05 January 2008

GUNAKAN OTAK



Jika tidak mampu, tidak perlu bayar apa-apa. Semuanya percuma! Cuma jangan lupa beli pakaian sekolah dan pakai ia bagi ke sekolah. Jangan dipakai ia pada waktu lain. Ukuran tidak mampu itu bergantung kepada diri sendiri. Jika pendapatan di bawah dua ribu ringgit itu dikira tidak mampu, maka tidak perlu bayar. Apatah lagi jika pendapatan itu sekitar dua ratus ringgit sahaja sebulan. Yang penting tidak mampu. Nanti pakat ramai-ramai supaya mengiktiraf diri tidak mampu.

Jika sudah tidak mampu, siapakah yang tidak kasihan melihatnya? Pasti manusia yang punyai perasaan akan berasa kasihan. Hanya mereka yang tidak mempunyai perasaan yang tidak berasa apa-apa. Memang mereka tidak mampu, jangan dihina-hina. Paling penting jangan diminta-minta, dipaksa-paksa. Berikan sahaja segalanya percuma. Yang mampu sahaja yang perlu bayar. Apabila membayar, jangan bayar lebih pula; secukupnya sahaja.

Jika semua yang datang itu dari kalangan tidak mampu, bagaimanakah mahu biayai program sekolah?

Minta sahaja kepada yang ada duit!

Siapakah yang ada duit itu?

Siapa-siapa sahaja! Pandai-pandai gunakan otak itu bagi mencari duit. Bukankah pengurusan sekolah dan guru-guru dari kalangan bijak pandai? Jika tidak, masakan mereka boleh menjadi guru.

Kertas-kertas bagi menyediakan ujian-ujian dan peperiksaan dalaman mahu gunakan duit dari sumber mana?

Pandai-pandai gunakan otak!

Hadiah budak-budak menang dalam acara sukan siapakah yang mahu beli dan gunakan sumber kewangan dari mana?

Pandai-pandai gunakan otak, pandai-pandai!

Hadiah budak-budak yang dapat kedudukan pertama, kedua, ketiga dan mata pelajaran terbaik pada akhir tahun nanti siapakah pula yang akan membiayai? Dari sumber manakah mahu dikorek duit?

Ah, berapa kali hendak beritahu? Pandai-pandai gunakan otak!

Jika begitu, sewaktu mesyuarat PIBG nanti tidak perlu disediakan jamuan. Hari sukan dan Hari Anugerah Kecemerlangan juga tidak perlu disediakan jamuan. Bagaimanakah hendak sediakan jamuan jika tiada duit beli itu dan ini? Jika ada wakil rakyat atau siapa-siapa pun yang datang bagi menyempurnakan sesuatu acara, tidak perlu juga sediakan jamuan; malah air mineral pun tidak perlu.

Siapakah pula yang mengatakan tidak perlu disediakan jamuan? Mana boleh tiada jamuan; tetamu datang mesti dijamu, beri makan dan minum.

Mahu sediakan makan dan minum itu tidak gunakan duit?

Bukankah mereka golongan berotak, berakal? Gunakan otak, bukan gunakan duit! Gunakan otak!

Memang pihak mereka pandai gunakan otak, tetapi bukankah mereka golongan yang tidak dibenarkan berniaga? Jika mereka berniaga juga dianggap melanggar peraturan penjawat awam.

Siapakah yang suruh mereka berniaga?

Jika tidak berniaga, bagaimanakah mahu cari sumber kewangan bagi membeli hadiah budak-budak itu? Dari mana datangnya sumber kewangan bagi menyediakan jamuan? Mereka bukannya golongan yang dibenarkan menender apa-apa projek. Mereka bukan golongan kontraktor yang senang-senang kaut untung berjuta-juta ringgit jika dapat sesuatu projek. Mereka juga bukannya anak tauke balak yang senang-senang boleh minta peruntukan hadiah budak-budak itu sewenang-wenangnya.

Ah, pandai-pandai gunakan otak!

Bagaimanakah caranya?

Ah, pandai-pandai gunakan otak!





Subhanallah…..

6 comments:

david santos said...

Happy New Year, Mya Marja! And best wishes for a healthy and successful 2008

blackpurple @ jowopinter said...

Assalamualaikum,

Saya cuma boleh tersenyum membaca entri sdra. Apa makna senyuman itu, saya tidak tahu. :)

MYA MARJA said...

Happy New Year, David Santos!

MYA MARJA said...

Alaikumussalam,

Saudaraku BP,
Aku juga selalu tersenyum akhir-akhir ini apabila melihat kelucuan demi kelucuan muncul satu demi satu. Dalam geleng kuucap istighfar.

Unknown said...

mmm... jenis orang berbeza, maka sudut pandangannya pun berbeza. Si penjual belacan, tak mungkin sama fikirannya dengan si penjual kain batik.

MYA MARJA said...

Namun, kali ini nampak sangat bezanya Dik Nin; jauh sangat. Di bawah penjual belacan kali ini, seperti tiada apa-apa yang positif berbanding dengan penjual belacan yang dulu-dulu.