-mudahan...
Post a Comment