Kadang-kadang terasa pelik apabila melihat manusia berlumba-lumba mengejar harta. Manusia berlumba-lumba mengumpulkan harta. Mengapakah manusia berperilaku demikian?
Semua harta yang dikejar-kejar siang dan malam itu pasti akan lenyap suatu hari nanti. Bagai kerajaan-kerajaan dahulu yang gah dan mewah, malah ada antaranya yang dikatakan bertamadun lebih moden berbanding apa yang ada pada hari ini. Semuanya lenyap ditelan masa dan ditelan bumi. Lenyap!
Jadi, mengapakah demikian peliknya manusia ini masih berantakan hatinya apabila diri berasa kurang? Berasa kurang? Adakah manusia seperti ini benar-benar kekurangan? Kekurangan itu pula kerap berkait dengan kekurangan harta dan wang ringgit. Mahu dibuat apa harta bertimbun itu? Mahu dibawa ke mana jutaan ringgit yang dikejar dan dikaut itu? Mahu ke mana? Usia manusia zaman ini penanda arasnya ialah usia Nabi Muhammad, sekitar enam puluh hingga tujuh puluh tahun sahaja. Namun, dengan begitu singkatnya usia, masih juga ramai yang bernama manusia ini berantakan hatinya, berlumba-lumba dan bermati-matian siang dan malam mengumpulkan harta demi kepentingan sendiri.
Sesudah banyak harta dan kaya-raya, bersifat pemurah dan sering menegakkan syiar Islam dengan hartanya itu, alangkah mulianya. Alangkah takjubnya! Namun, peratus manusia yang sebegitu sifatnya berapa ramai agaknya?
Ada juga manusia yang berasa rimas tidak ketentuan apabila impiannya menjadi manusia dikenali ramai, disegani ramai, dipuji sanjung ramai manusia lain tidak kesampaian. Manusia seperti ini hidup bermatlamatkan gah dan penuh kebanggaan diri. Jika tidak, mana mungkin ada yang sanggup menggadaikan nyawa mendaki gunung tertinggi di bumi, lautan tersejuk, pelayaran teragung, pemain terulung dan lain-lain yang tertinggi tarafnya? Jika niat mereka kerana Allah, alangkah indahnya. Namun, sejauh mana niat itu bakal kekal di dalam diri? Hanya Allah Yang Maha Tahu.
Bukankah semua itu akan lenyap suatu hari nanti? Tiada satu pun yang bakal dibawa ke alam kekal nanti.
Maka beruntung bagi mereka yang mengejar sepenuh tenaga siang dan malam akan reda Allah. Beruntung sungguh mereka yang berlumba-lumba mengumpulkan kebaikan, menegakkan syiar Islam, menyebar luaskan dakwah penyambung tugas Nabi Muhammad junjungan. Ah, beruntungnya jika kita dapat bersama-sama dalam arus itu! Beruntungnya!
Yang bakal hilang lenyap itu bagaimana pula nasibnya? Kita dibekali akal dan iman yang biar sedikit, pasti masih boleh memikirkannya! Bukankah harta benda dan wang ringgit itu sekadar alat sahaja bagi kita mengharungi gelombang dunia? Malah, sebenarnya bagi mengharungi ujian Allah yang kadang-kadang tidak terduga datangnya. Bagi yang menyebar luaskan harta benda dan wang ringgit itu menjadi sedekah dan pemberian ikhlas kepada yang memerlukan, alangkah bertuahnya!
Orang tua-tua ada berkata, berpada-pada dan bersederhana amalan sebaik-baiknya.
Alhamdulillah…….
No comments:
Post a Comment