Sibuk-sibuk sangat menentang anugerah itu mengapa? Elok juga sesekali diberi anugerah penyapu itu. Penyapu itu pun bukannya penyapu buruk dan busuk; baharu beli di kedai penyapu itu. Bukankah makna daripada penyapu itu cukup terang, jelas dan nyata? Yang memberikan anugerah itu pun bukannya sehari dua jadi ketua sebuah negeri yang sudah dimasyhurkan sebagai negeri maju itu. Banyak ceruk rantau di negeri jagaannya itu sudah dijelajahinya. Jadi, dia lebih maklum akan hal ehwal di dalam negerinya. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di sesuatu kawasan itu. Atau pun mungkin dia tidak berpuas hati dengan pungutan cukai pihak berkuasa di kawasan itu. Atau pun mungkin juga semua kemungkinan lain itu ada, yang pastinya ia sesuatu kemungkinan yang tidak dapat dibanggakan.
Sudah bertahun-tahun menjaga sesuatu kawasan, masih tidak mampu lagi meningkat serba-serbi dari segala sudut. Jika begitu, mana mungkin setaraf dengan negeri maju yang baharu dicanangkan itu. Setakat maju dari segi pelaburan luar dan hasil keluaran sektor industri belum memadai. Rakyat juga mahu melihat kebersihan sesuatu kawasan itu ditingkatkan. Begitu juga tahap kemudahan yang diberikan.
Kata orang-orang yang sibuk-sibuk menentang itu, beri sahaja benda lain, bukannya penyapu; buruk sangat, jijik sangat, lekeh sangat! Mereka sudah lama diberi peluang sebenarnya. Sudah bertahun-tahun diberi peluang dan masa, masih tidak mahu berubah menjadi lebih baik; nah, ambil penyapu ini! Turun padang dan sapu segala sampah di situ! Sapu juga segala susah, segala payah, segala rumit dan segala yang kita tidak perlukan! Bukankah jelas maksud anugerah itu? Itu pun hendak berasa malu. Jangan asyik pandai dan berlumba-lumba memegang jawatan tinggi sahaja; perlu pandai juga membuat kerja mengikut tahap yang ditetapkan.
Jika di sekolah, anugerah tikus memang sesuai diberi kepada kelas yang tercorot tahap kebersihannya. Anugerah gambar tikus sahaja, bukannya tikus betul. Sesuai dengan tahap kebersihan sesuatu kelas yang menerima anugerah itu, masuk-masuk sahaja ke dalam kelas, bersepah-sepah sampah, bertabur-tabur di sana-sini. Murid-murid di dalam kelas itu mahu tunggu pihak Majlis Perbandaran membersihkannya agaknya. Jika tidak pun mahu tunggu guru-guru yang mengajar mereka membersihkannya. Bukankah elok jika diberi anugerah tikus itu? Yang menerima anugerah itu pula ialah guru dan ketua kelas tercorot tahap kebersihannya, pasti merah merona muka mereka sewaktu menerima anugerah itu. Esok lusa, bersih kelas itu! Tidak percaya, cuba praktikkan.
Jika di dalam kelas, andai anugerah penyapu yang diberi, pasti seronok guru kelas dan murid-muridnya sebab bertambah harta kelas itu. Esok lusa kotorkan lagi kelas tersebut, dapat lagi sebatang penyapu. Situasi sebegitu pasti tidak mengubah apa-apa. Jadi, berikan sahaja anugerah tikus. Gambar tikus itu pula besar, kotor, dan comot. Kemudian, ditampalkan di pintu masuk kelas, siap dengan nama guru dan ketua kelasnya sekali. Lebih murni jika ditampalkan sekali gambar guru dan ketua kelas itu. Namun, jika semua kelas mencapai tahap yang ditetapkan, tidak perlu anugerah seperti itu. Jangan pula sampai menganiaya orang. Bimbang bertambah pula bilangan pesakit mental di negara ini.
Namun, di peringkat tinggi, peringkat negeri misalnya, memang sesuai anugerah penyapu itu. Memang sesuai! Jika ada yang terasa, buat-buat kerja yang diamanahkan, jangan duduk sahaja. Dia ingat pengerusi itu kerjanya hanya duduk di kerusi sahaja? Banyak cantik muka dia!
Subhanallah…..
10 comments:
tak yah le beri penyapu... kalau buat trofi dengan ukiran penyapu kan ke lebih baik!
Ni pasai apa cakap tentang ANUGERAH ni :D
Saya tidak akan kedekut berbelanja untuk menghadiahkan penyapu bersalut emas kepada MB itu, seandainya dia tak kedekut untuk memberi anugerah penyapu kepada Datuk Zek itu. :D
Tuan Kholid,
Betul juga. Trofi itu mungkin juga boleh dijadikan hadiah iringan kepada penyapu sebenar. Hendak nampak gempak lagi, buat trofi itu sama saiz dengan penyapu sebenar.
Ustazah,
Itu namanya promosi percuma. Ini masa yang sesuai untuk kawan-kawan buat promosi percuma. Salam Anugerah!
JP,
Kawasan Datuk Zek itu mencapai tahap membanggakan agaknya.
mya marja,
Sila abaikan emel saya yg menyatakan kesukaran masuk memberi komen. Rupa2nya sangat lambat ruang ini muncul.
Apa2 pun, saya terharu kerana kesudian sdr menjenguk blog saya. Tentang anugerah ini, saya setuju dengan pandangan sdr pada Zalisa Maz. Sudah berbau lambaian Pilihanraya, mulalah timbul pelbagai isu yg menghangatkan...
Sebagai tanda Selangor bahu-membahu dan membangun bersama kemajuan ICT, sekurang kurangnya hadiahkanlah penyapu elektronik yang boleh remote control. Kalau tidak pun vacuum cleaner. Ini penyapu zaman nasi lemak 10 sen, patut lah kerja pun masih lemah ibarat kereta lembu dari Melaka.
Entahlah ye... ada orang setuju ada orang tidak setuju. Biasalah tu semua perkara ada pro n kontranya. Apa pun setiap rumah memerlukan paling kurang sebatang penyapu...
Kak Norza,
Saya pun terharu kesudian penulis prolifik menjenguk blog saya yang tidak seberapa ini.
Tuan Rastom,
Mesej yang ingin disampaikan dengan memberikan penyapu zaman nasi lemak 10 sen itu mungkin begini: Mahirkan dan biasa-biasakan menyapu menggunakan penyapu ini; esok lusa saya beri penyapu elektronik pula.
Kak Ez,
Pro dan kontra perkara lumrah. Untung dapat anugerah itu.
Kang Mya, orang yg dpt anugerah penyapu tu salah seorangnya adalah org kampung kita kang. Jiranku dikampung sana, rumah emaknya selang sebuah rumah saja.
Apa nak buat? Orang kampung semua dah tahu!
Orang kampung kita? Buat malu sahaja. Yang beri anugerah penyapu itu pun orang kampung kita juga, bukan? Heh..heh..heh!
Post a Comment