27 October 2007

SELEPAS RAYA

Segala puji bagi Allah yang masih memberikan peluang untuk diri bernafas dan merenung masa lalu, masa kini dan masa mendatang. Peluang yang diberi ini terasa amat rugi andai dipersia tanpa garapan kebaikan.

Ada yang bertambah rajin selepas raya ini. Bertambah-tambah semangat menggagahi hidup. Ada juga yang dilanda taufan kemalasan, mungkin terlalu banyak makan kuih raya. Mungkin juga penat melayan tetamu yang bertandang ke rumah bagi mempererat tali persaudaraan. Atau juga mungkin terlalu penat berziarah ke rumah saudara dekat dan jauh serta jiran-jiran semuanya. Bagi diriku, rajin atau malas batasnya ada di dalam hati. Tanya pada hati, mahu rajin atau malas pada hari ini. Contoh yang paling hampir mungkin begini: Mahu memasak hidangan tengah hari atau makan di luar sahaja? Atau begini: Mahu menulis atau berehat sahaja? Atau begini: Sempat lagikah untuk berpuasa enam? Atau yang lain-lain lagi. Maka, rujukan semua itu pada hati.

Petang yang damai tadi sempat daku singgah di perpustakaan awam. Sewaktu hendak meminjam dua buah buku, mata terlihat buku-buku pada rak pemulangan buku di belakang kaunter pinjaman buku. Beberapa buah novel tebal telah lusuh kulitnya kulihat terletak di situ. Entah berapa ratus pasang tangan yang pernah memegangnya? Atau entah berapa ribu pasang mata yang telah membacanya? Pastinya buku-buku itu baharu sahaja dipulangkan oleh si peminjam. Sejurus itu hatiku berkata-kata, alangkah bagusnya jika nama pengarang buku itu ialah diriku sendiri. Sejurus itu juga daku membayangkan, nama penulis novel itu bertukar menjadi namaku. Suatu hari nanti, daku juga ingin melihat novelku selusuh novel-novel yang terletak pada rak buku tersebut. Ah, kadang-kadang angan-anganku terlalu tinggi!

Subhanallah….

2 comments:

Unknown said...

Insya Allah, Kang. Kelak, (tak berapa lama lagi) buku tebal yg tertulis namamu sebagai penulis, akan melusuh di tangan insan-insan yg cinta buku.

MYA MARJA said...

Mudah-mudahan ya, Dik Nin.

Buku yang saya lihat lusuh itu genre novel popular dan novel thriller. Jenis novel tersebut turut terdapat di rak buku fiksyen.

Sewaktu melihat buku-buku di rak sastera, masih elok dan rapi pula keadaan buku-buku di situ. Alangkah...