Kepada yang bergelar guru, ucapan selamat untuk kalian. Selamat sejahtera, cikgu! Selamat berjuang dan terus berjuang. Sekali menjadi guru, selamanya menjadi guru. Kata-kata guru ibarat lilin sememangnya sesuai digunakan sepanjang zaman, walaupun zaman telah berubah. Perubahan zaman, perubahan teknologi, perubahan keadaan yang amat menyesakkan nafas ini, memerlukan pengorbanan bagai lilin bagi menghadapinya. Bakar dirimu, wahai guru! Bakar dirimu sebagaimana lilin yang sanggup diri terbakar, asalkan sahaja sekeliling terang oleh nyalaanmu. Usah dipersoal sama ada dirimu rela atau sebaliknya, dirimu tetap akan terbakar, dan terus terbakar. Sejauh mana pun dirimu mahu mengelak, dirimu tetap akan terbakar, kerana lumrah seorang guru, pasti akan terbakar. Paling ringan, hatimu akan terbakar jua di bumi guru ini. Sekali dirimu menjejak kaki di bumi perguruan ini, usah berura-ura mahu memijak bumi lain. Inilah bumimu! Bumi seorang guru. Andai kalian terlihat ada rakan seperjuangan berpijak di bumi lain, tetapi masih memakai baju seorang guru, biarkan mereka. Mungkin mereka berasa bahawa segala yang Tuhan beri masih belum mencukupi bagi dirinya sendiri dan keluarga mereka.
Andai mahu kaya harta benda, menjadi guru bukanlah bidangnya, itu kata-kata keramat yang pernah aku dengari sewaktu menempuh latihan di maktab perguruan itu. Setelah berbelas tahun mengharung bumi guru ini, kata-kata itu semakin meresap. Kekayaan bagi seorang guru bukanlah diukur sebanyak mana harta benda mampu diperoleh, tetapi lebih luas daripada itu. Kekayaan seorang guru diukur daripada sebanyak mana kebaikan yang dapat disampaikan kepada anak didiknya. Kebaikan itu pula dapat dipraktikkan, mampu bercambah dan diperturunkan kepada orang lain, kepada generasi seterusnya. Semakin lama, semakin bercambah kebaikan itu, menjadi amal murni, amal soleh, sedekah jariah dan segala yang boleh diberi nama kebaikan. Memberikan kebaikan dan terus memberikan kebaikan; menyampaikan ilmu, kemahiran, adab dan sopan, dan berterusan sebegitu. Di tanganmu guru, di dalam pemikiranmu guru, dalam keazaman yang bernyala-nyala, dalam kesungguhan yang tidak pernah padam, di sana di hadapanmu, menanti jiwa-jiwa, insan-insan yang perlu kaulorekkan dengan warna-warna indah, warna-warna kejayaan, warna-warna yang bakal mengundang reda Tuhan. Engkaulah guru, di bahumu terpikul amanah itu.
Kepada guru yang masih belum terbakar, yang sedang terbakar, yang sudah terbakar hangus, yang sepanjang masa terbakar, yang hatinya terbakar rentung, kuucapkan Selamat Hari Guru!
Terus relakan dirimu terbakar dan dibakar, terus relakan membakar diri sendiri, wahai guru!
Alhamdulillah…!
*p/s: Kepada guru yang telah rentung terbakar, tahniah kuucapkan! Terus reda dengan segala ketentuan.
7 comments:
kang, selamat hari guru. semoga sentiasa sabar dan tabah mendidik anak bangsa pewaris negara kita.
Terima kasih atas jasa dan pengorbanan guru-guru sekelian.
Assalamualaikum...
Selamat Hari Guru diucapkan buat sahabatku Cikgu Muda:)
Semoga lebih tabah dan bersemangat untuk mendidik anak bangsa.
Terima kasih, Dik Nin. Sabar dan tabah perisai. Jika tiada dua sifat itu rasa-rasanya ramai cikgu yang masuk penjara..rasanyalah.
Selamat Hari Guru juga untuk Ustazah Rafidah. Menghadapi anak bangsa yang semakin terkehadapan segala...
Salam Mya,
Selangkah kakimu melangkah ke sekolah, sepuluh langkahNya datang kepadamu. InsyaAllah.
Selamat Hari Guru. Semoga terus tabah dalam mendidik anak-anak bangsa.
'salam hari guru. Jasamu guru tidak dapat kubalas. saya sayang sangat cikgu.' Itu kata2 ringkas di dalam kad SELAMAT HARI GURU kak ila sewaktu bergelar murid. maka bercucuran air mata. 'Ini emak saya kirim untuk cikgu. emak kata hadiah hari guru' tiap2 tahun emak kak kak ila tak pernah lupa. katanya jasa guru terlalu besar. kini kak ila pula berbuat begitu pada guru2 anak2.
terima kasih para guru....
tahniah kerana memilih profesyen ini.
Salam Bunga Rampai,
Terima kasih ya. Terharu ingatan saudari itu. Terharu sangat... Semoga Allah terus memberikan ketabahan.
Kak Ila yang baik hati,
Begitulah, pusingan itu kita teruskan. Dulu, cikgu mengajar mendidik kita, sekarang, kita pula sambung tanggungjawab itu. Yang nyata, cabarannya jauh berbeza, kadang-kadang amat mencengkam rasa. Teruskan menjadi emak yang baik. :)
Arkitek Guru Bangsa itu amat bagus dijadikan hadiah buat guru-guru serta masyarakat agar profession guru lebih dekat lagi dijiwa setiap hati masyarakat. Teruskan lagi berkarya yang mengandungi cerita2 guru.
Post a Comment