10 February 2008

TERPULANG

Sebagaimana derita, bahagia juga ada di mana-mana. Terkesan juga aku akan kata-kata sahabatku itu: Bahagia ada di mana-mana!

Kata sahabatku lagi, satu sebab sahaja kita seharusnya menderita, menderita kerana dosa! Selain itu, anggap sahaja itu suatu bentuk ujian Allah yang harus disyukuri. Malah, ia bukannya penderitaan yang panjang berbanding hidup kita di alam sana nanti. Penderitaan selain disebabkan dosa hanya bentuk-bentuk ujian Allah yang mahu memberikan kita pahala, dan pastinya kerana kasih sayang Allah jua. Bukankah ujian itu hanya menimpa kepada orang yang kuat menanggungnya sahaja? Ya, hanya mereka yang kuat dan tabah sahaja yang beruntung mendapat pelbagai bentuk ujian itu.

Terpulang pada diri, kata sahabatku lagi, mahu bahagia atau derita? Jika segala yang di hadapan kita jauh dari kehendak hati, maka perlukah kita terus mengurung diri dalam kamar derita? Bukankah lebih baik kita tukarkan sahaja kamar derita itu menjadi mahligai bahagia? Bahagia ada di mana-mana! Terpulang kepada diri, terpulang kepada hati. Pastinya bahagia yang dicari itu ada, dan bahagia yang paling tinggi nikmatnya adalah apabila dapat mentaati suruhan Allah dan menjauhi segala laranganNya.

Bukankah solat, ibadat, hidup dan mati adalah untuk Allah Pentadbir Sekalian Alam? Nah, di situ lorong bahagia sedang menanti! Maka, berbahagialah bagi manusia yang dapat menjadikan itu sebagai realiti saban hari.

Dalam aku memikir dan mentafsir akan pesan sahabatku itu, hatiku turut tertanya-tanya: Mulut boleh sahaja berkata-kata, namun adakah hati dapat dibohongi?

Terpulang…

Terima kasih, sahabat!

6 comments:

Nazhatulshima N said...

Hati mungkin tidak dapat dibohongi tapi minda dapat mengarahkannya untuk mengecap bahagia dengan izinNya. Redha dengan ketentuanNya, pasti bahagia ada di mana-mana.

Tahniah, makin hebat tersiarnya puisi di dada akhbar kebelakangan ini.

Rasha_rz said...

Memang bahagia ada di mana2, terserah kita bagaimana mengutipnya.Jgn salah kan orang lain kalau gagal bahagia, sebaliknya renung ke dalam diri dan bertakwa pada NYA.Kerana yg buruk itu dari diri sendiri & yg baik datangnya dari Allah.Dan, uar2kan kebahagiaan, pendamkan penderitaan.Sesungguhnya bahagia utk semua, derita untuk sendiri. wallahualam......

MYA MARJA said...

Puan Shima,
Benar, reda atas segala ujian adalah ubatnya. Namun, mendidik hati agar reda itu yang sakit.

Terima kasih. Puisiku hanya puisi budak sekolah. Ah, apalah sangat tarafnya! Baharu hendak belajar menulis... :) Puan bila pula mahu mencuba?

MYA MARJA said...

Bukan niat menyalahkan sesiapa, Kak Ila, tak terniat pun. Hanya hati dan perasaan yang menempuh segala ini menjadikan ia bercampur-baur, bahagia derita... Adakalanya terlalu sukar untuk mendidik hati.

Anonymous said...

sedih benar kak ila dengar rintihan adik ni. sabar dik. sama ada bahagia / derita, awak tidak berseorangan.
Ha...tapi kata sesetengah orang,orang yg kecewa lebih sensitif jiwanya. maka karya2nya akan lebih menyengat, betul ke?

MYA MARJA said...

Sensitif dan menyengat! Wah, hmm...! :)