31 December 2007

DITAMPAR PENGETUA



Mata pengetua melilau memerhatikan kesemua kelas tingkatan tiga di blok dua tingkat itu. Dari kawasan tempat meletakkan basikal pelajar itu, dia berdiri melihat satu demi satu kelas tingkatan tiga sambil bercekak pinggang. Sesekali tangan kirinya membetulkan kopiah putih yang terletak senget di kepalanya.

“Sudah baca doa atau belum?” keras jeritan pengetua ke arah kelas tingkatan Tiga Jingga.

Pelajar tingkatan Tiga Jingga yang berada di tingkat dua itu tidak memandang kepadanya. Hal itu menyebabkan dia mengulangi semula kata-katanya tadi.

“Sudah baca doa atau belum?” pengetua tua dan berjanggut sejemput itu menjerit lagi.

Salah seorang pelajar kelas itu menoleh ke bawah menerusi tingkap kaca kelas Tiga Jingga. Kemudian, dia mencuit rakan yang berdiri di sebelahnya.

“Tuan Pengetua di bawah itu. Dia suruh kamu membaca doa memulai pelajaran,” Noraini memberitahu Ahmad selaku penolong ketua kelas.

“Wahai penolong ketua kelas, sila baca doa sekarang sebelum Pak Haji datang!” arah Cikgu Madiah yang baharu memasuki kelas itu

“Saya tidak tahu membaca doa!” jawab Ahmad.

“Kamu mahu Wong Peng membaca doa? Memang dia ketua kelas kita, tetapi adakah patut dia membaca doa?” tanya Noraini pula.

“Dahulu semasa perjumpaan ketua kelas, saya tidak dipanggil pun untuk menerima arahan membaca doa daripada pengetua. Sekarang saya pula yang disuruh membaca doa. Doa pun saya tidak hafal,” luah Ahmad.

Tiba-tiba, pengetua berkopiah putih itu masuk ke dalam kelas Tiga Jingga. Mukanya merah padam, matanya dibulatkan sambil tangannya masih bercekak pinggang.

“Cepatnya orang tua itu naik ke tingkat dua!” bisik Lokman kepada Kee Bak Nim yang duduk di tepi tingkap berdekatan pintu belakang.

“Siapakah ketua kelas di sini?” Kenapakah tidak membaca doa?” tengking pengetua tua itu. Dia mengacung-acungkan tongkatnya.

“Kee Wong Peng ketua kelas ini,” jelas Cikgu Madiah yang masih berdiri dan berpeluk tubuh di hadapan kelas.

“Bukankah minggu lepas saya sudah keluarkan arahan setiap kali guru masuk ke dalam kelas mesti baca doa terlebih dahulu? Penolong ketua kelas mana?” suara cikgu tua itu masih meninggi.

Ahmad yang duduk di barisan tengah kelas dan paling hadapan mengangkat tangan. Pelajar yang lain senyap, terdiam. Pelajar-pelajar kelas lain apabila guru yang mengajar masuk ke kelas, selepas memberi salam, ketua kelas akan mengetuai bacaan doa memulai pelajaran. Disebabkan kelas Tiga Jingga ketuanya ialah Kee Wong Peng, seorang bukan Islam, jadi kelas itu tidak membaca doa memulai pelajaran.

“Mari ke sini!”

Ahmad menghampiri pengetua sekolahnya.

“Mengapakah kamu tidak membaca doa? Mengapakah kamu ingkar arahan?” soal pengetua sambil bercekak pinggang.

Tidak semena-mena satu tamparan hinggap di pipi kiri Ahmad. Tanpa sempat dia berkata apa-apa, satu lagi tamparan hinggap di pipi yang sama. Dia cuba mengusap-usap pipinya itu, namun satu lagi tamparan hinggap di tempat yang sama. Tamparan ketiga itu menyebabkannya berpusing satu putaran lengkap. Lengkap sudah tiga kali tamparan singgah di pipinya, menyamai jumlah bilangan yang perlu dibaca dalam sujud mahu pun rukuk ketika solat. Garis-garis merah berbirat di pipinya. Semua pelajar di dalam kelas itu terdiam. Pengetua itu terus meninggalkan kelas Tiga Jingga tanpa sepatah kata, namun dengan nafas seperti seekor lembu jantan mendengus.

“Kasihan Ahmad. Kamu semua yang tidak membaca doa, dia seorang yang menanggung bala,” Cikgu Madiah yang merupakan guru kelas dan guru Bahasa Melayu kelas itu memecah keheningan.

Bagai tersentuh dengan kata-kata guru kelasnya itu, air matanya bergenang di kelopak mata, lalu mengalir perlahan ke pipi.

“Bertenang wahai sahabatku. Perkara kecil sahaja. Buat malu kaum lelaki sahaja menangis di hadapan perempuan,” sampuk Lokman, pelajar yang paling kuat mengusik dan bergurau di dalam kelas itu.

Kata-kata Lokman itu menambahkan lagi jumlah air mata yang mengalir ke pipinya. Cikgu Madiah mengalihkan perhatian kelas kepada silibus mata pelajaran yang dia perlu sampaikan pada hari itu.

Alhamdulillah.....




*Nostalgia di tingkatan tiga ini tetap tersemat dalam ingatan. Ahmad menangis bukan kerana sakit ditampar, tetapi sebak hiba tiba-tiba menyerbu. Tiba-tiba sahaja Ahmad menjadi mangsa keadaan. Hingga saat ini karektor pengetua itu masih segar dalam ingatan.

8 comments:

Unknown said...

Kisah kebengisan guru-guru dulu memang tak mampu dilupakan.

Haha.. ulang-alik keluar masuk ke sini pada detik-detik akhir 2007. Tapi baru kini meninggalkan jejak. Jejak pertama 1 Januari 2008. Dah tua kita, kang.

Pak Ngah: said...

:: salam... dalam merayau2... berjumpa rumah ini... menyinggah sebentar tanpa dipelawa... maaf ye... menumpang lalu... jika sudi balaslah lawatan... minta diri dulu... selamat tahun baru... blog yang menarik... suatu imbasan dan imbauan lampau...

Rasha_rz said...

selamat tahun baru dik. semoga tahun ini lebih memberi kebahagiaan dan keceriaan

ez said...

Bila terbitnya jibunsyi ini?
Kesian Ahmad.Agaknya Ahmad mengadu atau tidak kepada ibunya?

MYA MARJA said...

Guru terdahulu lagi-lagi bengis, Dik Nin. Zaman telah berubah kini. Anak murid pula yang bengis. Guru? Tangan terikat di belakang.

Semakin tua.. ya, semakin...

MYA MARJA said...

Salam kembali, Pak Ngah. Ingin menjengah ke blog Pak Ngah, tapi termengah-mengah. Singgah, sila.

Mengapakah tidak dipautkan betul-betul blog Pak Ngah itu?

MYA MARJA said...

Selamat tahun baru, Kak Ila. Semoga banyak tulis novel.

MYA MARJA said...

Lambat lagi terbit, Kak Ez. Ikut giliran, namun dalam tahun ini khabarnya. Ahmad tidak pernah mengadu segala kesakitan yang dia terima.