Tahu pula mereka memohon maaf. Siap keluar dalam Buletin Utama salah seorang daripada ayah pelajar-pelajar pintar itu, memohon maaf bagi pihak anaknya. Bukannya seorang, tetapi lima belas orang pelajar pintar yang membuli sepuluh junior mereka. Itu yang tertulis dan terungkap di media massa, realitinya entah berapa.
Wajar juga pelajar pintar itu memohon maaf. Malah kedatangan ayah mereka ke hadapan wartawan TV3 itu bagi memohon maaf secara terbuka juga wajar. Ya, memang sudah barang pasti kewajaran itu. Akan tetapi wajarkah permohonan maaf mereka dilayan dengan cara menarik balik hukuman dibuang sekolah itu? Buang sekolah pun sekadar buang dari MRSM itu, bukannya buang ke pulau halimunan. Berlambak-lambak lagi sekolah di negara ini, pilih sahaja. Bukankah mereka pelajar pintar? Jadi, ke mana pun mereka bersekolah, tidak menjadi masalah. Sudah tentu mereka pintar. Sudah tentu kecemerlangan peperiksaan dalam tangan mereka. Maklum sahaja pelajar pintar.
Budak-budak pintar seperti itu juga boleh jadi pintar berlakon. Buat-buat mohon maaf, buat-buat muka kasihan. Esok lusa, kucing tiada tikus menari-nari. Bayangkan andai hukuman buang sekolah itu ditarik balik, dan kesalahan itu berulang. Bagaimanakah jadinya nanti? Sanggupkah kita melihat sebuah lagi episod duka pelajar sekolah agama yang mati kerana dibuli baru-baru ini? Memang mati itu ketentuan Tuhan, tetapi cara kematian itu berpunca perbuatan buli pelajar-pelajar pintar. Kalau tidak pintar, masakan boleh bersekolah di asrama penuh.
Kisah ini pasti menjadi penanda aras kepada budak-budak pintar lain yang mempunyai sikap suka membuli seperti ini.
“Eh, di sekolah sebelah sana, mereka pukul budak junior tiada apa-apa tindakan pun?”
“Benar katamu itu. Mengapakah kita tidak boleh berbuat begitu? Selepas kita belasah cukup-cukup pelajar junior nanti, kita mohon maaf sahaja.”
“Betul katamu wahai sahabat sejatiku. Mereka boleh dimaafkan dan tidak dihukum, mengapa kita tidak boleh mencontohi mereka?”
“Kalau kamu sudah sebulat suara, mari kita cari mangsa.”
“Mari!!!”
Negara mengharapkan daripada budak-budak pintar ini kepintaran yang berakal, bukannya pintar membelit, membuli. Sekolah berasrama penuh seperti itu seharusnya sudah cukup menjadikan mereka bersyukur berbanding rakan-rakan mereka yang lain. Mereka pelajar-pelajar pilihan. Syarat masuk ke situ sahaja mesti capai 5A dalam UPSR, dan 5A itu adalah pada aras yang sangat cemerlang.
Ketegasan menteri bertanggungjawab mengeluarkan hukuman buang sekolah itu amat disokong. Jangan pula selepas ini kata-kata itu ditarik balik disebabkan tekanan pihak-pihak tertentu.
Astaghfirullahal’azim…
No comments:
Post a Comment