Alam saujana terhampar indah luas, menggamit saujana jiwa berbicara pada segala rupa. Bicaralah yang mulus daripada jiwa yang tulus...
31 January 2008
SEGALANYA KUTERIMA
ANDAINYA AKU TAHU
Andainya aku tahu
rindu bakal menjadi dendam
dan sepi mencengkam perasaan
yang dalam diam melukakan hati
lalu menangis aku sendiri
pada saat-saat sepi begini
pasti tidak aku relakan
sebuah tabir perpisahan
membentengi kenangan antara kita.
Andainya aku tahu
pahit semalam adalah madu
akan kuhirup bersamamu
dengan segala dayaku
dalam payah membasah perasaan
dalam bahasa rinduku dan rindumu.
Dalam kenyataan yang diam
adalah diri yang tidak tahu
mentafsir makna harapan
dan segala itu menjadi angin
di mimpi silam.
Dalam kepayahan melepaskan
adalah diri yang tidak tahu
membaca kitab derita
adalah kenyataan manis bahagia
di hujung jalan perjuangan
yang teguh diharungi bersama.
Saat-saat sepi begini memaku diri
dalam payah merelakan pergi
dalam diam menghitung mimpi
satu persatu menjadi pelangi
……andainya aku tahu.
MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
30 JANUARI 2008.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
andainya kau tahu
kau punya bakat berimaginasi
pasti kau menjadi penglipur...
Salam Sdr Mya yang berbakat hebat,
Saya suka sajak ini. Penuh makna.
Kak Ila yang memahami,
Ia bukan setakat imaginasi... Penglipur?... :)
Kak Ez yang banyak karya,
Bakat biasa-biasa sahaja. Sukar mentafsir kitab derita itu.
Post a Comment