Blog yang bersawang.
Adakah hati manusia juga begitu? Kadang kala penuh serabut dan kalut. Kusut masalah pasti ada jalan menguraikannya. Namun, atas kelemahan manusia, fokus mungkin lebih tertumpu pada serabut kalut dan kusut masalah. Dalam kusut kalut itu, tercipta sebuah sajak yang memang ditujukan kepada diri sendiri. Andai ada madu yang menitis di situ, ambil dan kecapi ia.
Selamat sejahtera kepada semua yang masih sudi ke blog bersawangku ini. Terima kasih.
DI SITU ENGKAU MASIH BERDIRI
Engkau masih berdiri
pada semusim dingin dan kering
hingga kini panas berbahang
masih menjadi iklim nalurimu
tanah berpijak makin retak
dan dendam makin mendalam.
Engkau bukan pengemis
yang setia berdiri
dan berhaus lara
mengharap setitik belas
daripada belantara manusia
mengulit mimpi rindu
damai bahagia dipeluk dunia.
Engkau insan mulia
dibekal akal dan tubuh perkasa
sedikit dihiris uji hadiah Ilahi
engkau hiba meratap
bagai tiada nafas sejahtera
yang menanti di hujung langkah.
Pada lembah yang masih basah
dan hijau rimbun harapan
yang belum bersentuh
menanti tangan setia
pada usaha dan ikhtiar
serta tawakal kepada Tuhan
di situ engkau harus berdiri.
Mya Marja
Bandar Seri Jempol, NS.
15 JUN 2007.
(Disiarkan dalam Berita Minggu, 1 Julai 2007. ~Terima kasih kepada editor ruangan Susastera Berita Minggu yang sudi menyiarkan sajak saya ini. Ini merupakan sajak pertama dihantar ke akhbar, dan alhamdulillah percubaan pertama ini mendapat tempat di hati Tuan Editor.)
Alhamdulillah...
No comments:
Post a Comment