05 February 2008

MENGHITUNG LAGI KENANGAN LALU



Mengenang pemergian Allahyarham Ahmad Zafran secara mengejut, aku turut disapa kenangan pemergian ibuku. Walaupun sudah bertahun-tahun lama pemergiannya, serasa baharu sebulan yang lalu detik pemergiannya itu.

Amat perit terasa apabila sesekali dihimpit kenangan lalu. Saat kenangan tiba, diri dipaksa untuk menghitungnya satu persatu. Kenangan yang bersarang di fikiran banyak yang hitam dan kelabu warnanya. Saat indah dan manis sewaktu mempunyai ibu adalah kenangan agung yang tidak akan mampu untuk kuhindar.

Terkadang terasa begitu dalam kerinduan ini kepada insan bergelar ibu. Ingatan kepadanya berpusar dan berputar di ruang fikir. Terbayang-bayang kembali jerih-perihnya seorang wanita yang bergelar ibu tunggal mencari rezeki sehari-harian. Terbayang-bayang sewaktu tangannya membelai lembut mesra rambutku, lalu menyuapiku dengan nasi berlaukkan kicap cuma. Pernah suatu ketika, aku hanya berbaring meniarap, seperti ular, kata ibuku sewaktu dia menyuapiku itu. Walhal aku sudah hampir memasuki alam sekolah rendah. Sesekali pandangan kosong dilemparkannya ke dinding dan atap rumah yang berlubang di sana-sini.

“Atap rumah ini sudah banyak yang bocor. Nanti ibu tebang pokok nipah, ambil daunnya. Di bawah rumah ada sedikit kayu bengkawan. Nanti anak boleh tolong ibu buat atap, ya,” kata ibu tunggal yang telah lama melalui hidup penuh onak duri itu.

Aku yang belum mengerti akan makna kehidupan itu hanya mengangguk-anggukkan kepala. Aku hanya ketawa apabila melihat ibuku tersenyum.

Hingga akhir hidupnya, ibuku melaluinya dengan kepayahan. Penyakit misteri yang ditanggung memaksanya berbaring berbulan-bulan lamanya. Disebabkan terlalu lama berbaring, bahagian belakang badan ibuku bernanah. Malah, sehingga beberapa bulan sebelum kepergiannya ke rahmat Tuhan, suara ibuku ditarik kembali oleh Allah Yang Maha Memberi. Butir-butir bicaranya sudah tidak kufahami lagi.

Pada kesempatan detik-detik akhir bersamanya itu, sempat jua kusuapi ibu dengan bubur nasi dan air kosong menggunakan sudu kecil, sebagaimana yang pernah dia lakukan terhadapku sewaktu kecil dahulu. Sewaktu aku kecil, aku berbaring, lalu ibu menyuapiku. Ketika ibuku sakit, dia pula berbaring, dan aku menyuapinya. Dengan payah dia mengunyah. Hanya sedikit yang tertelan olehnya.

Wajah tuanya kupandang sayu. Kuurut perlahan-lahan kakinya yang sudah tidak mampu digerakkannya lagi. Sebelah tangannya yang mengerekot turut kupegang dan kuurut. Satu persatu jari-jarinya cuba kuluruskan, tetapi tiada tindak balas; sudah kehilangan fungsi. Jari jemari itu yang pernah suatu ketika dahulu mengusapi rambutku dengan penuh kasih dan sayang.

Kini, apabila saat-saat getir kulalui dalam hidup, aku akan sentiasa mengenang keperitan yang pernah dilalui ibuku. Pasti perit dan getir yang kulalui menjadi tidak seberapa berbanding kepayahan yang pernah dilalui ibu.

Selagi diri masih dikurniai akal dan ingatan, pasti ingatan itu akan terus menghimpit. Sehingga saat ini, hanya doa, sedekah pahala Al Fatihah, Al Ikhlas dan Yaasin kupohonkan kepada Allah agar sampai kepadanya, ibuku. Itu yang termampu kulakukan buatmu ibu.

Semoga rahmat dan kasih sayang Allah bersama mereka yang pergi mendahului kita.



Subhanallah…

3 comments:

Rasha_rz said...

Salam adik. Sesungguhnya, ajal maut, jodoh pertemuan, rezeki dan tanah kubur itu sudah ditentukannya. Kita hanya merancang dan mengatur sesuatu, Allah penentu segalanya. Dan selagi hayat dikandung badan, perbuat sesuatu yang boleh dibanggakan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga demi bangsa dan agama juga.

Ku Keng said...

Kenangan bersama ibu tiada bandingan. Waktu bersama ibu seolah-olah amat baru dalam kenangan. Semoga Allah SWT mengampuni dan belas megasihani seluruh ibu.

MYA MARJA said...

Ibu, tidak dapat diganti...