26 February 2007

PENGALAMAN MENULIS PUISI

Aku menulis puisi sekadar suka-suka pada mulanya. Tidak pernah terfikir pun untuk menghantar kepada mana-mana penerbitan. Semasa zaman suka berangan dahulu, banyak juga puisi kucipta, dan waktu terbanyak menulis puisi semasa dilanda cinta monyet. Almaklum, kaki berangan!

Itu dahulu.

Kini pun lebih kurang begitu, tetapi faktor angan-angan itu sudah dibuang jauh, dan diganti pula dengan bayang-bayang. Bak lagu kumpulan Alleycats: Angan-angan, Bayang-bayang, Cita-cita (Manusia dengan ABC).

Semasa menghadirkan kata dalam membentuk sesebuah puisi, terlebih dahulu aku bayang-bayangkan apa tujuan puisiku itu, dan kepada siapa puisi itu ditujukan. Apakah tujuan? Kepada siapakah ditujukan?

Begini, sebagai contoh puisiku SEKUNTUM SENYUM KEPADA KENANGAN yang kuhantar ke UNIKA PTS.


SEKUNTUM SENYUM KEPADA KENANGAN

Senyum ini makin menguntum
pada sebuah kenangan yang kusimpan
yang dalam diam menyubur pohon diri
yang dahulu layu tidak bersiram

Kasihmu itu bagai embun pagi
segar dinginnya memberiku segunung damai
dan seberkas semangat makin bernyawa
lalu kuhembus nafas segala derita
dan kuhirup segar hikmah katamu
mencari diriku semula

Senyum ini masih menguntum
kerana sekali engkau memberi cinta
tetap tersemat segala harumnya
walaupun kini aku terluka kautinggalkan.

Mya Marja
22 FEBRUARI 2007

Kemudian, puisi ini bertambah indah apabila mendapat sentuhan Puan Ainon (Terima kasih, puan!) :

SEKUNTUM SENYUM KEPADA KENANGAN
Mya Marja

Senyum ini makin menguntum
pada kenangan yang kusimpan
dalam diam menyubur pohon diri
yang dahulu layu tidak bersiram.

Kasihmu itu bagai embun pagi
segar dinginnya memberiku damai
dan semangat makin bernyawa
lalu kuhembus nafas derita
dan kuhirup hikmah katamu
mencari diriku semula.

Senyum ini masih menguntum
kerana sekali engkau memberi cinta
tetap tersemat harumnya
walaupun kini aku terluka
kautinggalkan.

Puisi ini tujuannya supaya sesiapa pun yang pernah ditinggalkan kekasih, senyumlah dan berlapang dadalah menerima segala takdir. Bukankah senyum itu tanda redha: lagu Senyum oleh kumpulan Raihan.

Senyum itu pula menandakan kita tidak perlu bersedih durja mengenang orang yang telah pergi, sebaliknya harus berasa gembira dengan apa yang orang itu tinggalkan. Itulah tujuan puisiku.

Kepada siapa ditujukan? Sudah tentu kepada seorang kekasih yang sudah pergi meninggalkan diri ini. Jika dilihat secara umum, puisi ini tidak ditujukan kepada perempuan sahaja, bahkan boleh ditujukan kepada kedua-duanya, lelaki atau perempuan.

Daku juga sering membayang-bayangkan seperti mencintai, atau seperti dicintai. Atau pada waktu yang lain, seperti ditinggalkan atau juga seperti meninggalkan. Semua sudut perlakuan seorang kekasih yang kita boleh jangka cuba daku telusuri jiwanya, sekadar termampu. Maka terhasillah puisi-puisi perasan yang entah berjiwa atau pun tidak, daku pun belum pasti. Akan tetapi, jika kita pernah menempuh saat-saat sebenar dicintai, mencintai, ditinggalkan dan meninggalkan; daku amat yakin puisi itu bakal meninggalkan kesan mendalam, puisi yang puitis dan berjiwa. Daku memerlukan waktu untuk itu semua.

Semoga selepas ini, penulisanku dalam puisi akan bertukar menjadi cita-cita pula, dan akhirnya menjadi perjuangan seperti guru dan sahabatku itu, Saudara KSI. Daku amat mencemburui kehebatan bakatnya. Sungguh!

Daku mulai memasang cita-cita agar puisiku yang akan datang menjadi puisi besar, berjiwa dan diingati. Mungkin seperti puisi Usman Awang (Wah, berangan lagi daku!).

Subhanallah…

26 FEBRUARI 2007.

24 February 2007

SEJENAK BERSAMA SEORANG PENYAIR

“Ke mana puisi kamu itu dikiblatkan?” penyair itu bertanya aku.

“Kiblat? Maaf, aku kurang faham,” jawab aku.

“Ya, kiblat! Kiblat itu arah tujuan. Ke mana arah tujuan puisi kamu. Tunjukkan kiblatnya. Aku tengok puisi kamu itu lompong sahaja. Sebabnya mudah, tiada kiblat,” kata penyair itu lagi.

“Boleh saudara jelaskan sedikit tentang kiblat yang dimaksudkan,” kata aku.

Dijawab penyair itu separuh mendengus, “Itulah kamu. Dahulu tidak mahu datang ke kelas yang aku adakan, khusus untuk orang-orang seperti kamu; kaki berangan dengan puisi-puisi, tetapi tidak ketentuan arah.”

“Aduh, usah ditembaki aku! Aku bermohon maaf tidak dapat hadir lantaran kesibukanku,” jawabku.

“Ah, alasan! Kalau mahu ilmu terang dan nyata lagi berkhasiat, sepatutnya kamu hadir walaupun hujan ribut dan banjir,” penyair itu melepaskan rasa.

Penyair ini memang berjiwa dalam setiap katanya. Aku terkadang menjadi kelam dalam tafsir dan fikir di hadapannya.

“Baiklah, lain kali aku datang. Sekarang, ceritakan sedikit tentang kiblat itu,” pintaku.

“Begini, kamu tahu tentang 5W dan 1H. Itu yang lima isteri satu suami,” kata penyair itu.

“Eh, seperti pernah kudengari, tetapi di mana, ya! Ya, memang biasa sangat!” kataku.

“Dalam entri tauke kita sudah diulas, kamu tengok balik. Selepas ini kamu copy and paste entri itu. Kunyah dan hadamkan,” katanya lagi.

Kataku, “Entri itu sudah berkali-kali aku tengok, tetapi kurang fahamlah. Agaknya tidak mendapat berkat daripada si pemberi ilmu itu, he he he…”

Penyair itu menjeling kepadaku. Jelingan itu bukan daripada hati pedih dendam aku rasa, tetapi rasa kasih seorang sahabat.

“Begini, kamu cari satu tujuan puisi kamu itu. Contohnya hendak ditujukan kepada seorang perempuan, kepada umum atau kepada siapa? Itulah kiblatnya. Kemudian, cari apakah isu yang hendak kamu ketengahkan, yang hendak kamu perkatakan. Adakah kamu hendak kata tentang rindu, atau tentang cinta, atau tentang kecewa atau tentang apa?” katanya panjang lebar.

(Dalam hatiku berkata, “Eh, sahabat aku ini, sambil memberitahu sambil bertanya! Malunya aku...”)

“Mengapakah kamu terdiam bisu, sahabatku?” katanya lagi.

“Eh, err, emm… faham, faham, apa lagi?” balasku.

“Kemudian, apabila sudah ada tujuan puisimu itu, kembangkanlah menjadi sebuah puisi satu tujuan. Kembangkan ia dengan kata tanya lima isteri dan satu suami itu. Kalau dalam Bahasa Melayu ia akan menjadi siapa, bila, apa, di mana, mengapa untuk lima isteri (5W) dan bagaimana untuk satu suami (1H),” kata penyair budiman itu.

Wah, beruntungnya aku mendapat suntikan kata daripada seorang penyair yang sudah kukenali rupa dan namanya itu sejak sekian lama, sejak aku di tingkatan lima lagi, namun tidak pernah aku termimpi untuk menemuinya, apatah lagi untuk berguru dengannya! Tuhan telah memberikan aku anugerah ini. Alhamdulillah.

“Oh, kalau lima isteri satu suami itu memang aku selalu sangat ajari murid-murid aku sebelum membina sesebuah karangan! Itu aku sudah mahir. Tidak sangka pula dalam membuat sesebuah puisi, sama sahaja jalannya. Sekarang baharu mataku terbuka. Terima kasih, sahabat,” aku tidak sudah-sudah memandang wajahnya yang tidak dimakan tua itu.

Dia tersenyum, menampakkan sebaris giginya yang putih bersih. Janggutnya yang tersisir rapi itu berbuai-buai ditiup angin kipas di restoran itu.

“Satu lagi perkara, puisi kamu itu jangan dimabuki dengan kata. Jangan mabuk bahasa,” katanya lagi

“Ha, mabuk bahasa! Apa pula perkaranya ini?” aku menyoal.

“Terlalu banyak perlambangan. Terlalu banyak kata sama maksud tetapi lain rupa. Nanti puisimu itu jadi lompong dengan maksud. Sepatutnya puisi kamu sarat dengan kata indah tapi berisi. Ah, nanti aku tunjuki lagi, mari makan air batu campur ini, segera kita habiskan! Nanti tauke tunggu lama pula di dalam kelas itu,” katanya.

“Mmm, baik. Terima kasih. Nanti senang-senang tunjuki aku lagi. Terima kasih, terima kasih!”

Subhanallah…

20 February 2007

SIKAP ORANG KITA: ISU BANJIR

Yang ingin aku perkatakan bukanlah soal hukum kerana aku bukan ahli hukum, tetapi soal sikap orang kita. Mengapakah perlu ada sesuatu konsert, baharu kita datang berduyun-duyun dan bersedia mengeluarkan wang untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan, mangsa tsunami dan banjir baru-baru ini misalnya?

Pihak penganjur konsert mengenakan bayaran sekian-sekian ringgit, pihak artis berdatangan melontar suara tanpa bayaran, sambil memberi hiburan, memberi kata mulia: Marilah sama-sama kita membantu saudara kita yang ditimpa malapetaka. Bencana itu bila-bila dan di mana-mana. Kita tidak tahu nasib bakal menimpa kita masa depan. Jadi, sementara punyai kesempatan untuk membuat amal, hulur-hulurkanlah sedikit wang ringgitmu untuk meringankan beban.

Kalau mahu dihulurkan tenaga dan masa, memang cukup liat untuk kita beri, termasuklah kita para penulis (aku baru belajar untuk menjadi seorang penulis). Tidak kira di mana-mana pun kita berdiri, berbaju dan berkasut apa pun yang kita pakai, mengapakah sikap kita begitu liat untuk menghulurkan bantuan? Yang sudah memberi baguslah, bagi yang belum?

Teringat aku pada tulisan SM Zakir di dalam blognya, para penulis sastera kita ini hampas! Tiada respon terhadap misi kemanusiaan, bercakap kosong, mencerca orang yang tidak mulia… (penulis blog pun dua kali lima, asyik sangat pada blog, dalam realiti kehidupan bagaimana?) Pada pendapat aku, SM Zakir bengang sangat kepada rakan-rakan penulis mungkin kepada yang hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh sewaktu banjir melanda Johor baru-baru ini. Beliau bersama-sama rakan PENAnya yang lain memberi bantuan kemanusiaan di Parit Joyo 6, Seri Medan, Parit Sulong; ya, tanpa apa-apa promosi dan publisiti pun. Bukan seperti yang lain-lain itu.

Berbalik kepada sikap orang kita, tunggu orang datang memberi hiburan, baru hendak berbondong-bondong menghulurkan wang, itu pun sebab membayar tiket menyaksikan konsert. Kalau konsert percuma, agaknya berapa ringgit sahajalah tabung kemanusiaan itu dapat?

Akhir kata, terima kasih kepada yang prihatin!

Subhanallah…

19 February 2007

PEMBURU BAYANG

PEMBURU BAYANG

Akukah pemburu bayang itu
yang berlari ke sana dan ke mari
mengejar setiap bayang
yang indah di mata?

Atau akukah si pemburu rindu
dalam tidur dalam jagaku
asyik menerjah pada kata indah
yang terlontar dari bibirmu?

Lalu daku menjadi kelu
pada sebuah kata diammu
yang menzahirkan jawapan
yang kelam

Aku pun berdiam
dalam kiam kuterkenang
sebuah bayang silam.

~Mya Marja
13 FEBRUARI 2007.

KURNIAKAN AKU NAFAS

KURNIAKAN AKU NAFAS

Kurniakan aku nafas
agar aku dapat hidup semula
dengan bahasa santunmu sang puteri
yang kaututur menghimpun tekun
dalam perkebunan hidup
dan mengusir rawan di balik awan
yang hitamnya membutakan aku
kepada warna sakti maya dunia.

~Mya Marja
17 FEBRUARI 2007.

DAKU MASIH BERLARI

DAKU MASIH BERLARI

Dikaulah yang menyapa daku
saat mimpiku berlari
di gunung tinggi berkabus awan
mengejar pelangi petang

Dikau membujuki daku
dengan kalimah syahdu
bahawa dunia ini masih hijau luas untuk daku jejaki
dan bertanam benih kasih
memacu segala rindu
menepis segala kepalsuan dan kelalaian

Daku pun terus berlari mengejar pelangi
di hujung alam di langit petang
kerana dikau juga pernah berkata
bahawa dirimu ada di situ
sedang menyirat warna pelangi
selepas gerimis berguguran.

~Mya Marja
18 FEBRUARI 2007.

18 February 2007

IKHLAS (2)

Di kantin sebuah sekolah, di pinggir daerah, di pinggir negeri sepuluh tahun dahulu.

Guru A : Dia boleh dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang? Wah, hebatnya! Walhal, tidak seberapa pun mutu kerjanya.

Guru B : Sistem penilaian kecemerlangan sekarang memerlukan kita menunjuk-nunjuk. Buat apa-apa aktiviti atau projek dari sekecil-kecil kuman ke sebesar gajah perlu dilaporkan kepada guru besar. Jika mahu dipandang hebat, tokok tambahlah mana yang patut.

Guru A : Dan perlu diadu dombakan?

Guru B : Ya, benar sekali!

Guru A : Guru X itu, apa pula projek terbesar dan terhebatnya? Atau mungkin apakah pencapaian terbaik yang anak didiknya capai hingga dia boleh dapat anugerah itu?

Guru B : Entahlah. Akan tetapi yang saya nampak, dia ada buat kelas tambahan, itu pun sebulan sekali sahaja. Kemudian, adu dombakan kepada guru besar. Guru Y itu pula hari-hari masuk ke pejabat sekolah, bercerita itu dan ini. Ramah mulutlah kononnya, lebih-lebih lagi kalau terjumpa guru besar atau pun guru penolong kanan. Pencapaian anak muridnya di dalam kelas tidak seberapa pun. Mengajar pun lebih kurang sahaja, beri murid kerja sedikit, selepas itu dia keluar ke bilik guru, sembang-sembang. Sepuluh minit hendak habis kelas, barulah dia masuk semula ke kelasnya.

Guru A : Saya kasihan betul kepada Guru Z itu, tidak pernah sangkut namanya sebagai penerima anugerah. Walhal, luar biasa pencapaiannya, jawatannya di sekolah kita ini pun tidak pernah tidak penting. Anak didiknya semuanya dapat A dalam UPSR bagi mata pelajaran yang dia ajar. Kalau di peringkat negeri, dia sudah empat tahun berturut-turut membawa murid kita johan negeri dalam permainan yang dia menjadi jurulatihnya.

Guru B : Guru Z itu ikhlas betul! Orang lain tiap-tiap tahun dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, gaji naik selangkah dua langkah lebih daripada orang lain. Dapat seribu ringgit, dapat jam tangan, dapat cuti pula seminggu; dia tidak pertikai apa-apa pun walaupun guru-guru lain itu kalau hendak dibuat perbandingan dengan pencapaiannya bagai langit dengan bumi. Dia tidak dapat anugerah pun saya tengok dia bertenang sahaja.

Guru A : Kamu mana tahu, dalam hatinya mungkin bagai gunung berapi yang siap sedia untuk memuntahkan laharnya.

Guru B : Entahlah. Adakah kita perlu riyak dan membuang sifat ikhlas kita semata-mata untuk mendapatkan ganjaran dunia yang tidak kekal ini?

Guru A : Hmm...

*Sepuluh tahun dahulu, sesiapa yang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang memang lumayan. Berbeza dengan tahun kebelakangan ini, lulus peperiksaan PTK lebih menjadi kegilaan pula.

14 February 2007

SIPUT BABI DAN SIPUT SEDUT

Dahulu sewaktu usiaku mencecah kira-kira lima dan enam tahun, ibuku sering mengajakku mengutipi siput babi di tepi jalan. Jalan sempit berpasir menuju ke Bagan Teluk Rhu itu basah disimbahi embun pagi. Rumput-rumput subur di kiri dan kanan jalan turut basah. Di situlah pada waktu pagi begitu, banyak siput babi yang terengsot-engsot perlahan di celah-celah rumput dan ada yang bersiar-siar di jalan berpasir itu. Kalau nasib kurang baik kena langgar kenderaan.

Bakul yang diperbuat daripada buluh menjadi bekas kepada siput-siput yang daku kutip. Satu persatu daku kutip siput itu yang menyorok di balik rumput-rumput. Ada juga yang menyerah diri, mudah sahaja daku mengambilnya. Hendak dibuat apa siput babi itu? Mahu dimakankah?

Baru-baru ini daku amat terkedu apabila daku melihat sebuah keluarga miskin yang menghadap hidangan siput babi dalam siaran 'Bersamamu' di TV3. Itu berlaku tidak silap daku di negeri Sabah. Ada juga keluarga pada zaman senang ini (bagi yang senang) memakan siput babi! Allahuakbar... Tidakkah sama nasibnya dengan nasib daku kira-kira tiga puluh tahun dahulu?

Oh, tidak! Sama sekali tidak!

Walaupun kemiskinan mencengkam, tetapi rezeki tuhan itu terlalu luas puncanya. Tidaklah sampai daku dan keluarga memakan siput babi itu, melainkan itik peliharaan ibuku yang memakannya. Setelah penuh satu bakul buluh, dibawa balik siput babi itu, dan kemudian dihentam dengan belakang cangkul dan sebatang kayu sebesar betis untuk dihancurkan. Nah, jadilah hidangan lazat kepada itik-itik sereban yang berkuek-kuek tidak henti-henti!

Sampai sekarang daku masih tertanya-tanya bagaimanakah siput itu mendapat namanya. Mengapakah babi yang dipilh sebagai kemajmukan kata kepada siput itu? Mengapakah bukan siput sanggul atau siput darat atau yang lain-lain yang tidak perlu disebut perkataan babi itu? Daku lihat tiada pun rupa babi pada siput itu.

Siput sedut? Bagi penggemar makanan laut, hidangan siput sedut yang dimasak dengan pelbagai resepi pasti sukar dilepaskan. Siput-siput sedut juga selalu daku kutip di dalam hutan bakau di tepi laut. Siput-siput sedut ini menjalar pada akar dan batang pokok kayu bakau, selain bersepah-sepah di atas lantai hutan. Tidak semua tempat ada siput ini, asalkan hutan bakau sahaja ada siput sedut, tidak! Ia juga ada musim-musimnya untuk dijumpai. Kalau nasib untung (rezeki datang), maka berlambak-lambaklah di hadapan mata. Biasanya siput ini daku cari sewaktu kebetulan sedang mencari anak pokok kayu bakau untuk dibuat batang atap nipah.

Selepas menebang pokok-pokok yang sesuai (bukan seperti tebang balak) dan dirasai mencukupi, semasa berehat-rehat itu, daku kutip satu persatu rezeki tuhan yang menjalar di muka bumi ini. Setelah penuh satu bekas plastik atau pun satu tin biskut, baliklah daku ke rumah. Ibuku biasanya memotong dahulu hujung tajam (ekor?) siput sedut ini menggunakan belakang parang, untuk memudahkan disedut semasa memakannya. Biasanya siput sedut ini dimasak sup serai sahaja. Wah, sedapnya!

Kini, siput sedut ini selalu juga daku jumpa di pasar. Kalau beli pun tidak banyak. Semasa memakannya pun tidak selazat seperti yang daku makan kira-kira tiga puluh tahun dahulu, walaupun waktu itu cuma dimasak dengan resepi sup serai!

Subhanallah..
Alhamdulillah...

09 February 2007

IKHLASKAH KITA?

Ikhlas: dengan hati suci, tidak menipu atau tidak berpura-pura.
Mengikhlaskan: memberikan sesuatu dengan ikhlas, merelakan.
Keikhlasan: kesucian hati, ketulusan. (Kamus Dewan Edisi Ketiga - Penerbit DBP-1994)

Ikhlaskah kita dalam menjalani kehidupan harian? Dalam beramal ibadah, dalam melayani ahli keluarga, dalam bekerja (melayani ahli keluarga dan bekerja juga satu cabang amal ibadah jika dimulai dengan niat keranaNya), dalam tidur dan dalam jaga, perlu dimulai lagi dengan pertanyaan: Ikhlaskah aku?

Ikhlaskah kita apabila setelah melakukan sesuatu, pada lain ketika keluar ayat: Penat sahaja aku buat kerja, tetapi bos tidak memandang pun apa yang telah aku lakukan.

Atau keluar ayat begini: Sudah banyak duit aku keluar kerana engkau, tetapi inikah balasan engkau kepadaku?

Atau ayat ini: Ah, penatlah aku bersolat dan berdoa, tetapi kenapa doa aku tidak dimakbulkan!

Perlukah suatu ulasan terperinci untuk menjawab kata-kata seperti di atas?
Ikhlas itu apa sebenarnya? -Melakukan sesuatu hanya kerana Allah dan bukan kerana yang lain-lainnya. Fikir-fikirkanlah.

Allahuakbar!

PENCURI ZAMAN MODEN

Pencuri, oh pencuri! Dari zaman dahulu lagi sudah ada pencuri, sampailah ke zaman kini yang dikatakan moden ini. Kalau zaman dahulu mencuri disandarkan kepada alasan untuk mengisi perut yang kosong. Zaman kini mungkin sasaran sudah berubah kepada ingin menimbun harta. Namun masih juga ramai yang bersandarkan kepada kehidupan penuh daif. Kalau tidak pun kerana gian kepada benda mengkhayalkan.

Ini cerita benar tentang beberapa kes pencuri zaman moden. Di daerah daku ini jika duduk di kuarters kerajaan berhati-hatilah. Tidak kira siang atau pun malam, pencuri datang. Kalau malam, penghuni rumah tengah tidur pun pencuri boleh menyelinap masuk dan mengambil itu dan ini, hingga telefon bimbit di tepi bantal tidur dicuri pun penghuni tidak sedar. Kalau sebelah siang sewaktu penghuni rumah sedang bekerja, rumah kosong ditinggalkan. Pada masa ini pencuri datang mengumpil pintu rumah dengan kepakaran yang ada, dengan berpakaian kemas seperti pegawai kerajaan lagaknya.

Orang ramai sekeliling memang tidak menyangka langsung yang berpakaian kemas segak itu punyai niat busuk untuk mencuri. Tahu-tahu sudah lesap barang berharga di rumah itu. Maka berhati-hatilah penghuni kuarters semua! Sama sahaja di mana-mana pun.

Mengapa pencuri, bukan digelar perompak? Pencuri, sebab barang yang diambil tanpa hak itu sedikit jumlahnya, walaupun mungkin beribu-ribu ringgit harganya. Manakala perompak itu ibarat penyamun, habis dipungut; nilaian harta yang diambil tanpa hak itu pula berlipat kali ganda.

Kalau dalam bidang penulisan, pencuri juga terlalu ramai. Lebih-lebih lagi zaman langit terbuka ini. Salin sahaja mana-mana artikel, ubah sikit-sikit di sana sini, kemudian bubuh nama sendiri. Kenyanglah pencuri itu dengan hasil yang tidak mendapat restu. Hingga ada yang mendapat gelaran doktor kerana hasil curiannya yang orang lain tidak sedar!

Subhanallah...

08 February 2007

ZAMAN BERTUAH

Bertuah sungguh budak-budak zaman sekarang! Banyak slot tuisyen yang mereka dapat secara percuma. Di FELDA tempat daku mencari rezeki dan menabur bakti ini contohnya, tuisyen diberi percuma. Tuisyen yang diberi percuma ialah Skim Tuisyen FELDA (STF) dan Skim Baucar Tusyen (SBT). Murid-murid bertuah ini di kalangan murid Tahun 4, 5 dan 6. Di sini, mereka yang mengikuti STF tidak mengikuti SBT dan begitu juga sebaliknya.

Perkara utama yang disampaikan dalam tuisyen ini adalah sesuatu yang berbeza daripada kelas sebenar. Sasaran utama adalah membaiki kelemahan setiap apa juga topik mahupun kemahiran yang berkaitan mata pelajaran yang diajar pada waktu persekolahan formal. Cara pengajaran dan pembelajaran juga berbeza dengan kelas formal, kerana pada waktu tuisyen, murid-murid digalakkan berinteraksi dengan lebih aktif. Mereka digalakkan menyatakan permasalahan dalam memahami apa juga topik yang diajar pada waktu kelas formal. Peluang terbaik ini seharusnya menjadi medan kepada murid-murid zaman sekarang mengatasi segala kelemahan yang mereka ada dalam pelajaran dengan sebaik-baiknya.

Namun, seperkara yang mendukacitakan adalah sikap segelintir murid yang gagal untuk menghadirkan diri dalam kelas percuma seperti ini. Walhal segalanya sudah tersedia di hadapan mata. Teringat daku kepada kisah daku bersekolah rendah dahulu. Jangankan kelas tuisyen, program motivasi pun tidak pernah dibuat. Berbanding zaman sekarang, pelbagai program motivasi disediakan samada untuk ibu bapa mahu pun murid-murid itu sendiri.

Alangkah bertuahnya budak zaman sekarang!

Persoalannya, mengapakah semakin banyak kemudahan diberi, semakin mereka mahu lari dan tidak mensyukuri nikmat yang ada?

Subhanallah!

06 February 2007

KENANGAN PALING AGUNG


"Kenangan paling agung kepada seseorang itu adalah sewaktu zaman kanak-kanaknya, sewaktu zaman persekolahan rendahnya..."

Kata-kata ini aku petik daripada seorang guruku. Setelah mengamati sedalam dan sejelasnya, memang amat benar kata-kata itu. Tidak semena-mena, kenanganku beroleng-oleng ke zaman kanak-kanak. Betapa waktu itu tiada beban berat tergalas di bahu. Keseronokan dan keriangan adalah alam yang dilalui, hidup yang dijalani. Walaupun terkadang kemiskinan menghambat dan melambatkan langkah mencapai sesuatu kejayaan, namun zaman serba indah itu dijalani juga dengan perasaan riang ria.

Tiadalah kaki ini akan melangkah semula ke alam kanak-kanak, tetapi akal kita boleh membawa kita terbang ke zaman itu. Renung fikir sejenak, betapa dalam kecil kita, masih mampu mencipta bahagia walau di mana. Dalam apa juga keadaan sifatnya, bahagia masa lalu itu tetap akan menjadi kenangan yang tidak terbayar dengan wang ringgit.

Susah, payah, jerih, perih masa nan lalu itu, kini menjadi memori yang sangat membahagiakan, itu pun jika kita masih waras menilai masa berharga yang Tuhan kurniakan. Apatah lagi tika melalui saat bahagia, suka dan gembira.

Subhanallah!

01 February 2007

30 TAHUN DAHULU



Zaman kanak-kanak itu, aku berasa terlalu indah alam sekelilingku. Aku tinggal di hujung desa, di hujung daerah, di hujung negeri Selangor Darul Ehsan. Bunyi kicau burung saban hari kedengaran seawal mata terbuka pada awal pagi. Kicauan burung itu seakan-akan tidak mahu berhenti hingga hujung sore. Jentera bermotor terlalu kurang di desaku itu. Jika ada cuma dua tiga buah motosikal berkuasa tinggi yang daku panggil Bantam, bunyi enjinnya seperti bunyi motobot, memekakkan telinga sekali-sekala.


Hembusan angin pabila hari menginjak ke hampir tengah hari dan membawa ke petang, begitu mulus dingin dan segar. Angin itu datangnya dari laut yang memang bersaudara dengan desaku. Walaupun terkadang cuaca panas, namun kepanasan itu tidak terlalu menggigit ke kulit dan tulang belulang. Pohon kelapa berderetan di setiap kebun di desaku begitu asli kehijauan bersama lenggok-lenggoknya. Diselang-seli pula dengan pohon koko dan pisang, bagai satu tarian yang berirama segar yang daku saksikan.


Di tanah rizab jalan yang memisahkan jalan besar dan parit sekeliling desa, bermacam-macam tanaman diusahakan. Ubi kayu, keledek, nanas, jagung, tebu, dan sayur-sayuran sememangnya subur segar hidup di situ, sebelum sesekali digelek kapal korek rakus yang datang tanpa pesan bertujuan mengorek parit untuk mendalamkannya. Di parit itu ketika selepas hujan terutamanya, begitu meriah dengan kocakan ikan berenang-renang di dalamnya. Aku tidak ketinggalan memasang jaring dan menebar jala untuk memunggah rezeki percuma kurniaan Allah.
Subhanallah!