05 October 2007

TERHARU

Terharunya diri ini apabila melihat seorang demi seorang pengacara mahu pun pembaca berita, tidak ketinggalan wartawan wanita di TV3 itu mengenakan tudung. Angin perubahan yang semilir lembut perlahan menyentuh perasaan. Lebih-lebih lagi sempena bulan Ramadan yang mulia ini. Hendaknya akan kekal bertudung mereka dan menutup batas aurat yang ditentukan itu sampai bila-bila. Nampak manis dan lembut mereka.

Tahniah diucapkan kepada pengurusan di TV3 dan lebih-lebih lagi kepada individu yang mahu berubah itu! Biar pun sedikit perubahan yang mereka lakukan, kesannya terlalu besar. Semoga menjadi ikutan kepada mereka yang masih belum mahu menuju cahaya iman bergemerlapan.

Hendaknya pemakaian tudung itu selaras pula dengan pemakaian pakaian yang lain. Sendat dan ketat pastinya fesyen tidak sesuai bagi mereka yang manis sopan bertudung ini.

Tahniah untukmu wanita! Tahniah juga kepada yang menemui jalan penuh cahaya!

Namun, dalam diri berasa terharu itu, tercari-cari jawapan pasti apabila ada yang mengenakan tudung sekadar selempang sahaja. Tudung selempang itu jika dikenakan pada kepala, maka terjurai satu pertiga rambutnya menjadi santapan mata manusia lain.

Satu golongan lain, tudung dipakai sendat seperti membungkus buah cempedak atau nangka di atas pokok. Hujungnya berpilin dan dijuntaikan atau dibentukkan seperti tebaran roti canai. Pakaiannya usah diceritakan lagi. Pastinya sesendat tudung itu juga!

Ada satu aliran lagi, bertudung mengikut keadaan. Jika ke Mekah menunaikan ibadat haji atau umrah, bertudung sememangnya suatu kemestian, suatu kewajiban. Balik dari Mekah, ada yang buka semula tudung itu. Malah ada yang berpakaian sendat pula di khalayak. Satu lagi golongan yang bertudung mengikut keadaan ini cara bertudungnya memang cantik sebagaimana muslimah sejati. Namun, golongan ini jika berada dalam keadaan lain, pesta atau persembahan nyanyian misalnya, pasti tudung terus tertanggal dari kepala; pusingan 360 darjah! Esok lusa, jika ada majlis keagamaan, tudung itu dipakai semula sebagaimana muslimah sejati.

Bukankah dalam Islam sudah digariskan tentang teknik dan panduan pemakaian tudung itu? Jadi, teknik dan aliran pemakaian tudung yang pelbagai itu kekal menjadi persoalan dalam diri. Mengapakah begitu?


Alhamdulillah…

2 comments:

Yang bernama Siti said...

Perasan tak RTM tak menampilkan wanita bertudung selagi dia boleh mengawal penampilan tu?

Kata seorang bekas pekerja, ada kawasan di Malaysia Airport Berhad di KLIA yang pekerjanya tidak boleh sama sekali pakai tudung.

Berdasarkan pengalaman saya bertudung selama hampir 24 tahun, syarikat yang diterajui Melayulah yang paling susah hendak menerima perempuan bertudung bekerja.

Selamat Hari Raya pada MYA.

MYA MARJA said...

Kak Siti,
Ya, perasan benar. Hendak buat bagaimana lagi, ya? Mudah-mudahan angin perubahan terus berpuput.