10 November 2007

CERITA HUJUNG SYAWAL


Ramli berbual-bual dengan Kamal sewaktu berkunjung ke sebuah rumah seorang rakan. Waktu kunjungan itu, rakan mereka tiada di rumah. Yang melayan mereka hanya Pak Zali yang sudah kurang tahap pendengaran. Perbualan mereka seputar hal di dalam rumah itu sahaja. Televisyen saluran swasta menyiarkan sebuah rancangan popular, rancangan berbentuk perbualan.

Ramli : Dahulu elok bertudung, sekarang sudah dibuka semula.

Kamal : Dahulu dia menghormati bulan puasa. Sekarang bulan raya, semua mesti berhari raya.

Ramli : Bagus sangat jika begitu. Saya jangka dan sangka, dia sudah insaf. Kadang-kadang kasihan tengok dia. Wajahnya cantik, comel dan bergetah walaupun sudah pernah berkahwin. Apakah yang mahu ditunjukkan sebenarnya?

Kamal : Dia mahu tunjukkan kecantikan wajahnya itu. Nanti sia-sia pula jika bertutup rapi. Sekurang-kurangnya tidak rimas dan panas dek bertudung.

Ramli : Macam tiada pegangan agama pula dia ini. Tidak terfikirkah rimas dan panas di akhirat nanti? Pakai tudung sudah seperti adat pula. Waktu bulan puasa sahaja pakai, selepas bulan puasa buka pula. Ada orang lain itu, waktu ziarah kematian atau waktu mahu baca tahlil, pakai tudung penuh, sopan-santun betul, tetapi selepas itu buka semula. Katanya selepas pergi haji nanti dia hendak bertudung terus.

Kamal : Itu tidak mengapa lagi. Ada seorang penyanyi yang perasan popular itu lagi bagus, sudah naik haji tetapi balik dari Mekah berpakaian seperti orang tidak pernah bertaubat; menampakkan pusat dan benda yang berbonjol-bonjol lagi.

Ramli : Astaghfirullahalazim! Cakap-cakap kita ini nampaknya sudah jauh tersasar. Elok diri bersih dan berkeadaan fitrah, terpalit pula dengan dosa mengumpat. Bukankah elok kita jaga tepi kain sendiri?

Kamal : Ya, betul katamu itu! Tepi kain kita pun terkoyak juga, tetapi tepi kain orang juga yang kita nampak. Namun, sebenarnya saya berasa sangat kasihan kepada wanita-wanita yang kita perkatakan tadi.

Ramli : Ya, kasihan! Itu sahaja yang dapat kita ungkapkan.

Kamal : Kasihan!

Pak Zali : Eh, apakah yang kamu berdua bualkan itu? Tidak makan kuih raya? Jangan kasihan pada kuih-kuih raya itu, makan sahaja dan habiskan. Sudah hujung-hujung Syawal ini, biasanya tinggal habuk dan serdak kuih sahaja. Kamu awal-awal raya dahulu tidak nampak pun batang hidung.

Ramli dan Kamal tersengih-sengih. Mereka terangguk-angguk apabila dipelawa makan kuih raya yang bersisa di dalam beberapa buah balang kuih di atas meja.




Allahuakbar!.....

2 comments:

Yang bernama Siti said...

Hm...
Bila ya, akan dapat membaca kisah lelaki menegur dan memperkatakan tabiat lelaki yang tak betul? Asyik-asyik menceritakan tentang aurat perempuan dan perangai perempuan.

Ada bapa yang menghabiskan duit membelanjakan anak orang, anak sendiri tidak berkasut, ada suami yang mengeluarkan wang agar isteri teman bersalin di hospital swasta sedang isteri semput bekerja mencukupkan belanja hidup, ada lelaki yang merayu perempuan, merosakkan akhlaknya, ada lelaki...

Ah, banyak yang boleh ditegur dan dinasihati, tapi yang lelaki nampak, cuma salah perempuan.
Kesian perempuan...

MYA MARJA said...

Kak Siti yang dihormati,
Bukankah Ramli dan Kamal itu lelaki; lelaki yang sedang menjaga tepi kain orang? Saya sedang menegur dua orang lelaki itu melalui perbualan mereka yang berjaya saya rakam. Isi perbualan mereka itu kebetulan memperkatakan tentang perempuan, apa hendak dibuatkan lagi? Maaf ya jika Kak Siti tersinggong.