Alam saujana terhampar indah luas, menggamit saujana jiwa berbicara pada segala rupa. Bicaralah yang mulus daripada jiwa yang tulus...
13 April 2007
SAHABAT SEJATI
Sahabat atau kawan atau rakan atau taulan atau teman atau handai ialah ungkapan kata yang diberi kepada orang yang dekat dengan diri. Dekat mungkin pada hati namun jauh pada pandangan mata. Atau jua dekat pada jarak fizikal dan selalu bersua muka, dan dekat pula di hati. Atau jua dekat pada jarak namun jauh pada hati (mungkin gunting di dalam lipatan..?)
Yang ingin daku perkatakan dalam kesempatan ini ialah sahabat yang sekali-sekala berjumpa namun sentiasa dekat di hati. Mengapakah sahabat seperti ini selalu dekat di hati? Kesan sahabat! Ya, sahabat seperti ini sentiasa memberi kesan dek kata-katanya yang sering memberi erti dalam perjalanan hidup ini. Walaupun kata-kata yang terlontar itu berbentuk selembut bayu mahu pun seganas ombak bergelombang. Walaupun kata-katanya itu semanis madu atau pun sepahit hempedu. Namun jika dikaji sedalam-dalamnya, terbit suatu maksud untuk membaiki diri agar lebih lurus jalannya dan agar lebih molek atur langkahnya.
Suatu petang yang damai itu, daku terkesan jua dengan lontaran kata-kata sahabatku itu. Dahulu dia katakan daku ini pencuri, dan semalam dia katakan daku ini pembohong! Daku telan sahaja kata-katanya itu, kerana daku tahu dia berkata itu dalam keadaan sedar dan dengan ilmu. Ya, dengan ilmu. Ilmunya yang menggunung itu sedikit demi sedikit mahu dihempapkan ke bahuku. Andai daku tidak tertahan dengan beban beratnya, pasti akan daku katakan bahawa dia itu sedang membentuk dirinya menjadi pembunuh! Ya, pembunuh!
Andai orang lain yang menerima kesan pesan sahabat seperti sahabatku ini, pasti sudah terbunuh dalam perjuangan panjang ini. Perjuangan panjang? Ah, daku pun tidak tahu sepanjang mana!
Pembunuh! Bukan sewenang-wenangnya daku mahu lontarkan kata-kata itu. Mana tidaknya, dahulu dia katakan daku pencuri dan semalam dia katakan daku pembohong. Esok lusa, apa lagi yang mahu dikatakannya? Bukankah kata-kata lebih tajam daripada mata pedang? Nah, pedang kata itu telah menusuk jantungku! Aduh! Aduh, sakitnya! Tidak, sesekali tidak daku mengaduh. Malah daku tersenyum dengan tusukan pedangnya kali ini.
Daku tahu sahabatku itu memang begitu bahasanya. Andainya dia hanya memuji-muji perbuatanku, mana mungkin daku terlihat segala kelemahan yang ada di dalam diri? Mana mungkin!
Akhirnya, terima kasih sahabat kerana masih sudi melibaskan pedang katamu itu. Usah biarkan pedangmu itu berkarat dan reput, akhirnya relai tidak bererti.
Terima kasih sahabat!
Subhanallah…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
8 comments:
Sahabat,
Biarlah pedang itu menusuk ke rusuk pahlawan, biar lebih gagah menatang cabaran.
Dunia penulisan memang begitu, hanya yang terbaik punya tempat.
Jadi, kata-kata sahabat kita itu juga terbias ke wajahku sendiri. Saya juga jadi begitu berhati-hati melontar kata. Takut apa yang terhasil hanya mainan kata tanpa falsafah. Sahabat itu juga pernah menasihatkan saya agar menerapkan falsafah bukan hanya perasaan semata-mata.
Saya mula mengkaji apa itu falsafah selepas itu.
Beruntunglah saudara, jika orang besar yang kaya pengalaman memberi response terhadap karyamu, itu sesuatu yang bagus. Maknanya dia mahu lihat yang lebih indah dan baik.
Saya sentiasa menantikan puisi-puisi baru saudara setiap hari. Kerana saya sendiri terkekang dengan masa untuk menjelmakan satu cerita setiap hari.
Salam Jumaat.
Kamal
Terima kasih sahabatku Kamal!
Falsafah. Ya, daku hampir terlupa tentang itu; kerana sahabat kita itu terlalu tinggi bahasa falsafahnya, sehingga jika tidak dihalusi makna di sebalik kata pembohong itu mahu sahaja berantakan hati ini.
Sahabatku Kamal,dikau terlalu tangkas dan gagah mengatur gerak demi gerak; tidak tercapai oleh bahasaku.
Memang benarlah daku ini masih belum mampu berjalan, apatah lagi berlari. Daku akan terus merangkak..
Mudah-mudahan...
Terima kasih sahabat!
Kang Mya, kawan dan sahabat jauh bezanya.
Alhamdulillah tindakan bersabar itu akan lebih berkesan kepadanya.
Ini mungkin tiada kaitannya dengan entri sdra, cuma saya teringat lagu nasyid Brothers yang kebetulannya salah satu lagu kegemaran saya...Pun bercerita tentang TEMAN atau SAHABAT
Teman Sejati (Brothers)
Selama ini
kumencari-cari
Teman yang sejati
Buat menemani
Perjuangan suci
Bersyukur kini
PadaMu Illahi
Teman yang dicari
Selama ini
Telah kutemui
Dengannya di sisi
Perjuangan ini
Senang diharungi
Bertambah murni
Kasih Illahi
KepadaMu Allah
Kupanjatkan doa
Agar berkekalan
Kasih sayang kita
Kepadamu teman
Ku pohon sokongan
Pengorbanan dan pengertian
Telah kuungkapkan
Segala-galanya...
KepadaMu Allah
Kupohon restu
Agar kita kekal bersatu
Kepadamu teman
Teruskan perjuangan
Pengorbanan dan kesetiaan
Telah kuungkapkan
Segala-galanya
Itulah tandanya
Kejujuran kita
Penyair Mya Marja:
Saya memohon maaf kerana segala kata-kata saya yang telah menyinggung perasaan saudara. Barangkali saya tidak perlu berkata apa-apa selepas ini. Mohon maafkan saya dunia dan akhirat.
Ah, mulutku yang celupar.
April 19, 2007
Ada orang terlalu ego dengan kepandaiannya, lantas menegur orang tanpa memperhatikan adab. Menjaga hati orang yang ditegur adab mulia. Menegur jika dengan kata-kata yang menghancurkan hati yang ditegur hanya akan menambahkan musuh, mematahkan semangat dan mematikan langkah. Menegur perlu dengan cara betul agar yang ditegur mendapat manfaat daripada teguran yang diterima. Orang Melayu sepatutnya pandai menyusun kata agar masih berhemah waktu menegur dan yang ditegur masih mampu tersenyum.
Assalamualikum Orang yang tidak dikenali: Orang berhemah dan beradab tidak menyembunyikan diri jika memberi nasihat. Berkata sesuatu walau betapa indah dan dalam maknanya, apalah erti jika si pengucapanya hanya berani berkata tetapi tidak membuka diri supaya ianya dikenal.
Atau apakah itu satu resam Melayu yang saya tidak pelajari lagi? Membaling batu dan sembunyikan tangan. Lalu bersembunyi di sebalik kebijaksanaan dan beradaban?
Post a Comment