27 January 2008

MERANGKAK DI DALAM PARIT





Ahmad dan rakan-rakan sekelasnya berlari-lari menuju ke belakang blok bangunan bengkel Seni Perusahaan. Dia dan rakan-rakannya menukar pakaian sekolah kepada pakaian sukan. Ada antara mereka yang memakai tuala, namun kebanyakan mereka menukar pakaian dengan begitu sahaja sehingga menampakkan seluruh kaki dan seluar dalam.

“Jika dilihat pelajar perempuan, mungkin mereka akan pengsan!” kata Hisham, yang menukar pakaian bersama-sama Ahmad, tetapi dengan memakai tuala.

“Mereka itu jahil agaknya bahawa aurat lelaki dengan lelaki pun ada batasnya. Bukannya boleh buka-buka sesuka hati sahaja,” jawab Ahmad.

Pelajar-pelajar tingkatan 5 Sains dan 5 Biru berlari-lari pula ke padang bola sepak. Di situ, Cikgu Senivasagam telah menunggu. Ahmad dan Hisham merupakan antara pelajar terakhir yang sampai di padang bola sepak itu.

“Kamu tahu atau tidak berapa lama saya menunggu di sini?” Cikgu Senivasagam mengusap-usap perutnya yang buncit sambil tangan kanannya bercekak pinggang. Kaki kanannya memijak sebiji bola sepak.

“Kami minta maaf,” mohon Amin selaku ketua tingkatan 5 Biru mewakili kawan-kawannya.

“Apa maaf-maaf? Termasuk kali ini sudah empat kali kamu sekelas sampai lewat ke sini bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani, walhal sekarang baharu masuk bulan Februari. Hari ini sahaja kamu terlewat lima belas minit!” jerkah Cikgu Senivasagam.

“Cikgu Idris tidak lepaskan kami sebab dia suruh kami salin nota Biologi pada papan hijau,” kata Abdul Rahim, ketua kelas 5 Sains.

“Saya tidak mahu mendengar sebarang alasan.”

Cikgu Senivasagam memandang tepat ke wajah Abdul Rahim dengan mata buntang. Kemudian, dia menyorot satu persatu wajah pelajar-pelajar tingkatan 5 Sains dan 5 Biru. Hening seketika suasana di padang bola sepak itu.

“Saya mahu kamu minta maaf beramai-ramai sambil merangkak di dalam parit ini,” Cikgu Senivasagam menuding jari ke arah parit sempit yang digali memanjang merentasi padang hijau luas itu.

“Kami minta maaf!”

“Kami minta maaf!”

“Apakah yang kamu semua tunggu? Masuk ke dalam parit!” jerit cikgu muda itu.

Selaku ketua kelas, Amin dan Abdul Rahim masuk dahulu ke dalam parit yang sedikit berair itu. Kemudian, diikuti oleh pelajar-pelajar lain.


“Merangkak sekarang!” cikgu muda dan masih bujang itu menjerit lagi.

Beberapa orang pelajar yang masih berdiri mulai membongkok, kemudian merangkak perlahan-lahan sebagaimana rakan-rakan mereka yang lain.

“Di manakah suara kamu? Merangkak sambil minta maaf!”

“Kami minta maaf! Kami minta maaf!” sahut pelajar-pelajar itu beramai-ramai.

“Salah! Bukan kami minta maaf, tetapi maafkan kami, Tuan Seni!” suara cikgu berperut buncit itu masih meninggi.

Pelajar-pelajar itu terus merangkak perlahan-lahan di dalam parit yang ditumbuhi rumput itu. Terdapat juga ketul-ketul batu di dalamnya.

“Maafkan kami, Tuan Seni! Maafkan kami, Tuan Seni!” jerit mereka beramai-ramai.

“Maafkan kami, Tuan Seni! Kami tidak akan lewat lagi!” cikgu itu memberikan arahan lagi.

“Maafkan kami, Tuan Seni! Kami tidak akan lewat lagi!”

“Maafkan kami, Tuan Seni! Kami tidak akan lewat lagi!” sahut pelajar itu beramai-ramai.

Sampai di penghujung parit, mereka diarahkan berpatah balik ke arah Cikgu Senivasagam berdiri, “Jangan berdiri, tetapi berpatah balik ke sini dalam keadaan merangkak!”

Pelajar-pelajar itu berpatah balik semula dalam keadaan merangkak. Sampai di tempat cikgu itu berdiri, mereka berdiri dan keluar dari parit. Tercungap-cungap nafas mereka. Lutut mereka berpalit dengan lumpur dan tanah liat basah bercampur calar dan sedikit darah. Bagi yang berseluar panjang, selamat sedikit lutut mereka.

“Kamu boleh naik ke kelas masing-masing. Jika berulang lagi kelewatan kamu, maka denda yang sama akan saya kenakan,” kata Cikgu Senivasagam menutup pelajaran Pendidikan Jasmani pada hari itu.





Alhamdulillah…..


*Budak sekolah zaman dahulu, dendaan apa sahaja akan diterima dan jarang sangat mengadu kepada ibu bapa. Budak zaman sekarang, jangan dibuat. Sentuh sedikit sahaja, boleh masuk mahkamah. Sukarnya guru zaman sekarang mahu menghadapi situasi yang memang sukar dengan tangan terikat di belakang.

3 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt
Terima kasih tak terhingga buat cikgu kerana sudi beri semangat pada saya untuk menulis. Walaupun sudah terlalu lama kita tak bersua muka, tapi saya akan berjuang menulis buku.

Cikgu zaman sekarang perlu lebih ikhlas sebenarnya dalam mendidik generasi yang akan mewarisi dunia.

Unknown said...

Lain zaman, lain cabarannya, cikgu. Semoga terus tabah mendidik anak bangsamu.

MYA MARJA said...

Alaikumussalam Saudari Beluncas,

Sambil belajar sambil menulis; ilmu dapat, duit dapat, pahala dapat. Mudah-mudahan begitu. :)



Dik Nin,

Cabarannya kini semakin payah, getir. Rasa-rasa mahu jadi penulis sepenuh masa sahaja.